TNI-AL mengawasi kapal CG China semasa menceroboh laut Natuna : foto dari Informasi tempur |
ISU pencerobohan kapal pengawal pantai dan bot nelayan China yang berada di kepulauan Natuna di Laut China Selatan sejak minggu lalu telah mencetuskan ketegangan di kawasan perairan itu apabila Indonesia mengerahkan enam kapal perangnya ke sana bagi mengawasi keadaan.
Secara teknikalnya, kehadiran kapal pengawal pantai China itu dianggap bukan tindakan agresif kerana ia adalah kapal pasukan penguat kuasa maritim, berbeza jika yang menceroboh perairan itu adalah kapal perang.
Bagaimanapun, ia bukan kali pertama kapal-kapal itu memasuki perairan sekitar kepulauan tersebut kerana tindakan serupa dilakukan sejak tiga tahun lalu apabila Beijing mendakwa sebahagian lautan itu sebagai kawasan perikanan tradisionalnya.
Cumanya, reaksi Indonesia kali ini dilihat lebih keras apabila mengarahkan empat buah pesawat pejuang F-16 meronda di perairan tersebut, manakala beberapa lagi kapal perang digerakkan ke sana.
Biarpun kuasa militer Indonesia tidaklah sekuat mana jika dibandingkan dengan China tetapi Jakarta berani menunjukkan taring, lantas tindakan itu memberi keyakinan kepada rakyat terhadap tahap kewibawaan pentadbiran Presiden Joko Widodo.
Sekurang-kurangnya sebanyak 63 buah bot nelayan China dikesan memasuki perairan Natuna antara 19 hingga 24 Disember 2019.
Pertikaian tuntutan China terhadap kawasan di Laut China Selatan itu turut menyentuh wilayah negara lain seperti Brunei, Filipina, Taiwan, Vietnam dan Malaysia.
Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia perlu meletakkan kesiapsiagaan itu sebagai teras utama, lantas wajib melengkapkan angkatan lautnya.
Tidak dapat tidak, kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan (Mindef) harus menyemak kembali keperluan yang perlu untuk merancakkan program pembangunan yang dirangka Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menyentuh aspirasi 2020 TLDM, Panglimanya, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany menyasarkan sekurang-kurangnya 75 peratus kapal TLDM berada pada tahap kesiapsiagaan antara kategori satu hingga tiga iaitu tidak rosak dan boleh beroperasi sepenuhnya serta rosak tetapi boleh beroperasi.
Jika mempunyai modal insan berkelas dunia sekali pun, jentera utama TLDM adalah untuk memiliki aset-aset teras iaitu kapal perang terbaik, selain pesawat udara dan kelengkapan pertahanan lain.
Kekurangan aset-aset itu boleh menyebabkan negara terpaksa bersikap lebih diplomasi sekiranya berhadapan pencerobohan perairan.
Percaya atau tidak, TLDM masih mengoperasikan kapal-kapal peronda lama yang mencecah usia lebih 40 tahun untuk mengawasi wilayah maritim negara.
Sebab itu, pentauliahan kapal misi pesisir (LMS) terbaru TLDM, KD Keris, di Limbungan Perkapalan Wuchuan, Qidong, Shanghai, China pada Isnin lalu amat besar signifikan.
Walaupun dilihat sedikit terlewat tetapi ia memberi kelegaan ketika TLDM bergelut dengan pengoperasian kapal-kapal era lampau. KD Keris dibina pada 31 Julai 2018, seterusnya dilancarkan pada 15 April tahun lalu.
Kapal itu kini dalam pelayaran pulang dan dijangka tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat ini. Walaupun bersaiz kompak tetapi LMS memiliki ciri-ciri kapal ronda moden, selain boleh diubah padan mengikut kesesuaian operasi.
LMS kedua, Sundang, dijangka diterima tahun ini, diikuti dua kapal berikutnya. TLDM sebelum ini menyasarkan memiliki sebanyak 18 buah LMS dalam usaha memperteguhkan kawalan maritim negara seperti yang digariskan pada Program Transformasi 15 To 5 TLDM.
Pada masa sama, TLDM masih mengintai agar dilengkapkan dengan kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) bagi memastikan keperluan operasi logistik angkatan itu, selain menyokong operasi kemanusiaan dan bencana alam.
Harus diakui, laut masih rangkaian perhubungan dan ekonomi yang penting dan ia menuntut kekuatan maritim sesebuah negara untuk melindungi laluan pelayarannya.
sumber : Informasi Tempur
No comments:
Post a Comment