Thursday, April 21, 2022

PEMBINAAN LCS DITERUSKAN - KABINET SEBULAT SUARA.

KUALA LUMPUR, 20 April 2022 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan media menyatakan bahawa menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri hari ini, Kabinet sebulat suara memuktamadkan supaya projek perolehan kapal Littoral Combat Ship (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diteruskan.

Antara faktor yang diambil kira ialah :-

1. LCS adalah aset yang amat dikehendaki dan diperlukan, selain bukan sekadar memenuhi perancangan    pemodenan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengikut pelan transformasi sedia ada, malah lebih      penting untuk meningkatkan kesiapsiagaan TLDM serta menambahbaik usaha memelihara kepentingan      maritim negara.

2. Terdapat 400 vendor yang terbabit dalam projek ini dengan implikasi kewangan lebih RM4 billion.   Daripada jumlah ini, lebih 100 daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia. 

"Sebanyak 90 peratus daripadanya pula ada hubung kait dengan veteran dan majoritinya berada di Lumut, terutama pekerja berkemahiran, pakar, ahli keluarga mereka," katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Kapal LCS sebelum ini berdepan kelewatan berikutan daripada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) yang memberhentikan kerja susulan masalah kewangan. 

Proses perolehan itu mengalami kelewatan 39.52 peratus atau 43 bulan, menyebabkan pembayaran kepada OEM tidak dibuat mengikut jadual ditetapkan.

Sehubungan itu, keputusan ini juga merupakan sebahagian daripada usaha membela kebajikan veteran ATM, isteri, anak serta ahli keluarga mereka.

LCS KD Maharajalela yang masih lagi belum siap

Hishamuddin menegaskan bahawa dengan keputusan yang diambil ini, tiada lagi persoalan sama ada perolehan LCS akan diteruskan ataupun tidak. Kini, semua pihak yang berkepentingan boleh bergerak ke hadapan dan fokus untuk menjayakannya.

"Paling penting, setiap mekanisme penambahbaikan yang dicadangkan khususnya oleh Jawatankuasa Khas Kabinet harus dilaksanakan sebaik mungkin supaya perancangan dan garis masa yang ditetapkan kali ini dapat ditepati sepenuhnya.

"Komitmen lebih besar ialah memastikan segala isu ketirisan sebelum ini tidak berulang. Semua pihak yang terbabit kali ini khususnya Boustead Naval Shipyard (BNS) yang sedang diterajui pengurusan baharu mesti memainkan peranan masing-masing dengan telus dan bertanggungjawab," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat beberapa langkah susulan untuk melengkapkan Pelan Pemulihan, antaranya Proses Mobilisasi dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Ia akan membabitkan rundingan antara bank, vendor dan pihak OEM, selain bersama pihak Perancis meliputi aspek reka bentuk dan komitmen kerajaan Perancis. Ini semua bermula sekarang,"ujar beliau.

Dalam masa sama, agensi-agensi lain yang berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga digesa untuk mempercepatkan peranan masing-masing bagi memastikan kelancaran setiap proses.

"Kabinet akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Tadbir Urus Khas yang bakal dipengerusikan Ketua Setiausaha (KSU) Perbendaharaan Kementerian Kewangan dan KSU Kementerian Pertahanan.

"Jawatankuasa ini ditugaskan memantau secara dekat terutama proses dalam tempoh enam bulan akan datang dan melaporkan perkembangannya kepada Kabinet pada setiap bulan.

"Saya juga ingin tegaskan, keputusan meneruskan projek LCS tidak bermakna pihak yang terbabit salah laku dalam projek sebelum ini akan terlepas begitu sahaja," katanya.

sumber: bharian.com.my

No comments: