Tuesday, December 12, 2017

KM SRI AMAN ASET TERBARU APMM

NGPC kedua APMM - KM Sri Aman
KUCHING, 4 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak menambah satu lagi aset kapal perondanya hari ini dengan pengoperasian ‘Kapal Ronda Generasi Baharu’ (NGPC) yang dinamakan KM Sri Aman.

Majlis perasmian pengoperasiannya yang berlangsung di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (Komtas) di Muara Tebas, kira-kira 25km dari sini disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata kapal peronda ini merupakan yang kedua daripada enam buah yang dibina untuk APMM oleh syarikat tempatan berpangkalan di Pelabuhan Klang, Selangor.

Kapal NGPC pertama KM Bagan Datuk, disiapkan sekitar Mac lepas, dan baki empat kapal ronda dijangka akan disiapkan secara berperingkat, dengan kapal keenam dijangka siap pada suku pertama 2019.

Zulkifli berkata pengoperasian kapal ini merupakan cerminan komitmen dan inisiatif kerajaan dalam memastikan kepentingan dan keselamatan laut Malaysia terpelihara, apabila aktiviti penguatkuasaan APMM sentiasa diperhebatkan.

KM Sri Aman dengan no penant 4542
“Cabaran utama yang perlu ditangani oleh APMM adalah ancaman seperti jenayah rentas sempadan, keganasan maritim, ‘illegal salvaging of wrecks’, dan pengeksploitasian sumber laut secara haram,” katanya.

Beliau berkata dengan tanggungjawab besar yang dipikul APMM sebagai agensi tunggal penguatkuasaan maritim dan cabaran alaf baharu yang dihadapi.

Perolehan NGPC adalah bertepatan pada waktunya bagi membolehkan semua tugas pengawalan dan penguatkuasaan APMM dilaksanakan dengan lebih efektif di kawasan perairan Malaysia.

Menurutnya kapal NGPC akan memberikan pulangan modal kepada kerajaan secara umumnya dan kepada APMM secara khususnya, terutama dengan adanya program kolaborasi industri yang melibatkan pemindahan teknologi, pengetahuan dan latihan berkaitan dengan kapal NGPC oleh syarikat yang dilantik.

Sementara itu APMM Wilayah Sarawak berharap agar satu daripada tiga kapal ronda luar pesisir pantai (OPV) yang dibekalkan kepadaa APMM, akan ditempatkan di kawasan perairan Sarawak.

Pengarah Maritim Wilayah Sarawak, Ismaili Bujang Pit berkata kawasan perairan Sarawak yang luas, merangkumi 239,605km persegi atau 39 peratus daripada kawasan perairan Malaysia memerlukan aktiviti pengawasan sentiasa ditingkatkan bagi mencegah pencerobohan nelayan asing ke kawasan perairan Malaysia.

sumber – Bernama


Tuesday, December 5, 2017

PROTOTAIP MRTES UNTUK LATIHAN PEPERANGAN

A-400M
KOTA BELUD: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melancarkan prototaip Sistem Simulator Radar Mudah Alih (MRTES), iaitu aset baharu bagi tujuan latihan seperti dalam keadaan peperangan sebenar.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata sistem simulator itu adalah hasil pembangunan secara usahasama TUDM, Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dan syarikat Iktamatic Systems Sdn Bhd.

Beliau berkata, sistem itu adalah pertama seumpamanya di negara ini yang direkabentuk dan dibangunkan sepenuhnya oleh jurutera tempatan.

"Ia juga sudah mendapat kelulusan dalam ujian yang dijalankan oleh Electronic Warfare Support Centre (EWSC), TUDM dan STRIDE.

"Aset ini berupaya ditempatkan di semua lokasi dan keadaan muka bumi untuk kegunaan latihan peperangan elektronik semua pesawat TUDM, terutama pesawat pejuang," katanya selepas majlis penyerahan MRTES dan Demonstrasi Kuasa Tembakan Udara ke Bumi oleh TUDM di Lapang Sasar Udara (LASARUD), Kem Paradise, di sini.

Affendi berkata, kos pembangunan prototaip berkenaan dianggarkan RM6 juta yang dibangunkan sejak tahun 2015.

"Bagaimanapun, penambahbaikan prototaip terbabit masih dijalankan dari semasa ke semasa agar mampu menghasilkan sistem simulator terbaik," katanya.

Terdahulu, lebih 30 pesawat pelbagai jenis dan kira-kira 500 pegawai serta anggota TUDM terbabit dalam eksesais Demonstrasi Kuasa Tembakan Udara ke Bumi yang diadakan sejak 14 November lalu.

Antara aset digunakan termasuk pesawat pejuang Hawk, F/A-18D, SU30MKM, helikopter EC725 dan Nuri.

Latihan itu adalah sebahagian Eksesais Paradise Siri 4/2017 yang dilaksanakan TUDM, antara lain bagi menguji dan mempertingkatkan keupayaan serta kesiapsiagaan ketumbukan itu di ruang udara Sabah membabitkan kawasan Wilayah Udara 2.

Dalam perkembangan lain, Affendi berkata, pihaknya terus mempertingkatkan keselamatan di Sabah khususnya melalui pemantauan udara susulan pergolakan di selatan Filipina.

sumber : utusan