Monday, October 9, 2017

LATIHAN DENGAN TENTERA AUSTRALIA (MASTEX 2017)

KD Lekiu dan Frigat HMAS Toowooba menjalani latihan MASTEX 2017

LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Diraja Australia (RAN) menjalani Eksesais Latihan Laut Malaysia - Australia 2017 (MASTEX 2017) yang dapat memantapkan hubungan ketenteraan kedua-dua negara.

Eksesais itu ialah latihan dua hala tahunan membabitkan aset Armada Barat TLDM RAN yang dilaksanakan secara eksesais latihan di medan (FTX) dengan keutamaan peperangan maritim bermula dari 2 sehingga 7 Oktober ini.

Seramai 430 anggota kedua-dua pasukan menyertai latihan antaranya seperti latihan menembak meriam utama pada sasaran permukaan dan udara, pertukaran anggota kapal dan latihan navigasi lain.
Ia dibahagikan kepada tiga fasa, iaitu fasa pelabuhan di Tambatan Pangkalan Lumut, fasa laut dan fasa penutup.

Timbalan Panglima Armada Barat TLDM, Laksamana Pertama Abu Bakar Mohd Ajis, berkata latihan dua hala yang dijalankan sejak 2002 itu membuktikan keyakinan dan kepercayaan tinggi kedua-dua negara.

Katanya, melalui eksesais yang dijalankan itu, anggota TLDM berpeluang mempelajari dan meningkatkan kemahiran membabitkan teknologi canggih yang ada pada aset RAN.

"Eksesais ini juga landasan terbaik sebagai persediaan sebelum kita menyertai eksesais lebih besar, iaitu eksesais KAKADU pada Oktober tahun hadapan," katanya selepas Majlis Pembukaan Eksesais MASTEX 2017 di Pangkalan TLDM, di sini hari ini.

HMAS Toowoomba (156)
Katanya, pembabitan pesawat baharu milik Australia iaitu P8-Poseidon dalam latihan ini bakal meningkatkam kemahiran anggota TLDM dalam pengurusan pesawat dan anggota turut berpeluang menggunakannya.

"Pesawat baharu itu mempunyai keupayaan teknologi canggih mengesan kapal selam dan ini memberikan kelebihan kepada kita. Biarpun kita tidak memiliki pesawat seperti itu, namun berkemungkinan suatu hari nanti kita juga berupaya mempunyai pesawat sebegini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Memerintah Kapal HMAS Toowomba, Komander Stuart Watters, berkata latihan itu menjadi landasan kedua-dua negara untuk menguatkan hubungan ketenteraan dan memberi manfaat kepada kedua-dua pasukan.

Katanya, latihan itu ialah program ketenteraan yang membabitkan aspek latihan fizikal dan teknikal selain turut berkongsi idea dalam menjalankan tugas.

"Selain program ketenteraan membabitkan latihan fizikal serta teknikal, kita juga dapat berkongsi idea dan perspektif dalam menjalankan tugas menjaga perairan negara masing-masing," katanya.

Aset Armada Barat TLDM terbabit dalam MASTEX 2017:
  • KD Lekiu
  • KD Lekir
  • Helikopter Super Lynx
Aset RAN terbabit:
  • Kapal frigat HMAS Toowoomba.
  • pesawat MH-60S Seahawk.
  • pesawat P8-Poseidon
sumber: utusan

No comments: