Tuesday, July 12, 2022

SENJATA BANTUAN KE UKRAINE MUNGKIN DIJUAL SEMULA DI PASARAN GELAP

Javelin senjata Anti kereta kebal

Laporan daripada beberapa media alternatif  serta pegawai kanan Russia mendakwa beberapa jenis senjata yang “didermakan” oleh negara-negara Barat kepada tentera Ukraine untuk menentang Russia telah dijual semula sama ada kepada Russia atau pelanggan lain menerusi orang-orang tengah di pasaran gelap.

Walaupun dakwaan itu mula kedengaran di media-media alternatif tetapi ia telah disahkan oleh pegawai kanan Russia, Konstantin Gavrilov yang mengetuai pasukan rundingan negara itu pada persidangan kawalan senjata dan keselamatan di Vienna, Austria.

Beliau mendakwa senjata-senjata itu dijual di pasaran kepada pembeli-pembeli di Timur Tengah.

“Sememangnya terdapat bahaya bahawa senjata-senjata seperti MANPADS (Man-Portable Air Defence System), Javelin dan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal akan dijual ke seluruh dunia. Sudah terdapat bukti bahawa senjata-senjata ini telah pun dijual di pasaran gelap sehingga ke Syria.”

“Kita telah pun melihat rakaman video mengenai penjualan itu,” kata beliau.

Jenis-jenis manpads yang mungkin dijual dipasar gelap

Menurut laporan daripada syarikat perisikan komersial Israel, seorang penjual senjata Ukraine di pasaran gelap menawarkan penjualan senjata-senjata ringan,jaket kalis peluru dan bom tangan pada harga di antara US$1,000 (RM4,000) hingga US$3,600 (RM14,400).

Beliau menyatakan telah melakukan 34 penjualan setakat ini.

Sementara itu seorang bekas penasihat Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dikenali sebagai Karen Kwiatkowski dilaporkan berkata tentera Ukraine menjual semula senjata-senjata yang didermakan oleh negara-negara Barat kerana mereka “tidak tahu menggunakannya” dan adalah lebih untuk menjualnya bagi memperolehi keuntungan.

Satu alasan yang lojik memandangkan Ukraine (sebelum ia berpaksikan kepada Barat) memang menggunakan senjata buatan Russia.

Malah-malah Ukraine suatu ketika dahulu menempatkan pelbagai kemudahan pembuatan senjata-senjata Russia daripada kapal-kapal perang kepada kereta kebal.

Terdapat juga pendapat bahawa Ukraine yang merupakan pusat penyeludupan senjata-senjata gelap sejak daripada dahulu lagi masih memainkan peranan itu pada ketika ini.

Himars MLRS dikatakan dijual oleh tentera Ukraine ke Rusia di pasar gelap

“Jika anda mempunyai wang tunai yang banyak, anda boleh mengarahkan pesawat-pesawat pengangkut Antonov untuk menghantar kargo senjata daripada Ukraine itu kemana sahaja di seluruh pelusuk dunia,” kata seorang pemerhati.

Antara peminat-peminat kepada senjata Ukraine di pasaran gelap pada ketika itu adalah diktator-diktator Afrika serta di Timur Tengah.

Jikalau dakwaan oleh media-media alternatif serta pegawai kanan Russia itu terbukti benar, ia adalah sesuatu perkara yang serius kerana ia membabitkan “pengaliran” teknologi persenjataan sensitif milik Barat kepada Russia.

Amerika Syarikat sebagaimana yang dijangkakan amat memandang berat terhadap laporan-laporan berkenaan penjualan senjata yang didermakannya serta sekutu lain kepada tentera Ukraine.

Pada ketika ini,terdapat juga laporan mendakwa bahawa tentera Ukraine (mungkin membabitkan pasukan sukarela) telah menjual dua buah sistem roket lancaran berganda “HIMARS”  (High Mobility Artillery Rocket System) buatan Amerika Syarikat kepada tentera Russia.

Russia dikatakan membayar US$1 juta (RM4 juta) bagi setiap satu sistem roket HIMARS, yang kononnya telah dibawa balik ke negara itu untuk tujuan “kajian” oleh pakar-pakar persenjataan negara itu.

Caesar Self-propelled Howitzer

Selain HIMARS, terdapat juga laporan bahawa penjenayah dalam tentera Ukraine turut menjual sistem meriam bergerak “CAESAR” buatan Perancis kepada tentera Russia yang kemudiannya membawa balik sistem itu ke Russia untuk tujuan “kajian.”

Sementara itu laporan daripada agensi kerajaan Ukraine menafikan laporan-laporan bahawa anggota tenteranya terlibat dalam penjualan senjata-senjata yang diterimanya daripada negara Barat itu.

Kiev mengatakan bahawa laporan itu merupakan sebahagian daripada propaganda Russia dan berita palsu yang disebarkan oleh negara itu. 

sumber : Defence Security Asia


No comments: