Thursday, December 24, 2020

KERAJAAN LULUS PEROLEHAN PESAWAT TEMPUR RINGAN TUDM - PANGLIMA

Dua jenis LCA yang menjadi pilihan TUDM

SUBANG – Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal hari ini menyatakan kerajaan telah meluluskan perolehan tempur ringan untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut beliau, perolehan tersebut adalah melibatkan pesawat dwi-fungsi iaitu  Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (LIFT/LCA).

“Pesawat platform tunggal dwi-fungsi ini perlu memiliki keupayaan yang seimbang dalam melaksanakan peranan untuk melatih juruterbang pesawat pejuang dan pelbagai misi operasi,” katanya semasa sidang media di Pangkalan Udara Subang.

Perolehan LIFT/LCA merupakan salah satu daripada komponen  Pelan Keupayaan 55 (CAP55).

Menurut beliau, kerajaan sebelum ini telah meluluskan Pesawat Rondaan Maritim (MPA), Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS), Radar, dan sewaan helikopter bagi menggantikan Nuri.

“Menyentuh perolehan LIFT/LCA, saya belum mendapat maklumat secara terperinci namun kita tahu bahawa ianya telah diluluskan,

“Kita akan mengkaji cara-cara perolehan pesawat tersebut,” ujarnya.

Ackbal menyatakan perolehan LCA/LIFT merupakan antara perkembangan terbaharu dalam perancangan CAP55 yang akan memasuki Fasa 1 mulai tahun hadapan.

Panglima Tentera Udara menegaskan, Fasa 1 CAP55 merupakan bahagian penting dan kritikal.

“Fasa 1 CAP55 akan bermula pada tahun hadapan dan merupakan bahagian paling kritikal kerana ianya akan memberi kesan kepada hala tuju keseluruhan perancangan,

“Fasa ini juga memberi fokus untuk  menggantikan kesemua aset utama yang melebihi usia 20 ke 30 tahun seperti pesawat Bae Hawk,” jelasnya.

Dalam jawapan bertulis yang diedarkan kepada media, TUDM telah merancang untuk memperolehi sebanyak 36 buah pesawat FLIT/LCA.

Perolehan akan dibuat secara berfasa di mana 18 buah pesawat akan diperolehi terlebih dahulu melalui pendaftaran projek baharu 2021.

“Permohonan untuk perolehan Fasa 2 untuk 18 buah pesawat lagi akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-13,” jelas kenyataan itu. 

sumber : airtimes


SYARIKAT TEMPATAN BINA BOT TENTERA LAUT NIGERIA

 4 buah bot peronda tentera laut Nigeria berkelajuan 50 knot

𝗟𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝘄𝗶 – Empat bot peronda pesisir pantai berkelajuan tinggi milik Tentera Laut Nigeria bernilai RM32 juta berjaya disiapkan syarikat pembinaan dan pembaikan kapal tempatan, Northern Shipyard Sdn. Bhd. yang berpangkalan di pulau peranginan ini.

Pihak NSSB telah memulakan pembinaan bot tersebut pada Februari lalu selepas mendapat tempahan daripada syarikat dari Singapura, Suncraft International Pte Ltd dan tentera laut berkenaan.

Bot itu berjaya disiapkan dalam tempoh hanya 10 bulan sahaja dengan menggunakan tenaga kerja dan kepakaran anak tempatan Langkawi.

Bot peronda pesisir pantai ini mempunyai panjang 17 meter dan 4.3 meter lebar yang direka bentuk dari Itali menggunakan dua enjin dari Jerman yang masing-masing 1,200 berkuasa kuda dan boleh mencapai kelajuan 50 knot.

Bot ini juga memenuhi standard International seperti kalis peluru, berkelajuan tinggi sehingga mencatat kelajuan 55 knot sejam serta memiliki peralatan canggih. 

Hadir melancarkan bot tersebut ialah Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi sambil disaksikan Pengarah Urusan Northern Shipyard, Ooi Cheng Choon.

Syabas syarikat tempatan.

sumber : kosmo online

Sunday, December 13, 2020

SEJARAH PERJUANGAN SEMALAM

Hari itu dalam lipatan sejarah : foto dari informasi tempur

Secebis sejarah pengunduran Kompeni D BN 4 PPH dari Thailand pada 06 JUN 1976.

Pengunduran  PPH  di bantu  oleh  Royal Thai  Army diiringi dari  Betong  ke Ayer  Panas Kroh dan di sambut  lebih  dari 5 Batalion PPH yang siap sedia menunggu kepulangan Wira Wira Negara .

Pengunduran ini terjadi berpunca apabila pengganas komunis telah berjaya menghasut Thai BPP supaya tidak bekerjasama dgn PPH .

Akibat termakan hasutan itu  telah menyebabkan pihak Thai BPP enggan untuk keluar meronda bersama sama PPH didalam Wilayah Thailand seperti kelazimannya . 

Berikutan dengan keengganan Thai BPP itu telah menyebabkan rondaaan bersama tidak dapat dilakukan oleh kerana PPH tidak boleh meronda sendirian di dalam wilayah Thailand .

Bila keadaan ini berlaku, komunis telah bebas bergerak keluar masuk ke Malaysia kerana PPH tidak  boleh lagi melakukan rondaan dan  bergerak didalam kawasan Thailand .

Akibatnya hampir mencetuskan pergaduhan diantara THAI BPP dgn PPH. Akhirnya kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk menarik balik keluar semua anggota PPH yg berada di Thailand . 

long march oleh PPH :foto dari informasi tempur

Bagaimanapun timbul pula masaalah lain apabila  Thai BPP ( Thai Border Police Patrol ) tidak membenarkan kereta kebal kita memasuki wilayah Thailand seperti kebiasaannya untuk melindungi Konvoi PPH semasa bergerak keluar dari Thailand,  sedangkan ancaman akan berlakunya kejadian serang hendap dari pengganas komunis sangat tinggi pada masa itu .

Rundingan diantara pihak kerajaan Thai dgn Malaysia yang di ketuai olih Tan Sri Ghazali Shafie telah dijalankan dan hasil dari rundingan pihak Kerajaan Thailand telah bersetuju untuk menarik balik sebarang penglibatan Thai BPP dalam proses pengunduran PPH dari Thailand dan kemudiannya tugas ini telah digantikan oleh Tentera Thailand. 

Pengunduran ini sangat dramatik apabila sorang Leftenan tentera Thailand telah membuat pengumuman melalui pembesar suara disekitar pekan Betong, jika berlaku sebarang tembakan keatas PPH semasa pengunduran secara berjalan kaki ini berlangsung di dalam wilayah Negara Thailand , seluruh pekan Betong akan dibakar oleh tentera Thailand.

Sepanjang kiri kanan jalan dari Thailand hingga ke sempadan Malaysia Thailand dikawal ketat oleh tentera Thailand, manakala disebelah Malaysia oleh tentera Malaysia hingga ke pekan Keroh.

Satu kejutan sepontan telah berlaku semasa PPH sampai di Kg Air Panas Keroh, apabila pendudok kampong telah keluar beramai ramai berbaris ditepi jalan sambil menaburkan bunga kepada PPH yang sedang berjalan didepan mereka .

penduduk keluar memberi sambutan

Keadaan ini sangat mengharukan dan telah memberikan suntikan semangat kepada semua PPH yang terlibat dipintu sempadan keluar dari Thailand. 

Tan Sri Ghazali Shafie sendiri selaku Menteri Dalam Negeri masa itu, turut berada disitu sebagai pembakar semangat kepada para anggota PPH yg berkenaan.

Di Kem Tentera di Keroh semua unit artileri  bersiap sedia dan telah menghalakan sasaran nya kearah Thailand.

BELAJARLAH DARI SEJARAH , AGAR BANGSA KITA TIDAK MENJADI TINGGALAN SEJARAH .

TERIMA KASIH .

kredit kepada Tuan Khalid Ab Rahim

sumber : informasi tempur

Tuesday, December 8, 2020

TDM UJI TEMBAKAN SRLB ASTROS II DALAM EKSESAIS LEMBING SAKTI

Tembakan Astros II dalam Eksesais Lembing Sakti : foto berita tentera darat Malaysia

Portal Berita Tentera Darat Malaysia melaporkan, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain telah menyaksikan tembakan Sistem Roket Lancar Berganda (SRLB) ASTROS II dalam Eksesais Lembing Sakti di Tanjung Hantu, Lumut semalam.

Eksesais yang melibatkan 59 pegawai dan 382 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pasukan Markas Briged Roket, Rejimen 51 Artileri Diraja (51 RAD), 52 RAD dan 61 RAD ini merupakan latihan tembakan SRLB ASTROS II yang dilaksanakan pada setiap tahun bertujuan menguji tembakan Complete Round Proof (CRP) bagi memanjangkan jangka hayat roket.

Selain itu, eksesais ini juga menguji dan menilai kompetensi pegawai serta anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dalam melaksanakan tembakan roket hidup dan tahap kesiagaan pasukan yang mana turut dibantu oleh TLDM, TUDM dan agensi penguatkuasa awam setempat dalam keselamatan latihan.

Sistem Pelancar Astros II ; Foto internet

Sistem SRLB ASTROS II telah diperolehi dari firma Avibras, Brazil dan ditauliahkan dalam Rejimen Artileri sejak tahun 2002 dengan kekuatan satu rejimen. Penambahan jumlah dengan pembentukan rejimen kedua SRLB ASTROS menjadikan jumlah sistem artileri roket berganda ini terus meningkat.

Sistem artileri ini memberikan Tentera Darat keupayaan serangan strategik yang mampu menjangkau jarak dari sembilan kilometer (km) sehingga 90km dengan pelancar yang boleh menggunakan roket berkaliber pelbagai.

Roket SS-80

Pada masa sama, ianya sesuai dengan jarak serangan yang dikehendaki selain lancaran berganda ini mampu menyebabkan kemusnahan skala besar pada kawasan sasaran yang dikehendaki seiring dengan nama ASTROS yang bermaksud Artillery Saturation Rocket System.

Kesemua roket menggunakan kepala peledak HE yang mana tiub pelancar roket pada sistem ASTROS II ini boleh ditukar ganti bersesuaian dengan roket yang digunakan. Setakat ini Avibras dikatakan telah meningkatkan keupayaan pelancaran peluru berpandu jelajah pada sistem ASTROS 2020 dengan jangkauan jarak sehingga 300km.

sumber : www.funtasticko.net



TLDM TERIMA 11 BOT TEMPUR RHIB BARU

Bot RHIB baru TLDM :foto kosmo 

LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima 11 bot tempur baru bernilai RM8.2 juta untuk digunakan Pasukan Khas Laut (Paskal) dalam Operasi Benteng Laut (Op Benteng).

Bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) yang memiliki kelajuan maksimum sehingga 45 knot itu akan digunakan untuk beroperasi di perairan sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia bermula minggu depan.

Panglima Paskal, Laksamana Pertama Mohd Redzuan Talib, berkata dua bot tersebut akan ditempatkan di Pangkalan TLDM Lumut di sini manakala selebihnya ditempatkan di beberapa lokasi tertentu dan strategik di perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan.

“Bot RHIB ini telah digunakan oleh PASKAL sejak lebih 20 tahun lalu dan terbukti memang lasak terutama dalam keadaan laut bergelora ketika masuk musim tengkujuh ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan bot berkenaan oleh syarikat Kumpulan MSET Holdings Sdn Bhd di Jeti Air Cetek, Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Turut hadir, Panglima TLDM,  Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd Sany; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Ruji Ubi serta Pengarah Urusan Kumpulan MSET Holdings Sdn Bhd, Aminudin Mat Yusof.

Mohd Redzuan berkata, bot yang mempunyai panjang 7.62 meter, berat tiga metrik tan, dua enjin yang mana setiap satu memiliki kelajuan 400 kuasa kuda itu boleh memuatkan 12 orang.

Menurut beliau, bot berkenaan yang mudah dibawa sama ada melalui kapal TLDM sedia ada atau diangkat menggunakan pesawat, akan dikendalikan juragan terlatih dalam Paskal.

Beliau berkata, lebih membanggakan apabila bot tersebut dibina oleh syarikat anak tempatan berpangkalan di Kuala Terengganu, Terengganu dan berjaya disiapkan dalam tempoh ditetapkan iaitu lapan minggu.

Tegasnya, perolehan aset terbaru Paskal itu sedikit sebanyak akan meningkatkan lagi keupayaan pelaksanaan Op Benteng yang turut digembleng bersama Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pelaksanaan Op Benteng di bawah National Task Force (NTF) yang diterajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 12 Mei lalu bertujuan mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan.

Op tersebut merangkumi kemasukan pendatang tanpa izin (PATI), rompakan laut atau lanun, pemerdagangan manusia, penyeludupan dan pencerobohan nelayan asing yang dikhuatiri akan meningkatkan pandemik virus Covid-19.

sumber : Kosmo.com.my

Thursday, December 3, 2020

OPV PERTAMA APMM SEDIA UNTUK DILANCARKAN

OPV pertama APMM no pennamt 8305

Di dalam tempoh terdekat ini, kapal Offshore Patrol Vessel (OPV) pertama no 8305 milik Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang sedang dibina dijangka siap sepenuhnya bagi membolehkan agensi negara itu menguatkuasakan undang-undang maritim negara dengan lebih berkesan.

OPV pertama ini dikatakan bakal dilancarkan pada 28 November tetapi ditunda ke tarikh lain yang tidak diberitahu.

APMM bakal dilengkapi dengan tiga buah kapal OPV yang baharu, dengan yang pertama tidak lama lagi manakala dua lagi pada tahun depan.

foto dari internet

Kapal OPV yang direkabentuk mengikut rekaan Damen 1800 itu berkeupayaan melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.

Kapal OPV milik APMM ini berukuran 83 meter panjang dengan 13.7 meter lebar dan berkemampuan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal-kapal kecil. Kapal-kapal OPV itu dibina oleh THHE-Destini dengan kontrak telah dianugerahkan pada 2017.

Ia bakal dilengkapi dengan meriam, berkelajuan 21 knot dengan dilengkapi fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter, bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dan bilik rawatan serta bilik tahanan.

setelah dilancarkan MMEA akan perolehi kapal OPV mereka yang pertama

Kapal OPV ini juga didatangkan bersama radar X dan ‘S band’ bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas serta boleh menempatkan 70 orang anak kapal dengan 20 penumpang dalam satu masa bagi melaksanakan operasi di laut.

Selain itu, Menteri Dalam Negeri baru-baru ini juga menyatakan,  Kementerian Dalam Negeri juga dalam proses memajukan permohonan bagi perolehan Multi Purpose Mission Ship (MPMS) atau kapal induk yang dilengkapi dengan peralatan canggih berteknologi tinggi serta berkemampuan membawa 6 unit fast interceptor craft dan UAV.

sumber : Defence Security Asia