Pages

Wednesday, December 15, 2010

LOCKHEED C-130 HERCULES



Lockheed C-130 Hercules merupakan pesawat pengangkut taktikal berkuasa 4 enjin torboprop keluaran Lockheed atau sekarang dikenali sebagai Lockheed Martin (Lockheed Aeronautical System Company) telah berkhidmat diseluruh dunia melebihi empat dekad. 

Penggunaannya masih lagi diteruskan oleh kebanyakan negara yang memilikinya.


Spesifikasi asal ialah untuk pesawat misi angkutan udara taktikal 'intratheater', di keluarkan oleh Tentera udara Amerika Syarikat (USAF) pada awal 1950an untuk sebuah pesawat yang boleh dioperasikan dari landasan terbang yang pendek dan ringkas.

Ianya dikendalikan oleh 5 orang krew iaitu 2 juruterbang, 1 jurumalim, 1 jurutera penerbangan dan 1 ketua muatan.

Ia juga berperanan untuk menggugurkan anggota tentera payung terjun (paradropping) dan penghantaran bekalan serta peralatan tentera ke kawasan-kawasan pertempuran.


Anggota payung terjun melakukan terjunan dari pesawat Hercules

Sejarah bermula dimana Lokheed-Martin mengeluarkan prototaip yang pertama "Lockheed YC130" dan diterbangkan buat pertama kali pada 23 Ogos 1953 di Burbank, California. Model pertama C-130A dikeluarkan pada tahun 1956 dengan menggunakan enjin turboprop Allison T56-A-9.

Pada April 1959 sebanyak 134 buah pesawat ini dari model C-130B dengan menggunakan enjin turboprop Allison T56-A-7 mula dibekalkan kepada USAF. Perbezaan model ini dengan model C130A ialah kemampuan membawa minyak tambahan pada bahagian sayap dan gear pendaratan juga telah diperkemaskan.

Pengeluaran C-130 ini diteruskan dengan model E dan H tanpa sebarang perubahan fizikal yang ketara kecuali enjinnya dimana keupayaan C-130H telah dipertingkatkan dengan menggunakan enjin turboprop Allison T56-A-15.

Peranan dan Keupayaan C-130




Dalam peranan sebagai pengangkut anggota, C-130A/B/E/H boleh memuat seramai 92 orang penumpang atau 78 anggota tempur atau 64 anggota payung terjun yang bersenjata lengkap yang duduk diatas dua baris kerusi yang menghadap kedinding pesawat.

Pada pertengahan 1990an Lockheed telah memperkenalkan model C-130H-30 iaitu pada asasnya ialah model C-130H yang dipanjangkan sebanyak 4.572 meter pada bahagian fuselagenya. dengan ini ia mempunyai kapasiti kargonya yang tinggi (128 penumpang, 114 anggota tempur, 92 anggota payung terjun, 97 anggota cedera dengan 4 anggota perubatan) di samping mengekal prestasi asasnya.


Penghantaran peralatan ketenteraan melalui udara

Pada penghujung 1990an sebuah model baru diperkenalkan oleh Lockheed iaitu C-130J dimana Hercules telah mengalami perubahan yang agak drastik walaupun masih mengekalkan bentuknya yang asal.
.
Antara perubahan itu ialah penggunaan enjin yang lebih berkuasa dan efisien iaitu enjin turboprop Allison AE2100D3 membolehkan ianya terbang lebih jauh dengan muatan kargo yang lebih tinggi. 

Selain itu perubahan pada kipas turbopropnya ialah 6 bilah berbanding 4 bilah pada model sebelumnya.

C-130J dikatakan mempunyai dek penerbangan yang lebih canggih berbanding dengan model terawal kerana dilengkapkan dengan panel-panel dan skrin-skrin paparan CRT (cathode ray tubes) dan HUD (head-up display).
.
Pesawat Hercules juga berperanan dalam misi SAR (search and rescue) dimana pengawal pantai US menggunakan model versi HC-130H untuk tugas-tugas mencari dan menyelamat, meninjau ketulan ais yang hanyut dan rondaan maritim. (terdapat juga versi C130H-MP khusus untuk rondaan maritim seperti yang pernah dioperasikan oleh Malaysia dan Indonesia).

