Pages

Tuesday, December 5, 2017

PROTOTAIP MRTES UNTUK LATIHAN PEPERANGAN

A-400M
KOTA BELUD: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melancarkan prototaip Sistem Simulator Radar Mudah Alih (MRTES), iaitu aset baharu bagi tujuan latihan seperti dalam keadaan peperangan sebenar.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata sistem simulator itu adalah hasil pembangunan secara usahasama TUDM, Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dan syarikat Iktamatic Systems Sdn Bhd.

Beliau berkata, sistem itu adalah pertama seumpamanya di negara ini yang direkabentuk dan dibangunkan sepenuhnya oleh jurutera tempatan.

"Ia juga sudah mendapat kelulusan dalam ujian yang dijalankan oleh Electronic Warfare Support Centre (EWSC), TUDM dan STRIDE.

"Aset ini berupaya ditempatkan di semua lokasi dan keadaan muka bumi untuk kegunaan latihan peperangan elektronik semua pesawat TUDM, terutama pesawat pejuang," katanya selepas majlis penyerahan MRTES dan Demonstrasi Kuasa Tembakan Udara ke Bumi oleh TUDM di Lapang Sasar Udara (LASARUD), Kem Paradise, di sini.

Affendi berkata, kos pembangunan prototaip berkenaan dianggarkan RM6 juta yang dibangunkan sejak tahun 2015.

"Bagaimanapun, penambahbaikan prototaip terbabit masih dijalankan dari semasa ke semasa agar mampu menghasilkan sistem simulator terbaik," katanya.

Terdahulu, lebih 30 pesawat pelbagai jenis dan kira-kira 500 pegawai serta anggota TUDM terbabit dalam eksesais Demonstrasi Kuasa Tembakan Udara ke Bumi yang diadakan sejak 14 November lalu.

Antara aset digunakan termasuk pesawat pejuang Hawk, F/A-18D, SU30MKM, helikopter EC725 dan Nuri.

Latihan itu adalah sebahagian Eksesais Paradise Siri 4/2017 yang dilaksanakan TUDM, antara lain bagi menguji dan mempertingkatkan keupayaan serta kesiapsiagaan ketumbukan itu di ruang udara Sabah membabitkan kawasan Wilayah Udara 2.

Dalam perkembangan lain, Affendi berkata, pihaknya terus mempertingkatkan keselamatan di Sabah khususnya melalui pemantauan udara susulan pergolakan di selatan Filipina.

sumber : utusan

No comments:

Post a Comment