Pages

Thursday, January 10, 2019

MALAYSIA TUNJUK MINAT PADA LCA TEJAS

Pesawat Light Combat Aircraft Tejas buatan HAL, India

Heboh di media sosial yang mengatakan Malaysia sedang menunjuk minatnya tehadap pesawat pejuang ringan (LCA) Tejas buatan HAL, India.

Sputniknews.com didalam websitenya melaporkan bahawa Malaysia berminat untuk beli Jet Tejas Mk-1 buatan India. Malah dilaporkan Malaysia berminat membeli sekitar 30 unit pesawat pejuang tersebut.

Akhbar Daily Business Standard India melaporkan bahawa menteri pertahanan Malaysia telah meminta New Delhi untuk menghantar pesawat pejuang Tejas ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19) - pameran pertahanan utama Malaysia - yang diadakan dari 26-30 Mac.

Jika penyertaan ini benar seperti yang dilaporkan dalam media sosial maka ini adalah penyertaan julung kali pesawat Tejas  buatan HAL Ltd dalam pameran LIMA Langkawi.

Menurut Bussiness Standard selain dari minat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga dikatakan akan menguji dan menilai Tejas seperti yang dilakukan terhadap pesawat JF-17 buatan Pakistan/China. Ini dikatakan telah menaikkan moral para pekerja dan jurutera HAL.

Ramai pakar menganggap Tejas Light Combat Aircraft (LCA), walaupun masih belum dibangunkan sepenuhnya, sudah jauh lebih hebat daripada pesawat pejuang JF-17 Thunder, yang dibangunkan oleh China dan dibina di Pakistan.

Harga pesawat pejuang Tejas, bagi versi terkini ialah Rs 200 crore ($ 28.5 juta). Ini mungkin sedikit lebih mahal daripada JF-17 Thunder, yang berharga kira-kira $ 25 juta, tetapi Tejas di katakan menawarkan prestasi yang lebih baik.

"Kami akan membawa satu Tejas ke Malaysia pada bulan Mac dan pamerkan di Langkawi. Kami tahu bagaimana untuk melakukan ini, kerana sudahpun mengambil bahagian dalam Pameran Udara Antarabangsa Bahrain (BIAS), "kata seorang pegawai kanan dari HAL, yang akan menerajui usaha tersebut.

FA-50 dari Korea Selatan antara calon untuk mengisi projek LCA TUDM
Malaysia bukanlah negara asing yang pertama yang menunjukkan minat terhadap Tejas, dikatakan beberapa negara timur tengah seperti Bahrain, UAE dan Mesir juga menunjuk minat mereka terhadap pesawat tersebut.

Malah menteri pertahanan UAE, Mohammed Ahmed Al Bawardi Al Falacy dikatakan telah melawat kemudahan HAL di Bengaluru dan menerima taklimat tentang projek-projek yang sedang berjalan di HAL. 

Menurut pemerhati pertahanan, timbulnya minat TUDM terhadap pesawat Tejas berkemungkinan dari peningkatan hubungan ketenteraan dua hala antara kedua-dua negara sejak kebelakangan ini. Contohnya kerjasama dalam koordinasi pesawat Sukhoi-30 buatan Rusia, dimana IAF dengan versi MKI dan TUDM dengan versi MKM.

Dengan hanya baru kali pertama penyertaannya di LIMA Langkawi, adakah Tejas mampu menidakkan kehebatan pesawat pejuang ringan yang lain seperti JF-17 Pakistan, MIG 35, L-15B dan FA-50 Korea Selatan serta mengisi tempat dalam projek Light Combat Aircraft (LCA)TUDM.

Sebelum ini pernah heboh diperkatakan tentang minat Malaysia terhadap pesawat JF-17, sehingga ada laman sosial mengatakan Malaysia akan membeli pesawat JF-17. Selepas itu berita tersebut terus lenyap setelah dinafikan oleh Kementerian Pertahanan.

Apa pun sama-sama kita tunggu dan lihat... 

sumber : ibtimes.co.in, malaysiandefence.com


No comments:

Post a Comment