Sunday, May 9, 2021

PROJEK LCS TLDM YANG TERBENGKALAI DI TERUSKAN SEMULA

KD Maharajalela (2501) yang terbengkalai tanpa ada kesudahanya

KUALA LUMPUR – Kumpulan Boustead Naval Shipyard akan meneruskan semula pembinaan Projek Littoral Combat Ship (Projek LCS) yang telah terhenti pembinaannya sejak tahun 2019.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang telah bersidang pada 5 Mei lalu.

“Mesyuarat jemaah Menteri itu bagaimanapun telah menetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh Kumpulan Boustead. Dengan penerusan pembinaan tersebut oleh Kumpulan Boustead, ianya akan menyelamatkan 8,000 orang pekerja yang terdiri daripada anak-anak tempatan dan juga lebih daripada 400 syarikat vendor yang terdiri daripada PKS Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Menteri Kanan Keselamatan itu, sekiranya pembinaan LCS itu tidak diteruskan, ia akan memberi beberapa impak negatif kepada para pekerja dan vendor bumiputera terlibat.

Justeru katanya, ia juga akan memberi kesan kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang merupakan pemegang saham di dalam Boustead Holdings Berhad.

“Selain itu, secara tidak langsung pencarum yang merupakan anggota tentera akan menerima kesan sekiranya projek ini tidak diteruskan malah pihak bank yang memberi pinjaman kepada projek ini juga bakal kerugian kerana Boustead Naval Shipyard tidak berkeupayaan membayar pinjaman.

“Untuk rekod, Kumpulan Boustead Naval Shipyard adalah merupakan sebuah syarikat milik kerajaan yang diusahakan oleh majoritinya anak-anak Melayu Bumiputera,” tegasnya

Awal permulaan program ini Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) dianugerahkan secara rundingan terus untuk menyiapkan enam buah kapal LCS dalam tempoh 10 tahun berkuat kuasa 3 Oktober 2013 sehingga Oktober 2023 dengan kos RM 9.1286 bilion. 

Kontrak perolehan itu juga adalah kesinambungan daripada kejayaan BNSSB menyiapkan enam kapal peronda generasi baharu (NGPV) sebelum itu. (itu pun dengan bill out kerajaan setelah menghadapi masalah ketidakcekapan pengurusan).

Nampaknya pisang berbuah 2 kali, pada Oktober 2019 bahawa penyerahan LCS pertama KD Maharalela yang dijadualkan pada tahun tersebut terpaksa ditangguhkan atas alasan komponen penting kapal tak sampai. Penyertaannya dalam LIMA 2019 juga dibatalkan.

Hakikatnya ia telah bergelumang dengan pelbagai masalah untuk disiapkan dan sekali lagi isu kelemahan tadbir urus menjadi antara punca utama kepada kegagalan projek LCS. 

Untuk kali kedua, kerajaan terpaksa campur tangan untuk menyelamatkan projek ini dari berlarutan tertangguh atau terbengkalai terus. 

Program LCS ini merupakan program yang penting bagi TLDM untuk mendapatkan aset yang baru dan canggih dalam memelihara kedaulatan samudera negara.

Kebergantungan kepada aset lama dan usang meletakkan tahap kesiagaan TLDM berada pada tahap yang lemah, menyebabkan armada kita semakin terbelakang berbanding negara serantau.

sumber : Malaysia Gazette & Sinar Harian

Monday, May 3, 2021

CHINA LULUSKAN UNDANG-UNDANG PASTIKAN KEDAULATANNYA DI LCS BIMBANGKAN NEGARA ASIA LAIN.

Kapal Coast Guard China

China telah meluluskan undang-undang baru yang akan memberi lebih banyak kuasa kepada agensi penguatkuasa maritimnya dalam memastikan kedaulatan Beijing terhadap perairan yang didakwa sebagai miliknya terutama Laut China Selatan.

Bagaimanapun undang-undang itu dijangka akan menghangatkan lagi pertelingkahan antara China dengan negara-negara Asia yang lain serta Amerika Syarikat membabitkan pertikaian mengenai hak pemilikan sebahagian besar daripada Laut China Selatan.

Undang-undang terbaru itu diluluskan oleh Kongres Kebangsaan Rakyat China, yang merupakan badan pembuat undang-undang paling tinggi negara itu pada 29 April lepas.

Ia dijangka akan dikuatkuasa pada 1 September depan, menurut Xinhua, yang merupakan agensi berita rasmi China.

Undang-undang terbaru China itu akan membenarkan agensi penguatkuasa keselamatan maritim negara itu yang terletak di bawah Kementerian Pengangkutan untuk memerintah mana-mana kapal asing meninggalkan perairan yang didakwa oleh Beijing sebagai miliknya sekiranya ia menjejaskan keselamatan kepada negara.

Penggubalan undang-undang terbaru ini menyusul perlaksanaan Undang-Undang Pengawal Pantai yang membenarkan kapal-kapal pengawal pantai China bertindak termasuk melepaskan tembakan terhadap mana-mana kapal asing yang memasuki perairannya termasuk di kawasan yang didakwa sebagai miliknya.

Undang-undang Pengawal Pantai itu telah menghangatkan lagi pertikaian Beijing dengan negara-negara littoral Laut China Selatan serta Taiwan yang menduduki atoll di perairan yang strategik itu seperti Pulau Pratas.

Selain itu, undang-undang itu dikecam hebat oleh Jepun yang mempunyai isu tuntutan bertindih dengan China melibatkan Kepulauan Senkaku atau Diaoyu sebagaimana dipanggil oleh Beijing.

Operation FONOP yang dijalankan oleh U.S dan Perancis di Laut China Selatan

Beijing kerap menghantar kapal-kapal perangnya ke perairan berhampiran Senkaku untuk mencabar pemilikan Tokyo terhadap pulau-pulau itu.

Bagi menyokong sekutunya di Indo-Pasifik, Washington juga mengerahkan kapal-kapal perangnya untuk melakukan operasi FONOP (Freedom of Operations Navigation) terhadap kawasan-kawasan perairan yang didakwa Beijing sebagai milikinya tetapi tidak diiktiraf di bawah undang-undang antarabangsa.

sumber :Defence Security Asia