|
Aset dalam perancangan TUDM |
KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal diperlengkapkan dengan tujuh aset terkini dalam usaha meningkatkan keupayaan sistem pertahanan udara negara dan aset dijangka beroperasi seawal 2024.
Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman, berkata perolehan beberapa aset baharu itu selaras dengan misi membangunkan keupayaan hadapan TUDM.
Katanya, TUDM sedang membuat perolehan secara berperingkat pesawat tempur ringan dwifungsi 'Fighter-Lead-In-Trainer/Light Combat Aircraft' (FLIT-LCA), yang akan mula beroperasi pada 2024.
"Keupayaan pertahanan udara juga akan dipertingkatkan dengan pelan perolehan tiga Sistem Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh (LORAD) melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
"Selain itu, TUDM dalam proses perolehan beberapa aset lain iaitu sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) Medium Altitude Long Endurance (MALE-UAS), yang dijangka akan mula beroperasi pada 2024/2025 dan pesawat peronda maritim (MPA), yang dijangka beroperasi pada 2025," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan perintah ulung sebagai Panglima Tentera Udara ke-20 di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Asghar berkata, pesawat UAS kini di peringkat penilaian fizikal yang sudah disenarai pendek oleh Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan, manakala perolehan MPA masih di peringkat Kementerian Kewangan, dengan beberapa syarikat pesawat sudah disenaraikan untuk tindakan selanjutnya.
Selain itu, beliau berkata, TUDM juga akan memiliki satu sistem radar pertahanan udara, yang bakal diterima pada 2024 melalui jalinan diplomasi pertahanan bilateral dengan negara lain.
"Perolehan seterusnya adalah melalui program RMK-13 bagi melengkapkan keseluruhan sembilan radar yang diperlukan.
"TUDM juga merancang untuk sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD) mulai dari RMK-12 hingga RMK-15. Ini akan meningkatkan keupayaan TUDM dalam mencegah sebarang bentuk ancaman udara," katanya.
Dalam pada itu, katanya, bagi penggantian pesawat helikopter utiliti, proses perolehan dijangka berlaku seawal tahun hadapan.
Terdahulu, Mohd Asghar dalam ucapan ulungnya, menggariskan enam tonggak dalam mencapai visi dan misinya sebagai Panglima Tentera Udara yang baharu.
Enam tonggak itu ialah pemantapan keupayaan dan kesiagaan TUDM, keunggulan struktur dan kecemerlangan organisasi serta pemerkasaan dan pengupayaan warga udara.
Selain itu, mengoptimumkan pengurusan sumber dan meningkatkan budaya inovasi, meningkatkan keupayaan TUDM melalui kolaborasi bersama industri pertahanan tempatan dan yang terakhir, kebajikan sosial dan kelestarian warga.
sumber : bharian.com.my