Monday, October 31, 2022

SUDAH TIBA MASANYA NGPV KELAS KEDAH DIUPGRADE

Kapal Peronda Generasi Baru (NGPV)

Sudah tiba masanya kapal-kapal peronda generasi baru (NGPV) kelas-Kedah milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dibina kira-kira 10 tahun yang lepas dinaiktaraf untuk mengelak ia menjadi kapal perang yang usang.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany menjelaskan sebahagian sistem di dalam kapal itu sudah usang dengan alat-alat gantinya sukar diperolehi di pasaran.

“Sudah tiba masanya untuk kita tukar sistem pada kapal ini kepada sistem baru seperti sistem penderia (sensor) dan sistem persenjataaan. Namun, semua proses ini tertakluk kepada peruntukan yang disediakan,” katanya sebagaimana dipetik oleh agensi berita nasional, Bernama hari ini.

Bukan sahaja kapal peronda generasi baru milik TLDM memerlukan usaha naiktaraf, malah kebanyakan aset TLDM sememangnya perlu dinaiktaraf, menurutnya.

Selain itu, TLDM katanya, juga perlu membuat perolehan kapal-kapal baru kerana terdapat di antara kapal-kapal itu sudah berusia di antara 40 hingga 50 tahun.

“Mereka (anggota) harus cekap dan mahir dalam pelaksanaan tugas atau dengan kata lain kompeten  mengoperasikan peralatan di kapal, namun, kecekapan mereka terhad dengan teknologi yang dimiliki kapal TLDM yang rata-ratanya menjangkau usia 40 tahun (dan ke atas).

“Oleh itu, perolehan kapal TLDM yang baru amat kritikal, bagi melahirkan navy people yang competent. (Jadi) apa-apa perancangan sekali pun, hendaklah berlandaskan kepada peruntukan,” katanya.

Panglima TLDM ditemui pemberita selepas menyaksikan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih.

Seramai 569 Perajurit Muda ditauliahkan sijil tamat latihan, selepas menjalani latihan di KD Sultan Ismail sejak 20 Mei sehingga 29 Okt lepas.

Pada Ogos lalu, terdapat laporan mengatakan TLDM merancang untuk melengkapkan dua buah kapal peronda generasi baru kelas-Kedah dengan peluru berpandu “Naval Strike Missile” (NSM) yang dibangunkan oleh firma pertahanan Norway, Kongsberg.

Rancangan melengkapkan dua buah kapal peronda kelas-Kedah dengan peluru berpandu NSM dijangka menelan belanja sebanyak RM214 juta.

Rancangan TLDM untuk melengkapkan dua buah kapal peronda kelas-Kedah dicadang dilaksana dibawah “Rolling Plan 4” Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang akan dibiayai menerusi Belanjawan Tahun 2024.

TLDM mengoperasikan enam buah kapal peronda generasi baru kelas-Kedah yang diterimanya bermula daripada tahun 2006 hingga 2010.

sumber : Defence Security Asia

Thursday, October 13, 2022

OPV PERTAMA APMM BERJAYA DILANCARKAN

OPV APMM -Tun Fatimah

PUTRAJAYA, 11 Okt – Kapal Peronda Luar Pesisir yang pertama (OPV 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya dilancarkan ke air di Pelabuhan Klang, pada Isnin.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, OPV 1 dilancarkan ke air di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) di Pelabuhan Klang jam 5.57 pagi dengan menggunakan sistem pelancaran ‘Air Balloon’.

“Selepas ini pihak THHE akan menghidupkan dan mentauliah sistem kapal, membuat ujian di laut serta menyediakan latihan kepada kru kapal selama tiga bulan sebelum majlis penyerahan kapal OPV 1 kepada APMM dibuat pada awal tahun 2023,

“Kapal OPV 1 berukuran 83 meter panjang dengan 13.7 meter lebar itu berkemampuan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal-kapal kecil,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, kapal yang direka bentuk ini mengikut reka bentuk kapal Damen 1800 itu, berkeupayaan melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.

“Selepas diserahkan kepada APMM kelak, OPV 1 dijangka akan beroperasi di kawasan perairan sekitar Beting Patinggi Ali di Sarawak,” ujarnya.

Kapal OPV 1 yang dinamakan Tun Fatimah itu sepatutnya dilancarkan pada 13 Sept yang lalu sebelum tarikh pelancarannya dilanjutkan kepada 10 Oktober.

Pelancaran kapal itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan Malaysia, Anis Rizana Mohd Zainudin, Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ahmad Firdaus Baharudin serta ahli-ahli lembaga pengarah dan pengurusan Urusharta Jamaah Sdn Bhd dan TH Heavy Engineering Berhad.

sumber : airtimes network

Saturday, October 8, 2022

RM35.7 BILION UNTUK KDN DAN MINDEF : BUDGET 2023

FA 50

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM18.3 bilion dan RM17.4 bilion untuk terus memperkukuhkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini berkata pada 2023 usaha kerajaan adalah untuk melaksanakan pembelian dan penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan kesiagaan pertahanan dengan peruntukan hampir RM4 bilion.

Beliau berkata kerajaan juga akan melakukan pembelian dan penyelenggaraan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan keselamatan dalam negeri dengan peruntukan RM431 juta.

"Usaha utama kerajaan termasuk aspek penyelenggaraan semua kapal dan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi memastikan keselamatan kawasan maritim negara dengan peruntukan RM485 juta.

"Selain itu, perolehan alat pengimbas badan dan menaik taraf fasiliti di lima penjara antaranya Penjara Seremban di Negeri Sembilan dengan peruntukan RM18 juta," katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan akan turut menambah 25 pos kawalan sempadan Pasukan Gerakan Am (PGA), Imigresen, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), APMM antaranya di Serikin, Sarawak dan Lahad Datu di Sabah.

Sementara itu, beliau berkata kebajikan pasukan beruniform tanah air dan para pesara akan terus dipelihara menerusi inisiatif yang akan dilaksanakan tahun hadapan merangkumi RM118 juta untuk menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

"Kerajaan bercadang untuk membina RKAT baharu pelbagai kelas di Pangkalan Udara Butterworth Pulau Pinang selain 12 projek pembinaan RKAT yang sedang berjalan.

"Sebanyak RM42 juta diperuntukkan bagi membaik pulih dan menaik taraf kuarters kediaman PDRM," katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata RM28 juta diperuntukkan pada 2023 bagi meneruskan tiga projek pembinaan kuarters di bawah Jabatan Penjara antaranya di Pusat Koreksional Labuan dan Akademi Koreksional Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan memberikan 50 peratus diskaun ke atas pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana kepada 21,000 pemegang kad veteran ATM dan kad pesara polis di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang.

sumber : BERNAMA

Tuesday, October 4, 2022

MBT VICKERS MK.3 PERNAH DITAWAR KEPADA MALAYSIA

Kereta Kebal Vickers Mk.3

Kereta kebal tempur utama Vickers Mk.3 adalah pembangunan lanjutan dari kereta kebal Vickers Mk.1. Ia dibangunkan sebagai usaha dari pihak swasta. MBT ini didedahkan pada pertengahan 1970-an dan disasarkan untuk eksport pelanggan luar. 

Hanya dua buah negara yang mengendalikan mbt ini iaitu Nigeria (70 MBT) dan Kenya (kira-kira 80). Penghantaran kereta kebal ini telah siap pada tahun 1995.

Susun atur kereta kebal Vickers Mk.3 adalah serupa dengan Mk.1, tetapi ia mempunyai turet baharu, menawarkan perlindungan yang lebih baik. Kenderaan tidak mempunyai perisai Chobham seperti yang terdapat pada MBT Challenger II

Vickers Mk3 dipersenjatai dengan meriam rifled 105 mm British L7A1 yang penstabil sepenuhnya. Ianya mampu menembak pelbagai jenis peluru NATO. Meriam yang sama digunakan pada Vickers Mk.1, namun Mk.3 mempunyai sistem kawalan tembakan baharu.

Persenjataan sekunder terdiri daripada mesingan sepaksi 7.62 mm, antara mesingan berat 12.7 mm dan mesingan 7.62 mm anti-pesawat.

Kenderaan ini dikuasakan oleh enjin diesel pengecas turbo Detroit Diesel 12V-71T, membangunkan 720 kuasa kuda. Casis Vickers Mk.3 adalah serupa dengan Mk.1.

Kereta Kebal Vickers Mk.3 tentera Kenya

Terdapat satu varian iaitu MBT Vickers Mk.3(1) yang pasang dengan perisai reaktif letupan, sistem kawalan tembakan yang dipertingkatkan dan enjin British Condor CV 12 TCE. Ia juga dirujuk sebagai Vickers Mk.3M. untuk Malaysia.

Vickers Mark 3(M) ditawarkan kepada TD bersaing untuk kontrak MBT pertama negara. Huruf M untuk Malaysia atau Modernized. Vickers Mark 3(M) sempurna dibina oleh firma Vickers pada 1996 dan menjalani ujian pada tahun berikutnya.

Mk 3 standard telah dinilai oleh Tentera Darat Malaysia pada akhir 1995; ia mengembara lebih 2,000 km dan melepaskan 80 butir peluru 105 mm.

Perbezaan ketara Vickers Mark 3(M) berbanding model sebelumnya dipasang dengan perlindungan reaktif armor VARMA seperti ERAWA 2 pada PT-91M.

Hanya satu unit Vickers Mark 3(M) sahaja dibina setelah tewas kepada PT-91M untuk program MBT pertama negara, tidak pasti dimana model prototaip Vickers Mark 3(M) berada sekarang. Firma Vickers pls akhirnya diambil alih oleh Rolls-Royce pada tahun 1999.

sumber : army guide & informasi tempur