Wednesday, March 2, 2022

TIGA HELIKOPTER MD530G DITEMPATKAN DI ESSCOM DAN TIGA DI KLANG

MD530G telah selamat tiba di Malaysia

Tiga daripada enam helikopter penyerang MD530G milik Tentera Darat akan ditempatkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), manakala bakinya akan ditempatkan di Kluang, Johor.

Kesemua enam Helikopter MD530G yang ditempah oleh Malaysia  itu bernilai RM 300 juta.

Perkara itu disahkan oleh Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain hari ini.

“Tiga helikopter itu akan ditempatkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), manakala bakinya akan ditempatkan di Kluang, Johor.

“Sebelum dibenarkan beroperasi, helikopter ini perlu melalui beberapa pemeriksaan seperti oleh Directorate General Technical Airworthiness dan pemeriksaan akhir oleh Tentera Darat melalui pasukan Final Acceptance Test (FAT),” katanya pada sidang media majlis penerimaan helikopter itu di sini, hari ini.

Tentera Darat hari ini menerima enam helikopter peninjau/penyerang ringan MD530G bagi meningkatkan kesiagaan dan keupayaan pasukan itu.

“Ini menandakan enam helikopter itu menjadi hak milik Tentera Darat secara rasmi dan dijangka memulakan operasi pada Oktober nanti,” katanya.

Helikopter MD530G yang dibekalkan oleh Syarikat Halaman Optima Sdn Bhd melalui Syarikat Destini Prima Sdn Bhd itu, merupakan buatan MD Helicopter Inc (MDHI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Ia tiba di Pelabuhan Klang pada 21 Feb lepas dari Pelabuhan Oakland, Amerika Syarikat.

Selain helikopter, kontrak perolehan itu turut merangkumi program latihan kepada lapan juruterbang dan sembilan juruteknik Pasukan Udara Tentera Darat.

Anggota tentera malaysia menjalani latihan mengenai MD530G

Diminta mengulas mengenai keraguan sesetengah pihak terhadap keupayaaan helikopter berkenaan, Zamrose berkata aset tersebut berpadanan dengan fungsi dan keadaan muka bumi di kawasan ia akan beroperasi.

Menurutnya tugas utama helikopter itu adalah untuk membuat tinjauan dan hanya menyerang sekiranya diancam musuh. 

Enam helikopter, buatan gergasi aeroangkasa AS McDonnell Douglas, MD Helicopters Inc, ditempah Kementerian Pertahanan pada 2016.

Tempahan itu menjadi tumpuan kontroversi apabila ia tidak dihantar mengikut jadual pada 2017 dan 2018.

Tarikh akhir selepas itu ialah hujung 2020 yang juga gagal ditepati, dilaporkan akibat isu teknikal.

sumber : Defence Security Asia

No comments: