Thursday, October 18, 2018

TLDM PERLU HELIKOPTER YANG CANGGIH UNTUK JAGA KESELAMATAN PERAIRAN NEGARA

Super Lynx 300 TLDM yang mempunyai Teknologi Anti Kapal Selam

LUMUT, 17 Okt –  Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu dilengkapkan dengan helikopter canggih termasuk yang mempunyai teknologi antikapal selam bagi memastikan tahap keselamatan perairan negara dalam keadaan terbaik.

Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Mohamad Adib Abdul Samad berkata perkara itu wajar diberi perhatian kerana kapal serta kapal selam negara asing menggunakan teknologi terkini serta canggih sehingga memerlukan TLDM mempunyai aset yang hebat untuk membuat pemantauan dari udara.

Selain itu, katanya penambahan aset helikopter itu juga perlu kerana TLDM hanya mempunyai 12 helikopter jenis Super Lynx dan Fennec yang dilihat tidak mencukupi bagi mengawal perairan negara yang luas termasuk perairan Sabah dan Sarawak.

“Kita boleh lihat di Laut China Selatan dan rantau-rantau lain, banyak negara telah dilengkapi dengan kapal selam dan kita memerlukan keupayaan helikopter yang mempunyai teknologi anti kapal selam untuk menjejakinya.

“Kita belum mempunyai helikopter anti kapal selam dan berharap kerajaan dapat menyediakan bajet pembelian enam kapal anti kapal selam pada Rancangan Malaysia Ke-12 nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pengiktirafan Kejayaan 10,000 Jam Penerbangan Helikopter Super Lynx Mk 100 di sini hari ini.

Majlis tersebut diadakan bagi meraikan kejayaan enam helikopter jenis Super Lynx milik TLDM yang berjaya mencapai jumlah terkumpul iaitu 10,000 jam penerbangan pada 31 Ogos lepas.

Dalam pada itu, Mohamad Adib berkata TLDM bukan hanya cekap menggerakkan aset di laut, malah turut cemerlang mengendalikan aset udara dalam memastikan keselamatan perairan maritim negara terjamin.

Beliau berkata ini dibuktikan dengan pencapaian Skuadron 501 di bawah Markas Udara TLDM yang berjaya mengendalikan enam helikopter jenis Super Lynx Mk 100 tanpa sebarang kemalangan nyawa sejak ia mula beroperasi pada 2003.

“Mungkin orang ramai hanya mengetahui TLDM hanya dilengkapi kapal-kapal perang tetapi sebenarnya kita mempunyai cawangan udara yang cemerlang.

“Keupayaan juruterbang dan kru penerbangan sentiasa di tahap tertinggi bagi memastikan keselamatan terjamin dan kita mempunyai kru teknikal dan jurutera yang cukup terlatih untuk melakukan pembaikan apabila helikopter mengalami kerosakan,” katanya.

sumber : airtimes.my


 

No comments: