Tuesday, February 23, 2021

AIRBUS SAHKAN SERTAI TENDER PESAWAT MARITIM MALAYSIA

C-295 MPA  czech air force : foto planespotters.net

PETALING JAYA: Pengilang pesawat Airbus SE semalam mengesahkan penyertaannya dalam tender pesawat peronda maritim Malaysia  (MPA) dengan menawarkan pesawat udara taktikal generasi baharu dalam segmen ringan dan sederhana, C295.

Ketua Pertahanan dan Ruang Angkasa Airbus Asia Tenggara, Johan Pelissier berkata, C295 adalah pilihan tepat untuk keperluan Malaysia yang mewakili gabungan nilai dan kemampuan terbaik.

“Model itu adalah satu-satunya MPA dalam kategorinya yang boleh digunakan sekarang.

“C295 merupakan program pesawat yang terbukti dan rujukan global pengawasan maritim yang menawarkan risiko terendah, dengan kos pemerolehan, operasi dan kos kitaran hidup terbaik dalam kategorinya,” katanya dalam taklimat media maya mengenai prospek Airbus untuk pertahanan dan angkasa di Malaysia.

Turut hadir, Ketua Negara Airbus Malaysia, Raymond Lim.

Menurut Pelissier, Brazil, Kanada, Chile, Oman dan Portugal telah menggunakan C295 dengan jayanya.

C295 itu telah menjalankan pelbagai operasi di seluruh dunia dan dalam semua keadaan cuaca. Ia diperakui sepenuhnya dan beroperasi secara rutin siang dan malam dalam misi tempur semua keadaan cuaca yang melampau dari suhu panas hingga sejuk.

Selain itu, kunci keupayaan meronda dan kemahiran pengawasan yang unik C295 ialah sistem taktikal bersepadu (FITS), yang menyepadukan, mengawal dan memaparkan sensor misi yang meningkatkan kesedaran misi serta membantu pengguna membuat keputusan yang tepat.

Ogos tahun lalu, Kementerian Pertahanan telah mengeluarkan notis tender yang meminta dua MPA untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

Taklimat dalam talian telah dilaksanakan pada 1 Oktober 2020, melibatkan pihak berkuasa dan syarikat antarabangsa yang berminat dengan tender tersebut.

Selain Airbus MPA, pesawat lain yang berpotensi termasuk Leonardo ATR-72MPA, Boeing P-8A Poseidon, Kawasaki P-1 dan PTDI CN-235MPA. 

sumber : Utusan

Monday, February 22, 2021

RBS 70 NG MANPADS DARI SWEDEN

RBS 70 dari sweden di ekspot ke 18 buah negara : foto dari internet

RBS 70 NG, NG diambil dari singkatan perkataan New Generation, model naik taraf ini diperkenalkan oleh SAAB pada tahun 2011. Dinaik taraf dari model lama RBS 70.

RBS -70 NG menggunakan kawalan laser yang mempunyai kelebihan daripada dikelirukan oleh Flare berbanding sistem MANPADS menggunakan pengesanan haba.

Berbeza dengan sistem MANPADS yang lain, RBS-70 NG tidak boleh dilancarkan dari bahu operator pengendali iannya perlu menggunakan tripod yang dipasang diatas permukaan tanah atau kenderaan. RBS 70 mempunyai berat 87kg purata jika lengkap dipasang.

Dengan generasi peluru berpandu terkini - BOLIDE - RBS 70 NG diarahkan pada spektrum ancaman udara dan darat yang lengkap, dari pesawat sayap tetap dan berputar dan helikopter hingga ke sasaran kecil seperti peluru berpandu kruis, UAV dan sasaran darat berperisai seperti APC .

RBS 70 (SHROAD) beroperasi dengan Angkatan Bersenjata Sweden dan juga telah dieksport ke 18 negara di seluruh dunia, termasuk Australia, Argentina, Bahrain, Brazil, Republik Czech, Finland, Jerman, Indonesia, Iran, Ireland, Latvia Norway, Pakistan, Singapura, Thailand, Tunisia dan UAE.

Data teknikal ringkas RBS 70 NG :

- Jarak tembakan efektif : 9 kilometer

- Jarak ketinggian sasaran : 5,000 meter

- Kelajuan : 2,400 km/j

- Berat bahan letupan : 1.1 kg

- Tempoh masa pemasangan sehingga bersedia menembak : 30 saat

- Tempoh isian semula : 3 saat - 5 saat.


                                                 credit : video from Saab


sumber : Informasi tempur & army technology

Wednesday, February 17, 2021

KENDERAAN BERMOLITI TINGGI "HMAV 4X4" KELUARAN SYARIKAT TEMPATAN

HMAV 4x4 keluaran Syarikat MILDEF : foto dr internet

MILDEF INTERNATIONAL TECHNOLOGIES (MILDEF), syarikat tempatan yang berpengkalan di Kuala Lumpur hari ini telah memperkenalkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi (HMAV 4×4) yang direkacipta dan dibangunkan oleh mereka sendiri untuk tujuan pasaran tempatan dan antarabangsa.

Dengan pasukan yang terdiri daripada pakar-pakar berkemahiran tinggi, MILDEF mempunyai rekod prestasi yang baik di dalam semua aspek penyelenggaraan, pembaikan dan membaikpulih jentera-jentera berat beroda dan berantai.

Sejajar dengan fasa baru pembangunan syarikat, MILDEF mula menceburkan diri di dalam bidang pembinaan kenderaan tempur berperisai yang berkemampuan merentasi pelbagai bentuk halangan muka bumi, serta mempunyai keupayaan tinggi di dalam sebarang situasi pertempuran.

ruangan dalaman untuk krew kenderaan berperisai ini : foto dari internet

Kenderaan berperisai mobiliti tinggi ini dibina berlandaskan pelantar modular dengan rangkaian spesifikasi daripada yang asas sehingga yang paling canggih untuk memudahkan sebarang pengubahsuaian dan memenuhi spesifikasi mana-mana negara yang ingin menggunakan aplikasi tersebut. 

Dilengkapi dengan sistem persenjataan moden bersama grenade launcher, kenderaan berperisai ini direkacipta menggunakan sistem Stesen Senjata Kawalan Jauh atau Remote Control Weapon Station (RCWS) yang membolehkannya menembak secara 360 darjah semasa bertempur.

MILDEF HMAV4x4 dilengkapi perlindungan perisai bawahan (lantai) Stanag 4569 Level 2B dan perlindungan perisai badan Stanag 4569 Level 2 untuk melindungi kru di dalam kenderaan tersebut.

MILDEF bekerjasama dengan Syarikat Caterpillar, dalam membekalkan HMAV ini, enjin turbo diesel 6.6 liter 6 selinder sebaris dengan kelajuan maksimum 110kmsj. 

bahagian belakang HMAV 4x4 : foto dari internet

Pintu belakang MILDEF HMAV4x4 pula dilengkapi sistem hidraulik yang menjadikan kenderaan 4×4 ini unik dan versatil serta sesuai digunakan di dalam misi ketenteraan dan bersiap sedia untuk diatur gerak dalam mana-mana misi pengaman seperti misi PBB. 

Pintu tanjakan di belakang kenderaan ini memudahkan pergerakan kru keluar dan masuk serta mengikut spesifikasi dan mudah untuk diatur gerak dalam pelbagai situasi dan operasi.

Syarikat ini menyasarkan untuk menggantikan Condor Tentera Darat yang sudah mencapai 30 tahun.

Kenderaan ini dikatakan akan dipandu uji di seluruh negara oleh tim penilaian Tentera Darat pada hujung bulan ini dengan fasa akhir ujian di Gemas, Negeri Sembilan. 

Jika prototaip ini berjaya melepasi ujian penilaian, menunjukkan Malaysia berkemampuan dalam membina kenderaan perisainya sendiri serta sedikit sebanyak mengurangkan kebergantungannya dari pembekal antarabangsa dalam mendapatkan peralatan ketenteraan.

sumber : Defence Security Asia


Wednesday, February 10, 2021

APMM KAWAL KETAT SEMPADAN PERAIRAN NEGARA

APMM di perairan Sabah : foto dari Internet

Sepanjang 2020, pasukan Maritim membawa banyak kejayaan dalam mengekang penyeludupan dan cubaan individu memasuki negara secara haram.

Kawasan perairan sempadan tanah air antara Malaysia dan Indonesia, di kawasan Mentadak, Pulau Sebatik, berkeluasan 442 batu nautika, yang mempunyai banyak lorong tikus, memberi cabaran besar kepada pasukan keselamatan negara.

Namun kedaulatan negara harus dipertahankan dari terus dibolosi oleh pencoroboh dan kawalan sempadan perairan negara semakin dipertingkatkan melalui pelaksanaan Op Cegah PATI COVID-19, sejak April 2020.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) daerah Tawau, antara pasukan keselamatan yang terlibat langsung bersama ESSCOM, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurut Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Siva Kumar Vengadasalam, sepanjang tahun 2020, pasukannya berjaya mengekang aktivit penyeludupan dan cubaan individu memasuki negara ini secara haram.

“Sepanjang tahun 2020, pasukan Zon Maritim Tawau telah membuat sebanyak 32 tangkapan ke atas pelbagai kesalahan dan juga sebanyak 10,424 pemeriksaan dijalankan.

“Antara tangkapan profil tinggi melibatkan dadah jenis syabu seberat 17 kilogram dengan nilai rampasan sebanyak RM1.5 juta,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Ujar Siva Kumar, pihaknya juga berjaya merampas nilai barangan hampir RM3 juta.

Bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), Kapal KM Pintar APMM juga diletakkan setiap hari selama 24 jam berhampiran sempadan perairan untuk menghalang kemasukan PATI melalui jalan laut bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Sebanyak 10 buah bot pasukan keselamatan pelbagai agensi seperti APMM, PPM, ESSCOM dan TLDM dikerahkan dalam tugasan itu selama 24 jam setiap hari.

Sumber  : Astro Awani

PERGINYA SEORANG PEJUANG NEGARA

Prebet (B) Ujang Bin Mormin Perajurit Tertua Perang Dunia Ke-2 Meninggal Dunia.

Beliau  telah dikesan dijangkiti COVID-19 hasil saringan semua pesakit di HAT Tuanku Mizan apabila seorang pesakit telah dikesan positif COVID-19 di ICU. Beliau telah dirujuk ke Hosp Sg Buloh pada 26 Jan 21 sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan faktor umurnya dan keadaan kesihatan buah pinggangnya yang menjadikan beliau seorang yang berisiko tinggi mendapat gejala teruk COVID-19.

Keadaan veteran kritikal dengan menggunakan alat bantuan pernafasan oksigen pada tahap yang paling tinggi, Maklumat kematian beliau telah disahkan oleh pihak Hospital pada 5.45 petang tadi.

Untuk mengenang Allahyarham Prebet (B) Ujang Bin Mormin beliau telah berkhidmat di dalam perkhidmatan Tentera British pada 1939 sebelum diserap ke Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada 1942 semasa Perang Dunia Ke-2 sebagai Prebet. Beliau merupakan salah seorang anak melayu pertama yang diserap ke batalion tersebut.

Sejarah perjuangan beliau bermula bersama Tentera British dalam pertempuran terakhir mempertahankan Singapura termasuk pertempuran di Bukit Chermin, Singapura. Perjuangan beliau adalah sezaman dengan perjuangan Lt Adnan bin Saidi yang turut bertempur dalam Pertempuran Bukit Chandu, Singapura. Perjuangan beliau diperakui oleh Kerajaan Britain dan telah dikurniakan pingat-pingat War Medal dan Pacific Star bagi perkhidmatan beliau dari tahun 1939 hingga 1945.

Beliau telah menamatkan perkhidmatannya pada tahun 1947 setelah berjuang hampir lima tahun mempertahankan bangsa dan tanahair. Setelah tamat perkhidmatan, beliau seterusnya meneruskan hidup beliau sebagai seorang Warden di Jabatan Penjara, Seremban.

Dilaporkan beliau mempunyai 3 orang nak aperempuan dan seorang isteri. Isterinya telah meninggal dunia pada tahun 2010 dan kesemua anaknya juga telah meinggal dunia akibat kanser.

Rancangan pengkebumian Allahyarham Prebet (B) Ujang Bin Mormin akan dimandikan dan dikapan oleh pihak Hospityal Sg. Buloh esok dan urusan pengkebumian akan diatur oleh 15 RAMD dan KKM.

Innalillahiwainailaihirajiun.

Salam takziah dari kami kepada waris Allahyarham Prebet (B) Ujang Bin Mormin 

sumber : informasi Tempur

Monday, February 8, 2021

TLDM TERIMA KAPAL LMS KEDUA "112 - KD SUNDANG"

LMS Sundang (112) : foto dari Kementerian Pertahanan Malaysia

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima Kapal Misi Pesisir (LMS) keduanya, iaitu Sundang di Pelabuhan Wucang, Shanghai, China, pada 14 januari 2021, selepas lebih dua tahun pembinaannya.

Dalam satu kenyataan, memaklumkan Sundang berjaya melepasi beberapa siri ujian penerimaan di pelabuhan dan laut, sebelum diserahkan kepada Kerajaan Malaysia dan dijadual belayar pulang ke negara ini pada minggu ketiga bulan ini.

Menurut kenyataan itu, Sundang mula dibina pada 23 Oktober 2018 di Wuchuan Shuangliu Manufacture Base, Wuhan, China sebelum dijadual diserah kepada Kerajaan Malaysia pada 12 April tahun lalu.

Namun, ia hanya dapat dilaksanakan semalam, susulan penularan COVID-19 di seluruh dunia, yang menyaksikan pembinaan Sundang terpaksa ditangguhkan pada 23 Januari tahun lalu.

"Projek ini diaktifkan semula pada 18 Mei 2020 dan bakal warga kapal Sundang dihantar semula ke Qidong, Shanghai pada Oktober tahun lalu bagi menyambung siri latihan penyesuaian kapal yang tertangguh," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, upacara pentauliahan kapal berkenaan akan diadakan pada satu tarikh yang ditetapkan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu oleh Panglima Tentera Laut, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

LMS ke tiga dan keempat akan diserahkan pada September dan November tahun ini.

Keempat-empat unit LMS akan bergabung dengan Armada Timur TLDM di mana mereka akan memperkukuhkan kesediaan dan kedaulatan perairan maritim Malaysia timur.

sumber : Berita harian Online


FILIPINA BELI SEMBILAN BUAH BOT SERANG LAJU DARI NEGARA ISRAEL

Bot serangan laju Shaldag Mk-5 buatan Israel

Kementerian Pertahanan Filipina telah mengumumkan pembelian sembilan buah bot serang laju (fast attack craft – FAC) jenis “Shaldag Mk-5” daripada Israel Shipyards.

Kontrak bernilai US$128 juta (RM512 juta) juga merangkumi kerja-kerja menaiktaraf Cavite Naval Shipyard.

Kontrak G-to-G ini ini membuktikan lagi kerjasama hubungan kerjasama pertahanan antara Filipina dengan Israel, yang sebelum turut menyaksikan Manila memperolehi beberapa sistem pertahanan untuk ketiga-tiga cabang angkatan tenteranya serta pasukan polis.

Stesen Senjata dan peluru berpandu pada bot ini dikendalikan secara automatik.

Peluru berpandu SPIKE NLOS ini dikatakan mampu menembak sasaran sejauh 25km.

Bot serang laju “Shaldag Mk-5” yang panjangnya adalah kira-kira 32 meter (displacement 95 tan) dan direkabentuk untuk tugas-tugas rondaan di kawasan pesisir pantai dan sungai serta misi-misi pasukan khas.

Untuk versi Mk-5 ia boleh mencapai kelajuan 40 knot manakala bagi MKII pula adalah sekitar 45 knot.

Kapasiti bot ini mampu muat 14 krew kapal dengan jarak pelayaran 1000 batu nautika pada kelajuan 12 knot serta tahan berada di laut selama enam hari.

sumber : Defence Security Asia


TLDM BAKAL TERIMA 3 HELIKOPTER UTILITI AW139

3 helikopter ini dijangka akan memasuki perkhidmatan sekitar tahun 2022-2024. Helikopter ini akan ditugaskan di Sabah Timur bagi menyokong operasi ESSCOM untuk tugasan utiliti. 

Ini akan mengurangkan bebanan yang dipikul skuadron helikopter Super Lynx yang selain memikul tanggungjawab sebagai pelantar peperangan aras permukaan, bawah permukaan, penanda sasaran melangkaui ufuk ia turut memikul tugas utiliti.

Selari dengan keperluan ESSCOM yang mana mempunyai keluasan kawasan tanggungjawab yang besar, meliputi perairan yang berjujukan dengan kepulauan dan berhampiran dengan sempadan negara tetangga, perolehan helikopter ini akan meningkatkan keupayaan rondaan udara TLDM selain bertindak sebagai kuda kerja untuk mengangkut keluar dan masuk anggota dan bekalan dipangkalan hadapan dan pos kawalan kepulauan sedia ada dibawah tadbir urus ESSCOM.

TLDM juga dikatakan sedang merancang perolehan tambahan untuk helikopter anti kapal selam dalam sela masa 2022-2025.

Helikopter AW139 pertama dijangka tiba dan dijadualkan diserah kpd TLDM pada 30 Oktober 2022, diikuti yang kedua pada 31 Mei 2023 dan yang ketiga pada Februari 2024. Nilai perolehan ini dikatakan berjumlah RM220 juta.

Tiada rencana penambahan helikopter sedemikian maka dapat kita jangka, unit udara ini memang khusus untuk tugasan di ESSCOM.

Tidak dapat juga dipastikan apakah varian AW139 yang dipesan kerana, terdapat varian khusus untuk kegunaan pihak tentera dikeluarkan oleh Leonardo menerusi AW139M namun ada negara pengguna dari cabang tentera menggunakan varian 139 yg bukan khusus untuk tentera, cenderung menugaskan helikopter ini sebagai helikopter utiliti dgn tugasan SAR dan pemantauan kawasan perairan dan pesisir. 

Itali adalah pengguna AW139M khusus untuk combat search and rescue.

Agensi seperti Jabatan Bomba, PDRM dan Maritim Malaysia turut menggunakan helikopter AW139, memperlihatkan pilihan dibuat berdasarkan sejarah operasi agensi tersebut dan adanya fasiliti MRO yang sudah sedia ada wujud, melicinkan urusan selengaraan.

MMP