Sunday, January 3, 2021

RANGKUMAN PERTAHANAN NEGARA SEPANJANG TAHUN 2020 DAN WELCOME 2021

Tahun 2020 telah melabuhkan tirainya dan hari ini sudah hari ketiga di awal tahun 2021, perolehan kententeraan Malaysia agaklah perlahan walaupun ada perkembangan positif antaranya penerimaan Kapal Peronda "Littoral Mission Ship" yang pertama KD Keris untuk Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), persenjataan anti-armor NLAW untuk Tentera Darat Malaysia (TD) dan naiktaraf serta menukar CN-235 dari pesawat pengangkut ke pesawat rondaan maritim (MPA) untuk Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

Bagaimanapun, beberapa perolehan sedang dirancang, dalam proses tender serta dalam proses penerimaan dimana 2021 menjadi tahun penting bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menerima aset-aset baharu bagi ketiga-tiga perkhidmatan.

TD dijangka menerima helikopter ringan peninjau tempur (LSAH) MD530G menjelang Jun 2021 setelah menjalani cerita dan drama yang panjang sejak 2017. Perolehan penuh kontroversi ini tidaklah hanya satu-satu aset bermasalah dalam proses perolehan ketika ini.

Pengantian kenderaan perisai Condor 4x4 yang telah digunakan hampir 40 tahun dilihat lebih kontroversi apabila perancangan pengantian dan naiktaraf dibatalkan dan ditangguhkan pada 2018. Namun akhir, kerajaan telah memulakan pengantian dengan membuka tender perolehan untuk mengantikan Condor 4x4 yang digunakan pasukan pengaman Malaysia MALBATT di Lubnan ketika ini.

Dilaporkan kenderaan perisai jenis "Mines Resistent Ambush Protected" (MRAP) keluaran dari negara Turki dijangka menjadi pilihan. Ciri-ciri utama kenderaan terbabit bakal dilengkapi persenjataan kawalan automatik dan komputer, perlindungan armor untuk letupan IED dan RPG serta mudah diselenggara. 

Selain itu, kenderaan perisai MRAP sedia ada di Lubnan, IAG Guardian belum dipastikan akan dilengkapi persenjataan automatik seperti "Remote Weapon Station" (RWS) selepas dikritik dalam Laporan Ketua Audit Negara selepas hanya dilengkapi persenjataan dan perlindungan konvesional pada bahagian persenjataan. 

TLDM sebelum ini hanya menerima sebuah sahaja kapal peronda LMS dan masih menunggu penerimaan lagi baki 3 buah kapal yang tertangguh penerimaannya akibat pandemik Covid19 yang menular diseluruh dunia pada tahun ini.

LMS ke 4 telah siap dibina belum di serahkan kepada TLDM : foto airtimes

Dijangka baki 3 kapal berkenaan bakal diserahkan kepada TLDM dengan penghantaran krew penerimaan ke China bermula April 2021 jika tiada halangan. 

KD Keris merupakan kapal tunggal LMS Kelas Keris yang dioperasikan TLDM telah beroperasi sepenuhnya malah telah digunakan melakukan rondaan di Laut China Selatan. 

Laporan Janes turut menyebut TLDM bakal membuat perolehan kumpulan kedua LMS dengan perancangan dan permohonan akan dimajukan pada Kerajaan Malaysia untuk penilaian pengeluaran dana.

LMS penting bagi mengantikan aset-aset TLDM berusia dan bakal mengfokuskan pengoperasian seperti pengawasan, rondaan, penguatkuasaan, bantuan kemanusiaan dan bencana, cari dan menyelamat, pengukuran hidrografi serta penyapu ranjau. 

Selain itu, perolehan 3 buah helikopter operasi maritim (MOH) oleh TLDM bakal membantu ATM ketika ini yang kekurangan aset udara seperti helikopter untuk pengangkutan udara. 

Ia akan membantu melicinkan pengurusan logistik dan pengangkutan terutama di Timur Sabah ketika ini. Kekurangan aset ATM serta keperluan TLDM untuk helikopter seharusnya dipandang oleh kerajaan agar menambah bilangan sedia ada untuk kegunaan ATM bagi menguruskan hal logistik udara di pangkalan hadapan dan pulau terpencil di Selat Melaka dan Laut China Selatan. 

Helikopter MOH turut dilengkapi peralatan khas untuk SAR dan pengawasan boleh digunakan untuk pengoperasian di laut serta darat.

Pesawat Tempur Ringan (LCA) merupakan keperluan utama TUDM ketika ini untuk mengantikan pesawat dan jet tempur/latihan Hawk dan MBB339 yang dilihat perlu diganti setelah kerap mengalami kemalangan serta kehilangan nyawa.

MB-339CM : foto dari internet

LCA penting bagi TUDM untuk terus melatih juruterbang muda TUDM dengan aset moden sebagai persediaan mengoperasian jet pejuang generasi baharu.

Selain untuk tujuan latihan lanjutan (FLIT), LCA boleh digunakan sebagai pesawat serangan dengan dilengkapi persenjataan seperti jet pejuang utama antaranya misil "Beyond Visual Range" (BVR), bom sasaran laser serta pod sasaran. Ia sekaligus membolehkan mengurangkan bebanan jet pejuang TUDM. 

TUDM juga dijangka akan melakukan proses pengantian helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri dengan permulaan dengan mendapatkan helikopter secara sewa-pajakan bagi memenuhi keperluan semasa TUDM sementara perolehan helikopter bakal berlangsung dalam 2 ke 3 tahun lagi.

Helikopter Nuri telah tamat perkhidmatannya namun penggantinya masih belum dicari

Kerajaan mengesahkan sedang membuat penilaian dan Kementerian Pertahanan sedang melakukan kertas kerja bagi memohon dana dari Kementerian Kewangan. Dijangka bakal menjalani proses yang panjang serta perlu penelitian kerana dilihat ketiga-tiga perkhidmatan memerlukan varian helikopter yang sama.

Perbelanjaan yang berhemah terpaksa dilakukan oleh Kementerian Pertahanan dan ATM pada tahun mendatang berikutan pandemik Covid19 dilihat belum dapat diredakan atau dihapuskan sepenuhnya.

Namun, keperluan pasukan keselamatan negara kita untuk Ops Benteng perlu sebagai satu langkah pencegahan. Dijangka kerajaan sedia mengeluarkan dana kecemasan mengikut keperluan seperti peralatan, bot laju pemintas dan drone peninjau. 

Perbelajaan secara melulu tanpa keperluan mendesak dilihat satu pembaziran sedangkan aset sedia ada masih relevan dan hanya perlu penambahan atau naiktaraf secara berkala.

sumber : Malaysia Defence Review


No comments: