Thursday, September 23, 2021

LMS TLDM KETIGA "KD BADIK"

LMS 113 telah siap dibina dan akan tiba di Malaysia pada penghujung September

KUALA LUMPUR - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima kapal misi pesisir (LMS) ketiga yang dinamakan "Badik" dalam satu upacara ringkas di Hotel Antarabangsa Baiyue, Qidong, China hari ini selepas kira-kira dua tahun pembinaannya.

TLDM dalam kenyataannya memaklumkan kerja-kerja pembinaan LMS Badik dijalankan 18 September 2019 dan siap pada 28 Oktober 2020 selepas berjaya menjalani ujian semasa fasa pelabuhan dan di laut.

Menurut TLDM lagi, LMS Badik dinamakan semula bersempena nama sebuah kapal ronda dari Kelas KRIS yang telah dilucut tauliah pada tahun 2005 dan diserahkan kepada APMM. 

“Upacara berkenaan telah disempurnakan oleh Penasihat Pertahanan di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Republik Rakyat China Laksamana Pertama Zahid Abd Aziz mewakili Kerajaan Malaysia bagi menandatangani Sijil Penyerahan Fizikal.

Kapal ronda ex KD Badek dari Kelas KRIS

Jawatankuasa Penerimaan Akhir LMS ketiga dianggotai tiga wakil kerajaan telah melaksanakan pemeriksaan dokumentasi, pemeriksaan fizikal dan mengikuti pelayaran demonstrasi keupayaan kapal.

Dikatakan LMS Badik akan menjadi LMS ketiga TLDM (kelas Keris) dan akan bergabung dengan 11 Skuadron LMS yang berpusat di pangkalan TLDM di Kota Kinabalu, Sabah. Skuadron kini mempunyai dua kapal, KD Keris dan KD Sundang, yang sudah beroperasi.

Tujuh pegawai dan 38 anggota lain-lain pangkat telah berada di China selama lima bulan terakhir untuk menjalani latihan di kapal. Kapal LMS Badik dijangka akan pulang ke Malaysia pada akhir September.

LMS merupakan salah sebuah daripada lima (5) kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15 to 5 TLDM. Kontrak perolehan 4 buah LMS telah dimeterai di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC).

Ia adalah projek perolehan aset pertahanan kapital yang pertama dari China dan LMS keempat dijadual diserahkan pada Disember ini.

Sumber : Malaysian Defence & Sinar Harian

No comments: