Pengkalan Laut Tun Sharifah Rodziah : foto dari Airtimes |
SANDAKAN, 11 Nov – Usaha dan inisiatif yang dilaksanakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam mengukuhkan aspek keselamatan di perairan negeri ini menjadi contoh terbaik kepada beberapa buah negara, kata Panglima TLDM Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badarudin.
Menurutnya, inisiatif tersebut antaranya projek inovasi pewujudan pangkalan laut di perairan timur negeri ini iaitu Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di Semporna dan Kapal Auksilari Pangkalan Laut Tun Azizan di Sandakan.
Katanya berdasarkan lawatan beliau baru-baru ini di Filipina, mereka tertarik dan menyatakan hasrat untuk mengaplikasi model pangkalan laut tersebut bagi meningkatkan aspek keselamatan perairan di negara itu.
Tambahnya dua pangkalan laut yang ditempatkan di timur Sabah iaitu Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah dan Kapal Auksiliari Pangkalan Laut Tun Azizan berjaya mewujudkan keadaan selamat, dengan kehadiran aset membolehkan tindakan lebih cepat diambil apabila berlaku ancaman.
“Pendekatan menempatkan pangkalan laut kini menjadi tarikan kepada negara luar seperti Indonesia dan Filipina yang nak buat pangkalan sebegini kerana pangkalan laut cuma berada di laut, tidak memerlukan minyak dan bot akan meronda di situ dan semua kemudahan ada.
“Sekiranya ada ancaman tertentu, tindakan daripada pasukan yang ditempatkan di pangkalan laut lebih cepat. Berbanding sebelum adanya pangkalan laut, pasukan mengambil masa yang lama untuk sampai ke lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika lawatan ke Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) sempena pengunduran tampuk pemerintahan TLDM di sini, pada Sabtu.
Yang turut hadir ialah Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Ganesh Navaratnam.
Ahmad Kamarulzaman berkata, kerajaan juga perlu melihat keperluan untuk mewujudkan pangkalan laut di perairan lain dalam negara yang berdepan ancaman susulan keberkesanan inisiatif itu dalam menangani ancaman di pantai timur negeri ini.
Selain itu, katanya, dalam lawatannya ke Filipina baru-baru ini, Indonesia dan Filipina bersetuju bahawa TCA antara Malaysia dan dua negara itu adalah model inovatif yang membantu mewujudkan keselamatan dengan begitu berkesan.
“Mereka menyatakan TCA juga sedang dikaji tiga negara di kawasan utara laut China selatan untuk dilaksanakan,” katanya.
sumber : Airtimes.my