Sunday, February 26, 2023

TUDM MULA TERIMA FA-50 PADA TAHUN 2026

FA-50 keluaran KAI

Kesemua 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 keluaran syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) yang bakal diperolehi oleh Malaysia dibawah program perolehan Fasa 1 pesawat itu terdiri daripada varian Block 20.

Varian FA-50 Block 20 adalah varian paling berkemampuan dan terkini berbanding varian lain pesawat pejuang tersebut.

Malaysia merupakan pelanggan pertama bagi varian FA-50 Block 20 di Asia Tenggara dan kedua di dunia selepas Poland yang turut menandatangani perjanjian dengan KAI tahun lepas untuk memperolehi varian terkini bagi pesawat pejuang ringan itu.

Selain Malaysia, pengguna lain pesawat pejuang FA-50/T-50 daripada varian terdahulu di Asia Tenggara adalah Thailand (14 buah T-50), Filipina (12 buah FA-50 dan Indonesia (22 buah T-50).

Sumber juga memberitahu Defence Security Asia bahawa Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka mula menerima kumpulan pertama empat buah pesawat pejuang FA-50 Block 20 pada akhir tahun 2026.

Semalam, Kementerian Pertahanan dan KAI menandatangani perjanjian bagi perolehan 18 buah pesawat FA-50 Block 20 bernilai lebih RM4 bilion, sekaligus menamatkan teka-teki mengenai pesawat pejuang ringan apakah yang berjaya menambat hati TUDM.

Pesawat pejuang FA-50 Block 20 itu berjaya menewaskan pesaing terdekat  yang lain termasuk Tejas keluaran Hindustan Aeronautics Limited (HAL) dan Hurjet oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).

Mengenai konfigurasi pesawat FA-50 Block 20 yang akan digunakan oleh TUDM, sumber itu mengesahkan bahawa pesawat tempur itu akan dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “PhantomStrike” keluaran firma pertahanan Raytheon Intelligence & Space   daripada Amerika Syarikat.

PhantomStrike adalah radar AESA yang memiliki Low Size, Weight and Power (SWaP) dan direka untuk diintegrasikan kepada pelbagai platform termasuk pesawat pejuang ringan, pesawat berkepak, pesawat tanpa pemandu dan menara-menara bagi memberikan kemampuan pengesanan dan penjejakan ancaman jarak jauh.

Berbanding radar PESA (Passive Electronically Scanned Array), radar AESA mempunyai pelbagai kelebihan termasuk jarak pengesanan sasaran yang lebih jauh dan tepat walaupun sasaran itu bersaiz kecil,  sukar dikesan oleh musuh serta kemampuan ia untuk menahan daripada tindakan “jamming” oleh musuh.

Pesawat FA-50 Block 20 yang akan digunakan oleh TUDM itu juga akan dilengkapi dengan “Link 16 Block Upgrade 2” (military tactical data link) yang selamat, secure, bebas daripada usaha pemintasan pihak musuh dan lain-lain lagi.

Sumber juga mengesahkan bahawa pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 milik TUDM itu akan turut dilengkapi dengan  “Sniper Advanced Targeting Pod,” yang turut dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.

peluru berpandu AIM-9

Selain itu varian pesawat itu juga akan dilengkapi dengan meriam 20mm gun, peluru berpandu AIM-9, GBU-12 LGB Integration,  GBU-38 JDAM (Joint Direct Attack Munitions) dan peluru berpandu AGM-65 Maverick.

Terdapat kemungkinan besar juga pesawat FA-50 Block 20 yang akan diperolehi oleh TUDM turut dilengkapi dengan kemampuan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) iaitu AIM-120 AMRAAM, sebagaimana yang akan diperolehi oleh Poland.

Varian pesawat FA-50 Block 20 juga dilaporkan akan dilengkapi dengan kemudahan Air-To-Air Refuelling Probe (AAR Probe) iaitu “ Cobham Mission System” yang dibangunkan oleh syarikat Cobham daripada United Kingdom.

Kemudahan pengisian minyak di udara akan memastikan pesawat FA-50 Block 20 itu beroperasi lebih jauh dan berada di udara lebih lama.

sumber : Defence Security Asia

No comments: