Thursday, May 24, 2007

Boeing F/A-18 Hornet


USAF F18 Hornet
F/A-18 Hornet, pesawat dua enjin merupakan pesawat pelbagai misi tempur/serang ataupun Fighter/Attack yang boleh dioperasikan dari dataran mahupun dari kapal pengangkut pesawat.

Bermula dari pesawat prototaip YF-17, pihak Northrop telah meminta Firma McDonnell Douglas (kini Boeing) untuk mengubahsuai prototaip YF-17 ini untuk menjadi sebuah pesawat pejuang pengebom yang baru yang diklasifikasikan sebagai F/A-18 Hornet.

Pada tahun 1978 penerbangan prototaip Hornet yang pertama dilakukan dan mula ditauliahkan dalam perkhidmatan Tentera Laut Amerika (USN) pada tahun 1983, bagi mengantikan pesawat-pesawat pejuang dalam inventori USN seperti F4-Phantom II, A7-Corsair II dan A-6 Intruder.


Bagi mana-mana pesawat pejuang, radar merupakan nadi penting dalam sistem persenjataan. Oleh itu versi awal keluaran Hornet (A/B) telah dilengkapi dengan Radar Hughes APG-65 dan versi yang seterusnya iaitu versi (C/D) dilengkapi dengan radar Hughes APG-73 yang mempunyai jarak pengesanan radar yang lebih jauh dari radar versi awal, memungkinkan pesawat ini mengesan, menjejak, mengunci dan melancar peluru berpandu atau misil terhadap pesawat dan kapal musuh.

Kokpit Hornet direkabentuk mengikut konsep Glass Kokpit di mana semua data dipaparkan pada paparan pelbagai fungsi atau Multi Function Display (MFD). ini termasuklah imej dari radar, imej dari sistem imbasan hadapan infra merah atau Forward Looking Infra Red (FLIR).

Sistem Persenjataan
F/A-18 Hornet mampu membawa hampir 7.7 tan sistem persenjataan. Mempunyai 8 stesen senjata dimana dua stesen ini terletak di hujung sayap pesawat untuk membawa peluru Sidewinder. Peluru yang boleh dibawa untuk stesen lain ialah AGM-65 Maverick, AIM-7 Sparrow, AIM-120 AMRAAM, IRIS-T, AGM-84 Harpoon, AGM-88 HARM dan CBU-87 cluster.

Untuk pertempuran jarak dekat Hornet dilengkapi dengan meriam gatling M61A1 20mm dengan 500 butir peluru.

F/A-18D Hornet TUDM

TUDM F18 Hornet
Pada tahun 1993 kerajaan Malaysia telah memesan sebanyak 8 buah pesawat pejuang F/A-18 Hornet versi 2 tempat duduk (D). Pembelian ini merupakan sebahagian dari program memajukan TUDM.

Hornet Malaysia ini dilengkapi dengan radar Hughes APG-73 dan 2 enjin F404-GE-402 yang telah ditingkatkan iaitu peningkatan 10% daya tujahan dari enjin asal. Selain itu versi Hornet yang dipesan ini adalah merupakan versi Night Attack.

Persenjataan yang boleh dibawa oleh F/A-18 Hornet TUDM ialah peluru berpandu udara ke udara AIM-9 Sidewinder dan AIM-7 Sparrow, peluru berpandu udara ke permukaan AGM-84 Harpoon, bom panduan laser paveway II dan pod roket CRV-7.
Malaysia merupakan negara pertama dari Asia Timur yang memiliki pesawat F/A-18.

Negara lain yang mengoperasikan Hornet ialah Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Spain, Kuwait, Finland Switzerland dan Thailand.


Data Teknikal F/A-18D Hornet

Krew : 2 (Juruterbang dan pegawai sistem persenjataan)
Panjang : 17.1m
Tinggi : 4.66m
Panjang sayap : 12.3m
Berat maksima : 23,541.8kg
Kelajuan maksima : Mach 1.8
Jarak jangkauan operasi maksima : melebihi 900km
Enjin : F404-GE-402
Daya Tujahan : 8164.7 kgf
Radar : Hughes APG-73
Persenjataan : meriam gatling 20mm dan peluru berpandu AIM-9 Sidewinder, AGM-84 Harpoon dan lain-lain

No comments: