Saturday, January 20, 2018

4 KAPAL NGPV TINGKAT KESELAMATAN SABAH


KOTA KINABALU: Markas Pemerintahan Armada Timur, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima empat lagi kapal peronda generasi baru (NGPV) bagi mengukuhkan kawalan serta tahap keselamatan di perairan negeri ini.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman, berkata dua daripada aset terbabit akan diterima pada tahun ini iaitu KD Selangor dijangka tiba di pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar, Sabtu ini dan KD Kelantan pula pada Mac depan.

Katanya, dua lagi kapal jenis sama iaitu KD Pahang dan Terengganu pula dijangka diperoleh pada tahun depan.

"Setakat ini, kita mempunyai KD Kedah dan Perak. Apabila semua aset itu berada di sini, secara keseluruhan pangkalan ini memiliki enam aset utama bagi kegunaan Armada Timur.

"Selain itu, sebanyak 18 kapal misi pesisir (LMS) akan ditempatkan di sini, Tawau dan Sandakan di Sabah serta Bintulu, Sarawak. Empat daripada kapal itu sedang dibina di China dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun," kata selepas menyempurnakan Perbarisan Tahunan Panglima Armada Timur dan Program Admiral On Deck, di sini, hari ini.

Seramai 41 pegawai dan 271 anggota membabitkan 10 platun mengikuti perbarisan yang diadakan di padang kawad KD Sri Kota Kinabalu, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Sementara itu, Syed Zahiruddin Putra, berkata Kementerian Pertahanan meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi projek kesejahteraan dan kebajikan warga TLDM Kota Kinabalu.

Beliau berkata, dana itu akan digunakan bagi membaikpulih prasarana dalam Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, selain untuk kebajikan anggota dan keluarga mereka.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut meningkatkan kesiapsiagaan mengawasi perairan Sabah bagi menghadapi musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

"Rondaan di semua kawasan memang diadakan seperti biasa, namun kita cuma mempertingkatkan dari segi ketelitian, kepekaan dan sistem radar," katanya.

sumber : berita harian

No comments: