Pages

Wednesday, December 5, 2018

KD HANG TUAH, KAPAL MUZIUM PERTAMA TLDM

KD Hang Tuah akan dijadikan sebagai kapal muzium TLDM
LUMUT, 21 Nov – Selaras dengan tradisi amalan tentera laut di seluruh dunia, Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) akan mewujudkan ‘Naval Museum’ di sini dengan memilih Kapal Diraja (KD) Hang Tuah untuk tujuan itu, sesuai dengan statusnya sebagai kapal tertua berkhidmat di dalam Armada TLDM.
Transformasi KD Hang Tuah kepada Muzium TLDM akan dilaksanakan dengan kolaborasi TLDM bersama Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.
Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata kapal yang berusia lebih 50 tahun berkhidmat dalam Armada TLDM itu bakal ditempatkan di Kompleks Muzium Diraja Lumut apabila siap kelak.
“Pada peringkat permulaan, Kapal Muzium ini akan kekal berhimpit di Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) sehingga struktur penempatan kekal (permanent structural jetty) Muzium TLDM siap sepenuhnya.
“Kita akan menjalankan modifikasi dan pemuliharaan dahulu ke atas KD Hang Tuah yang diuruskan BNS Sdn Bhd dan dijangka akan dibuka awal tahun depan untuk pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran KD Hang Tuah sebagai Kapal Muzium TLDM di Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.
KD Hang Tuah telah ditauliahkan pada 22 Julai 1977 dan turut terkenal sebagai salah sebuah aset dalam Skuadron Frigate ke-21.
Ahmad Kamarulzaman berkata pewujudan kapal muzium tersebut dilaksanakan bagi memartabatkan sumbangan kapal tersebut dalam menjaga kedaulatan negara selain menjadi kapal muzium TLDM yang pertama dalam negara mempamerkan khazanah warisan anggota keselamatan itu.
“Ia turut bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kehidupan anak kapal selain menjadi platform kepada orang ramai melihat sendiri kelengkapan dan peralatan seperti meriam, sistem navigasi dan komunikasi di dalam kapal,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Kamarulzaman berkata pihaknya tidak mengeluarkan sebarang kos bagi mewujudkan kapal muzium tersebut berikutan mendapat kerjasama dari pihak BNS dari aspek selenggara secara berkala dan juga kerajaan negeri menyediakan lokasi untuk menempatkan kapal tersebut.
Malah, katanya, anggota veteran khususnya yang pernah berkhidmat dengan KD Hang Tuah turut bersedia untuk menjadi sukarelawan apabila kapal muzium itu dibuka kelak untuk memberi penerangan dan berkongsi sejarah mengenai kapal tersebut kepada pelancong dan pengunjung.
“Kapal ini akan dikekalkan sebagai kapal yang ditauliahkan (Kapal DiRaja) dengan jumlah keanggotaan dikurangkan ke paras minimum sesuai peranannya sebagai kapal muzium.
“Malah kapal ini akan terus digunakan sebagai platform latihan ilmu asas kelautan untuk para pelatih TLDM dan juga Pasukan Sukarela Simpanan TLDM,” katanya.
Menurut Ahmad Kamarulzaman, pembangunan Kompleks Muzium TLDM ini adalah bertepatan dengan status Bandar Lumut yang juga dikenali sebagai Bandar Maritim sekaligus menjadi ikon tarikan pelancong.
Katanya, TLDM juga akan berkerjasama dengan muzium-muzium tentera laut asing bagi memastikan Muzium TLDM berada di tahap membanggakan sekaligus terkenal di peringkat antarabangsa.
“Malah kita turut mendapat makluman bahawa Tentera Laut Sweden telah menyatakan minat mereka untuk berkolaborasi dan membantu TLDM dalam aspek pengurusan muzium itu nanti,” katanya.
Untuk rekod, sepanjang perkhidmatan KD Hang Tuah itu merekodkan pelayaran sejauh lebih 500,000 kilometer (km) bersamaan 12.5 kali mengelilingi dunia. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment