Setiausaha Kementerian Pertahanan Britain, Michael Fallon berkata, kapal perang Rusia jenis Admiral Kuznetsov sedang belayar dari selatan Laut Norway ke Syria.

“Kami tidak pasti sama ada mereka akan melalui Selat Inggeris atau barat Ireland, namun kami mengambil langkah berjaga-jaga.

“Tujuan kami adalah untuk memastikan keselamatan negara sentiasa terjaga,” katanya kepada rangkaian televisyen BBC hari ini.

Tentera Laut Diraja Britain dilaporkan menghantar kapal-kapal perang yang canggih, Destroyer Type 45 HMS Duncan, bersama-sama dengan frigat Type 23, HMS Richmond, untuk mengesan kapal Rusia.

Pasukan task force Rusia ini dipercayai dalam perjalanan ke Laut Mediterranean untuk menyokong perang ke atas pengganas di Aleppo, Syria, menurut penganalisis tentera Barat.
Admiral Kuznetsov bersama tujuh kapal perang yang lain  melalui terusan Inggeris untuk ke Syria
Aktiviti itu juga berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak antara Rusia negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Rusia meletakkan peluru berpandu berkeupayaan nuklear yang mampu mencapai jarak 700 kilometer, Iskander-M ke Ka­li­ningrad di sempadan Poland-Lithuania.

Langkah itu jelas mendatangkan kebimbangan terhadap negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) iaitu Poland dan Lithuania yang berada dalam jarak lingkungan Iskander dengan peluru berpandu tersebut juga dikatakan mampu sampai ke Berlin.
 
NATO menuduh Rusia mela­kukan provokasi ketenteraan te­rutamanya di Laut Baltik. Pesawat perang Rusia dilapor meningkatkan rondaan berhampiran ruang udara negara-negara NATO.

Difahamkan, Moscow sebenarnya mahu menguasai rantau Laut Baltik selepas Rusia merampas Kaliningrad daripada Jerman pada 1945 bagi mengukuhkan penguasaannya di perairan itu sama seperti yang dilakukannya di Laut Hitam.

Moscow bagaimanapun me­nyifatkan langkah itu sebagai satu latihan ketenteraan tetapi apa yang pasti, negara-negara Barat jelas bimbang dengan perkembangan terbaharu tersebut.

Tindakan Rusia itu juga dikatakan satu pencabulan perjanjian antarabangsa yang mengehadkan penempatan peluru berpandu da­lam jarak 500 kilometer sahaja.


sumber
Utusan Malaysia