Tuesday, October 19, 2021

SAMBUTAN FPDA YANG KE 50 TAHUN

Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) : foto Kementerian pertahanan 

Orang ramai khususnya yang tinggal sekitar Lembah Klang dinasihatkan supaya tidak cemas dan bimbang sekiranya melihat pesawat pejuang terbang rendah serta terdengar bunyi deruman enjin pesawat berkenaan.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, pesawat dengan pelbagai formasi penerbangan rendah dan taktikal itu sedang menjalani latihan yang dijadualkan bermula hari ini untuk acara terbang lintas sempena 50 tahun Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) pada Khamis ini.

Katanya, pada tahun ini, Malaysia menjadi tuan rumah bagi acara sambutan 50 Tahun FPDA dan 11th FPDA Defence Ministers Meeting pada 21 Oktober 2021 di Kuala Lumpur.

"Sambutan ini juga akan diraikan dengan satu acara terbang lintas (fly-past) membabitkan pesawat pejuang negara-negara anggota FPDA yang akan berlangsung pada 21 Oktober 2021 jam 5.45 petang di Pangkalan Udara Subang.

"Bagi menjayakan acara berkenaan, pesawat-pesawat berkenaan akan melaksanakan latihan penerbangan membabitkan formasi-formasi penerbangan rendah serta taktikal di ruang udara sekitar kawasan Lembah Klang bermula pada 19 Oktober 2021.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak cemas dan bimbang sekiranya melihat pesawat-pesawat terbang rendah serta terdengar bunyi enjin pesawat sepanjang tempoh latihan sehingga hari sebenar acara tersebut," kata kenyataan itu.

FPDA ialah perjanjian hubungan pertahanan antara lima negara Komanwel yang ditandatangani pada tahun 1971 bagi memberikan pertahanan udara kepada Malaysia dan Singapura.

Lima negara yang terbabit dalam perjanjian FDPA adalah Malaysia, Singapura, New Zealand, United Kingdom dan Australia.

sumber : careta.my



No comments: