Tuesday, June 8, 2021

TAHAP KEKUATAN ARMADA UDARA MALAYSIA DIPINTAS NEGARA MISKIN

Pesawat Hawk dan Sukhoi Su-30

PUTRAJAYA: Tahap kekuatan pasukan bersenjata udara negara pada ketika ini sudah pun ‘dipintas’ oleh banyak negara miskin yang lain di seluruh Asia.

Menurut laporan terbaharu yang diterbitkan portal Asian Community, Malaysia hanya berada di kedudukan ke-26 di benua berkenaan selain cuma posisi ke-60 di peringkat antarabangsa.

Lebih ‘mencuri’ tumpuan ramai warganet apabila kekuatan pasukan negara ini adalah keenam di Asia Tenggara selepas Thailand, Indonesia, Myanmar, Vietnam, Singapura dan Filipina.

Malahan, beberapa negara lain yang dianggap kurang maju dari segi status ekonomi, tetapi, megah, mampu memiliki keupayaan armada udaranya lebih baik berbanding Malaysia sendiri.

Antaranya, Afghanistan yang masih lagi bergelut perang saudara dengan puak pemberontak Taliban, namun, negara itu berada di kedudukan ke-16 di peringkat Asia dan ke-37 di dunia.

Tidak ketinggalan, Bangladesh yang dikritik antarabangsa kerana isu penempatan pelarian Rohingya, tetapi, pasukan bersenjata udaranya gah di posisi ke-23 di Asia dan ke-53 di dunia.

Asian Community menyenaraikan China masih unggul di benua ini dan di peringkat sejagat, diikuti India, Korea Selatan, Jepun, Pakistan, Korea Utara, Arab Saudi, Taiwan dan Thailand.

Sepuluh negara pula yang paling lemah pertahanan udaranya di Asia ialah Bhutan, disusuli Kyrgizstan, Mongolia, Nepal, Kemboja, Tajikistan, Laos, Lubnan, Turkmenistan dan Sri Lanka.

Kedudukan Malaysia yang agak sederhana itu secara tidak langsung mendedahkan kenapa pesawat tentera China mampu menceroboh ruang udara negara yang dianggap agak rapuh.

Situasi ini jauh berbeza apabila sejumlah jet China cuba ‘melintasi’ Kepulauan Natuna milik Indonesia di Laut China Selatan hampir digempur pesawat pejuang dari negara republik jiran itu.

Portal ini merujuk data terbaharu dikeluarkan laman sesawang berprestij antarabangsa dalam perbandingan kekuatan ketenteraan, Global Firepower yang berpusat di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, jika diambil kira kesemua pesawat yang dikendalikan tentera udara, laut dan darat, kedudukan Malaysia dalam indeks tersebut ialah ke-61 di dunia daripada 147 negara.

Laman tersebut melaporkan Malaysia ketika ini hanya ada 147 pesawat termasuk 26 jet gempur, 42 helikopter, 40 kapal terbang latihan, 18 pesawat pengangkut dan 13 jet penyerang. 

sumber : Utusan Online

1 comment:

Dein said...

tiada ahli politik sembang perkara ni..