Pages

Sunday, January 19, 2020

KD KERIS TELAH TIBA DAN DI TEMPATKAN DI ARMADA TIMUR

LMS KD Keris telah tiba di pengkalan TLDM Sepanggar (Armada Timur) : foto Malaysia Defence
KOTA KINABALU: Kapal Misi Pesisir (LMS) Kapal Diraja (KD) Keris kini telah tiba dan ditempatkan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Sepanggar (TLDM) Armada Timur menjadikan jumlah keseluruhan 17 kapal yang beroperasi di perairan Sabah dan Sarawak tahun ini.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata kehadiran KD Keris di sini mampu mengukuhkan lagi jaringan pertahanan kawalan keselamatan perairan Malaysia khususnya Malaysia Timur.

"Penambahan aset ini juga mampu meluaskan lagi kawasan rondaan di pesisir pantai terutama di Laut Cina Selatan sekaligus meningkatkan keselamatan komuniti maritim negara.

"Kehadiran KD Keris juga mampu membantu mengurangkan kos pengoperasian serta mengurangkan bebanan tempoh operasi kapal lain sepertimana KD Baung yang merekodkan 230 hari operasi tanpa henti di lautan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Sambutan Ketibaan KD Keris yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin di Tambatan PTKK.

KD Keris berukuran 68 meter panjang dan 9.2 meter lebar ini berkemampuan bergerak dengan kelajuan maksima 22 knot. Kapal yang dikendalikan 45 kru ini diketuai Pegawai Memerintah Komander Mohd Zulkarnain Mohd Rawi mampu beroperasi selama 15 hari di laut.

Sementara itu dalam perkembangan lain Reza berkata PTKK akan menerima 12 pesawat tanpa pemandu (UAV) ScanEagle yang dibiayai sepenuhnya oleh Amerika Syarikat menerusi program Inisiatif Keselamatan Maritim (MSI) tahun ini.

"UAV akan dioperasikan di PTKK bagi menjaga perairan Sabah dengan mengambil masa kira-kira setahun untuk pembiasaan operasi sebelum digunakan untuk penugasan operasi mengikut keperluan termasuk di kawasan pantai timur Sabah," katanya.

Upacara memeriksa barisan krew KD Keris oleh Yang di pertua Negeri Sabah
Sumber : Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment