Tuesday, March 29, 2022

PEMBELIAN PESAWAT MPA, KEPUTUSAN MOF DITUNGGU - PTU

Bombadier Global 6000 - swordfish MPA

KUALA LUMPUR: Proses perolehan membabitkan beberapa Pesawat Peronda Maritim (MPA) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang baharu akan diputuskan oleh Kementerian Kewangan (MoF) selepas cadangan tersebut dikemukakan Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan.

Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan ketika menjelaskan perkara itu berkata, penilaian teknikal terhadap pembelian pesawat berkenaan juga telah selesai dijalankan sepenuhnya.

“Sekarang masih lagi di peringkat MoF untuk mereka membuat sebarang keputusan mengenai perkara ini.

"Lembaga Perolehan pun sudah lengkap dan kita menunggu keputusan MoF,” jelasnya pada sidang media pada Rabu.

Bagaimanapun, tambahnya, TUDM tidak akan mendedahkan jumlah syarikat yang telah disenaraikan setakat ini.

“Proses seterusnya (selepas kelulusan MoF) adalah melakukan penilaian secara fizikal.

"Jadi semua yang telah disenarai pendek itu kita akan hantar pasukan untuk melakukan penilaian teknikal dan penilaian sepenuhnya nanti,” katanya.

Sementara itu, katanya, proses pembelian helikopter yang akan digunakan oleh TUDM pada masa akan datang juga masih berjalan.

Ia bagi menambah baik segala aset-aset milik TUDM dalam memperkasakan keupayaan sedia ada ketika ini.

sumber : Astroawani

DSA 2022 - UAV TAKTIKAL PERTAMA NEGARA KELUARAN DEFTECH

UAV taktikal dari DEFTECH

Kuala Lumpur: Pesawat udara tanpa pemandu (UAV) pertama di Malaysia yang direka dan dibangunkan secara tempatan diperkenalkan DRB-HICOM Defence Tecnologies Sdn Bhd (Deftech).

UAV taktikal itu mampu melaksanakan operasi kompleks dan dron autonomi yang berkebolehan mengakses kawasan yang sukar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deftech, Fazley Ariffin berkata, teknologi autonomi seperti UAV atau dron dapat melipat gandakan keupayaan pasukan pertahanan dan keselamatan.

"Ia menyediakan platform yang selamat dalam mengendalikan apa jua situasi atau persekitaran yang bahaya dan mencabar,"katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, Panglima Tentera Udara Malaysia (TUDM), Datuk Seri Asghar Khan Goriman Khan merasmikan UAV berkenaan ketika membuat lawatan di reruai pameran Deftech, di sini.

Fazley berkata, pesawat ini adalah UAV taktikal kendalian landasan yang mampu melaksanakan operasi yang kompleks, dron autonomi yang berkebolehan mengakses kawasan yang sukar, sekali gus meminimumkan risiko nyawa manunsia.

“Pembangunan ini menandakan satu langkah ke hadapan yang baharu untuk DEFTECH dalam menerokai bidang teknologi pertahanan.

"UAV ini mempunyai kemampuan mengawasi ruang udara di waktu siang dan malam, serta berupaya beroperasi di pendalaman dan maritim.

"Ia direka bentuk mempunyai berat maksimum 120 kilogram (kg) untuk berlepas, ketahanan selama 10 jam dengan jarak 100 km hingga 200 km dan boleh menampung kapasiti muatan seberat 15 kg,"katanya.

Menurutnya, pembangunan UAV risikan, pengawasan dan peninjauan (ISR) ini adalah hasil daripada pengalaman yang dipelajari ketika bekerjasama dengan pasukan pertahanan dan keselamatan dalam mengendalikan dron untuk operasi yang berbeza.

"Penggunaan UAV oleh pihak tentera dan keselamatan awam pasti akan menjadi aset untuk keselamatan negara Malaysia, trutamanya untuk situasi kritikal dan sensitif masa.

"UAV ISR ini akan dipamerkan di DSA 2022 bermula hari ini sehingga berkahir pada 31 Mac," katanya.

sumber : harianmetro.com



Wednesday, March 23, 2022

7 ASET BARU TUDM PERKASAKAN PERTAHANAN UDARA.

Aset dalam perancangan TUDM

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal diperlengkapkan dengan tujuh aset terkini dalam usaha meningkatkan keupayaan sistem pertahanan udara negara dan aset dijangka beroperasi seawal 2024.

Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman, berkata perolehan beberapa aset baharu itu selaras dengan misi membangunkan keupayaan hadapan TUDM.

Katanya, TUDM sedang membuat perolehan secara berperingkat pesawat tempur ringan dwifungsi 'Fighter-Lead-In-Trainer/Light Combat Aircraft' (FLIT-LCA), yang akan mula beroperasi pada 2024.

"Keupayaan pertahanan udara juga akan dipertingkatkan dengan pelan perolehan tiga Sistem Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh (LORAD) melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Selain itu, TUDM dalam proses perolehan beberapa aset lain iaitu sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) Medium Altitude Long Endurance (MALE-UAS), yang dijangka akan mula beroperasi pada 2024/2025 dan pesawat peronda maritim (MPA), yang dijangka beroperasi pada 2025," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan perintah ulung sebagai Panglima Tentera Udara ke-20 di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Asghar berkata, pesawat UAS kini di peringkat penilaian fizikal yang sudah disenarai pendek oleh Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan, manakala perolehan MPA masih di peringkat Kementerian Kewangan, dengan beberapa syarikat pesawat sudah disenaraikan untuk tindakan selanjutnya.

Selain itu, beliau berkata, TUDM juga akan memiliki satu sistem radar pertahanan udara, yang bakal diterima pada 2024 melalui jalinan diplomasi pertahanan bilateral dengan negara lain.

"Perolehan seterusnya adalah melalui program RMK-13 bagi melengkapkan keseluruhan sembilan radar yang diperlukan.

"TUDM juga merancang untuk sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD) mulai dari RMK-12 hingga RMK-15. Ini akan meningkatkan keupayaan TUDM dalam mencegah sebarang bentuk ancaman udara," katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi penggantian pesawat helikopter utiliti, proses perolehan dijangka berlaku seawal tahun hadapan.

Terdahulu, Mohd Asghar dalam ucapan ulungnya, menggariskan enam tonggak dalam mencapai visi dan misinya sebagai Panglima Tentera Udara yang baharu.

Enam tonggak itu ialah pemantapan keupayaan dan kesiagaan TUDM, keunggulan struktur dan kecemerlangan organisasi serta pemerkasaan dan pengupayaan warga udara.

Selain itu, mengoptimumkan pengurusan sumber dan meningkatkan budaya inovasi, meningkatkan keupayaan TUDM melalui kolaborasi bersama industri pertahanan tempatan dan yang terakhir, kebajikan sosial dan kelestarian warga.

sumber : bharian.com.my

Monday, March 21, 2022

OPV TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI - KELAS DARUSSALAM

OPV KDB Darussalam - No.06

Kapal peronda luar pesisir kelas Darussalam ialah kelas bagi empat kapal peronda luar pesisir (OPV) yang dibina untuk Tentera Laut Diraja Brunei. 

Merupakan kapal terbesar dan paling berkebolehan dalam Tentera Laut Diraja Brunei, dan sering menyertai latihan tentera laut antarabangsa.

Brunei menempah OPV kelas Darussalam daripada firma German Lürssen, syarikat yang sama yang Brunei kontrak untuk menjual korvet kelas Nakhoda Ragam, dan dua kapal pertama dihantar pada Januari 2011. Kumpulan kedua dua kapal telah dihantar pada 2014.

KDB Darulaman (08)

Kelas Darussalam ini terdiri dari empat buah kapal iaitu KDB Darussalam (06), KDB Darulehsan (07), KDB Darulaman (08) dan KDB Daruttaqwa (09)

Kelas DARUSSALAM adalah yang pertama dalam kelasnya dengan panjang 80 meter, 13 meter lebar dan berat 1625 tan. 

Ia digerakkan oleh enjin diesel 2 × MTU 11400hp 12V yang menghasilkan kelajuan maksima 22 knot (41km/jam) dengan jarak rondaan 7500 batu nautika dan mempunyai ketahanan selama 21 hari di laut. 

KDB Darulehsan (07)
Kapal OPV ni dilengkapi dengan peluru berpandu permukaan ke permukaan Exocet MM40 Block 3 dan meriam utama Bofors 57mm berkaliber sederhana. Ia juga turut dilengkapi dengan 2 unit mesingan ringan Oerlikon 20mm.

OPV kelas Darussalam ini banyak menyertai latihan bersama dengan pasukan tentera laut dari negara lain seperti latihan RIMPAC 2014, SEAGULL 2016, PASSEX 2018 dan latihan PELICAN 2019

sumber : wikipedia, Navyrecognition.com

Sunday, March 20, 2022

ENJIN DARI KOREA SELATAN UNTUK KERETA KEBAL ALTAY

Kereta kebal Altay

Masalah yang membelenggu kereta kebal Altay buatan Turki sejak bertahun lamanya akhirnya terlerai apabila enjin kereta kebal buatan Korea Selatan akan digunakan.

Syarikat Turki, BMC telah menandatangani perjanjian dengan dua syarikat Korea Selatan, Doosan Infracore Co dan S&T Dynamics Co bagi bekalan enjin serta sistem transmisi bagi kereta kebal buatan tempatan Turki itu.

Enjin ini dikatakan telah sampai dan sedang diuji di Turki. Menurut Ismail Demir, ketua Presiden Industri Pertahanan Turki (SSB) pada bulan May ini prototaip kereta kebal Altay akan dipasang dengan enjin dari Korea Selatan dan akan melalui pelbagai ujian.

Turki memulakan projek MBT pada 2007, tetapi berdepan dengan masalah perolehan enjin kerana beberapa syarikat Eropah enggan menjualnya atas beberapa alasan tertentu.

Sebelum ini, prototaip kereta kebal tempur Altay akan dikuasakan oleh enjin diesel 1,500 kuasa kuda daripada MTU Friedrichshafen GmbH Jerman. 

Rheinmetall Jerman juga telah menubuhkan usaha sama dengan BMC yang bertujuan untuk pengeluaran bersama kenderaan berperisai, khususnya kereta kebal tempur utama, Altay. 

Bagaimanapun, pengeluaran dan bekalan enjin kereta kebal itu terhenti berikutan keputusan Berlin mengenakan sekatan senjata terhadap Turki.

Perkara ini disebabkan campurtangan Turki dalam perang saudara di utara Syria dalam memerangi pengganas Daesh, PKK dan YPG.

Perjanjian pembekalan enjin : foto Daily Sabah

Menurut pegawai tentera Turki, enjin buatan Korea Selatan akan hanya melengkapkan kereta kebal “Altay” pada peringkat awal sahaja sementara pihak industri Turki akan membangunkan enjin dan transmisi kereta kebalnya sendiri.

Enjin buatan tempatan akan melengkapkan kereta kebal “Altay” yang dihasilkan pada peringkat seterusnya.

Projek Altay melibatkan dua fasa di mana 250 unit akan dihasilkan pada fasa pertama, diikuti dengan versi yang lebih baik pada fasa kedua iaitu sebanyak 1,000 unit kereta kebal dirancang untuk pengeluaran.

Kereta kebal itu dilengkapi dengan meriam utama Rheinmetall 120mm, mesingan berat berkaliber .50 dan mesingan sederhana 7.62mm.

sumber : dailysabah, turkishdefencenews. & DSA


Sunday, March 13, 2022

CINA BINA RADAR ANTI HALIMUNAN MAMPU KESAN F22 DAN F35

Radar anti pesawat Halimunan YLC-8E

Juruterbang pesawat-pesawat F-22 Raptor dan F-35 Joint Strike Fighter perlu lebih berhati-hati selepas ini kerana tentera China mendakwa ia telah berjaya membangunkan radar “anti-halimunan (stealth)” yang mampu mengesan kehadiran pesawat-pesawat yang didakwa sebagai halimunan (stealth).

Dibangunkan oleh China Electronics Technology Group Corporation (CETC), radar “anti-halimunan”  itu dinamakan “YLC-8E” dan ia menggunakan teknologi elektro magnetik untuk mengesan kedudukan pesawat-pesawat yang mendakwa mereka sebagai halimunan.

CETC memanggil “YLC-8E” sebagai radar perisikan generasi ke-4 dan mendakwa tahap pengesanan pesawat-pesawat halimunan oleh radar itu mencapai sehingga 95 peratus.

Dikatakan radar anti halimunan ini mempunyai keupayaan untuk mengesan pesawat pada jarak 500km atau peluru berpandu pada jarak 700km.

Menurut penganalisis tentera China, radar YLC-8E merupakan radar anti halimunan yang pertama di dunia menggunakan sistem UHF dan dipromosikan sebagai radar yang berkemampuan untuk mengesan pesawat-pesawat F-22 dan F-35.

Media nasionalis China, “Global Times” yang dimiliki oleh Parti Komunis China mendakwa radar anti-halimunan “YLC-8E” terbabit boleh mengesan pesawat halimunan seperti F-22 dan F-35 serta pesawat-pesawat lain daripada jarak jauh dengan ketepatan yang tinggi.

Selain mengesan pesawat-pesawat halimunan, radar YLC-8E juga boleh bertindak sebagai radar amaran awal serta radar pengesan tembakan artillery, menjadikan radar “anti-halimunan” buatan China ini sebagai radar serba-boleh, berkemampuan mengesan pelbagai sasaran.

Dengan satu radar, ia boleh melaksanakan pelbagai fungsi, sebagaimana didakwa oleh pihak tentera China.

Pengumuman China bahawa ia telah berjaya membangunkan radar “anti-halimunan” berlaku ketika negara-negara di dunia sedang berlumba-lumba untuk memperolehi pesawat dan dron halimunan untuk meningkatkan keupayaan tentera mereka.

Beijing mula membangunkan radar anti-halimunan pada awal tahun 2020.

Bagaimanapun bagi pemerhati pertahanan antarabangsa, ujian sebenar sama ada radar anti-halimunan ini benar-benar berfungsi mengesan pesawat-pesawat halimunan adalah untuk mengerah dan mengoperasinya di dalam waktu konflik di mana pesawat-pesawat halimunan terlibat.

Pada ketika ini belum ada konflik yang melibatkan pertentangan di antara radar halimunan dengan pesawat halimunan.

Pesawat-pesawat F-35  milik Amerika Syarikat dan Israel terlibat dalam misi-misi di Syria tetapi ia hanya berhadapan dengan radar-radar konvensional buatan Russia.

Setakat ini, dakwaan oleh firma China tentang radar  anti-halimunan itu hanya sekadar dakwaan selagi ia tidak dikerah ke medan peperangan dan berhadapan dengan pesawat-pesawat halimunan.

sumber : Defence Security Asia


Wednesday, March 2, 2022

TIGA HELIKOPTER MD530G DITEMPATKAN DI ESSCOM DAN TIGA DI KLANG

MD530G telah selamat tiba di Malaysia

Tiga daripada enam helikopter penyerang MD530G milik Tentera Darat akan ditempatkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), manakala bakinya akan ditempatkan di Kluang, Johor.

Kesemua enam Helikopter MD530G yang ditempah oleh Malaysia  itu bernilai RM 300 juta.

Perkara itu disahkan oleh Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain hari ini.

“Tiga helikopter itu akan ditempatkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), manakala bakinya akan ditempatkan di Kluang, Johor.

“Sebelum dibenarkan beroperasi, helikopter ini perlu melalui beberapa pemeriksaan seperti oleh Directorate General Technical Airworthiness dan pemeriksaan akhir oleh Tentera Darat melalui pasukan Final Acceptance Test (FAT),” katanya pada sidang media majlis penerimaan helikopter itu di sini, hari ini.

Tentera Darat hari ini menerima enam helikopter peninjau/penyerang ringan MD530G bagi meningkatkan kesiagaan dan keupayaan pasukan itu.

“Ini menandakan enam helikopter itu menjadi hak milik Tentera Darat secara rasmi dan dijangka memulakan operasi pada Oktober nanti,” katanya.

Helikopter MD530G yang dibekalkan oleh Syarikat Halaman Optima Sdn Bhd melalui Syarikat Destini Prima Sdn Bhd itu, merupakan buatan MD Helicopter Inc (MDHI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Ia tiba di Pelabuhan Klang pada 21 Feb lepas dari Pelabuhan Oakland, Amerika Syarikat.

Selain helikopter, kontrak perolehan itu turut merangkumi program latihan kepada lapan juruterbang dan sembilan juruteknik Pasukan Udara Tentera Darat.

Anggota tentera malaysia menjalani latihan mengenai MD530G

Diminta mengulas mengenai keraguan sesetengah pihak terhadap keupayaaan helikopter berkenaan, Zamrose berkata aset tersebut berpadanan dengan fungsi dan keadaan muka bumi di kawasan ia akan beroperasi.

Menurutnya tugas utama helikopter itu adalah untuk membuat tinjauan dan hanya menyerang sekiranya diancam musuh. 

Enam helikopter, buatan gergasi aeroangkasa AS McDonnell Douglas, MD Helicopters Inc, ditempah Kementerian Pertahanan pada 2016.

Tempahan itu menjadi tumpuan kontroversi apabila ia tidak dihantar mengikut jadual pada 2017 dan 2018.

Tarikh akhir selepas itu ialah hujung 2020 yang juga gagal ditepati, dilaporkan akibat isu teknikal.

sumber : Defence Security Asia