Semasa perang vietnam C-130H juga pernah digunakan untuk menggugurkan bom-bom ke kawasan musuh di tengah-tengah hutan belantara Vietnam yang dikenalpasti markas atau tempat pergerakan gerila VietCong. 

Selain itu ia juga digunakan dengan berkesan dalam operasi-operasi menakluki Grenada, serangan keatas Panama dan ketika Operation Desert Storm.

Kemampuannya beroperasi dengan baik dan selamat dalam keadaan cuaca yang pelbagai seperti cuaca panas padang pasir semasa Operasi Desert Storm, menghadapi iklim lembab tropika semasa perang vietnam mahupun suhu sejuk di bawah paras beku menjadikan C-130 Hercules sebuah pesawat yang paling "versetile ".


C-130 Hercules TUDM



Tentera Udara Diraja Malaysia kini menggunakan 15 buah pesawat C-130H Hercules yang diterimanya diantara tahun 1976 hingga 1980an sebagai memenuhi keperluan misi pengangkut strategik dan taktikal yang tak dapat dilaksanakan oleh pesawat DHC-4 'Caribou' yang telah agak uzur.

TUDM juga telah menerima lima buah C-130H-30 yang diterima mulai 1995. Kebanyakan pesawat-pesawat 'charlie' TUDM di operasikan dari pengkalan Udara Subang oleh squadron no 14 dan no. 20 untuk misi-misi penerbangan biasa dalam negeri.

Pesawat-pesawat ini merupakan tulang belakang bagi pengangkutan Pasukan Atur Cepat-Angkatan Tentera Malaysia (PAC-ATM) dan telah digunakan dengan jayanya dalam beberapa latihan yang telah dijalankan.

Pihak ATM telah mengubahsuai dua buah pesawat C-130H sebagai Kapal terbang Penangki (KC-130H) bagi menyokong operasi pesawat-pesawat tempur moden MIG 29N Fulcrum dan F/A 18DHornet TUDM dan dipindahkan ke squadron 20.
.
Pesawat pejuang Hornet mengisi minyak diudara

Di sepanjang khidmatnya, pesawat-pesawat Hercules TUDM banyak digunakan untuk misi pengangkutan anggota dan bekalan dalam negeri termasuk Sabah dan Sarawak. 

Selain itu ia juga melakukan penerbangan-penerbangan ehsan untuk menerbangkan orang awam yang memerlukan rawatan lanjut dengan segera di seluruh negara.

Pesawat Hercules juga pernah terlibat dalam misi menghantar bekalan dan peralatan kepada anggota tentera Malaysia yang sedang berkhidmat didalam I-FOR dan S-FOR dibawah panji-panji pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Bosnia, malah juga terlibat dalam misi PBB di Somalia, Kemboja, Namibia dan Lubnan.

Ia juga pernah terlibat dalam operasi membawa pulang rakyat Malaysia dari negara-negara yang berlaku kekacauan atau dilanda bencana alam seperti kekacauan di Phnom Pehn, gempa bumi di Padang, Sumatra dan Letusan Gunung Berapi di Yogyakarta solo, Indonesia dan yang terbaru ialah membawa pulang rakyat Malaysia dari Mesir dan Libya setelah berlaku kekacauan disana.

Berdasarkan rekod perkhidmatannya yang gemilang. Hercules dijangka akan terus beroperasi untuk beberapa tahun yang akan datang. 

Menurut maklumat terkini, kerajaan Malaysia mungkin akan menggunakan perkhidmatan Hercules sehingga tahun 2016 sementara menunggu ketibaan pesawat pengangkut taktikal baru yang telah dipesan oleh RMAF iaitu Airbus A400M.

Walaupun kini terdapat beberapa pesawat pengangkut versi baru yang canggih dikeluarkan seperti Airbus A400M, Boieng C-17 Globemaster III, Airbus A310MRTT, Kawasaki C1 dan lain-lain, namun Hercules C-130 dilihat masih mampu bertahan dan serasi dengan nama jolokannya seorang manusia perkasa dari mitos Greek.

No comments:

Post a Comment