MIG 41 |
Seawal tahun 2016, pengurusan kanan syarikat aeroangkasa terkenal Russia, Mikoyan Gurevich telah membayangkan bahawa pesawat pemintas jarak jauh MiG-31 “Foxhound” akan ditamatkan khidmatnya pada tahun 2028.
“Menjelang tahun 2028 pesawat pejuang-pemintas MiG-31 tidak akan wujud lagi. Kita mempunyai masa untuk membangunkan pesawat baru sebagai pengganti (MiG-31),” menurut ketua syarikat Mikoyan Gurevich Sergey Korotkov.
Pesawat pejuang-pemintas jarak jauh dan altitud tinggi MiG-31 mula dibangunkan oleh Russia pada awal 1970-an.
Sememangnya sudah sampai masa untuk pesawat MiG-31 itu digantikan dengan sebuah pesawat yang lebih berkeupayaan.
Pengurusan kanan syarikat itu telah pun memberikan bayangan kepada media-media Russia bahawa Mikoyan Gurevich itu memiliki program pembinaan pesawat “pemintas berkepantasan tinggi” iaitu MiG-41 yang bakal menggantikan pesawat MiG-31 itu.
Pesawat MiG-41 yang sedang hebat diperkatakan oleh penganalisis aeroangkasa antarabangsa kini adalah pesawat generasi ke-6 Russia yang bakal menyaingi kemampuan pesawat generasi ke-6 Amerika Syarikat iaitu “Next Generation Air Dominance” (NGAD).
Secara rasminya, program untuk mencipta pesawat pengganti MiG-31 itu adalah “Mikoyan PAK DP” untuk membina pesawat pemintas halimunan oleh syarikat Mikoyan untuk mengantikan MiG-31 itu pada tahun 2030.
MIG-31 Foxbat |
Memandangkan salah satu ciri paling utama pesawat yang sedang dibina itu adalah kelajuannya, maka berapakah kelajuan MiG-41 yang diperkatakan oleh pemerhati?
Kelajuan yang diimpikan oleh pengurusan kanan syarikat terbabit terhadap pesawat “pemintas berkelajuan tinggi” MiG-41 adalah pada Mach 4, malah terdapat pemerhati yang berkata bahawa pesawat generasi ke-6 Russia itu boleh mencapai kelajuan sehingga Mach 5.
Untuk melihat Mach 4 hingga Mach 5 itu mungkin bukan sesuatu mimpi kosong kerana syarikat Mikoyan Gurevich telah telah pun membangunkan dua jenis pesawat terdahulu yang memiliki kelajuan yang amat tinggi.
Berpuluh tahun sebelum ini, syarikat Mikoyan Gurevich telah pun membangunkan pesawat-pesawat MiG-25 dan MiG-31 yang masing-masing mencapai kelajuan Mach 3.2 dan Mach 2.8.
Jadi untuk mencapai Mach 4 hingga Mach 5 sebagaimana diperkatakan oleh penganalisis aeroangkasa Russia sememangnya boleh dicapai oleh syarikat Mikoyan Gurevich yang memiliki sejarah penghasilan pesawat berkelajuan yang amat tinggi.
Memandangkan ia disasar untuk terbang selaju Mach 4 atau Mach 5, apakah enjin yang akan menjana kelajuan pesawat MiG-41 itu?
Lakaran Grafik MIG-41, adakah ia akan menjadi kenyataan atau sekadar lakaran. |
Pesawat MiG-41 itu dikatakan bakal dilengkapi dengan enjin Ramjet atau Turbo Ramjet bagi memastikan ia mencapai kelajuan yang sangat ekstrim itu, selain beroperasi di dalam keadaan halimunan.
Selain memiliki kelajuan yang amat tinggi, pesawat MiG-41 yang diimpikan itu juga boleh beroperasi pada altitud yang tinggi, sehingga ada yang mengatakan ia boleh beroperasi di altitud berhampiran dengan angkasa lepas (near space altitude).
Oleh kerana ia bakal beroperasi di altitud berhampiran angkasa lepas, pesawat “berkepantasan tinggi” MiG-41 itu akan turut membawa peluru-peluru berpandu anti-satelit untuk memusnahkan satelit-satelit milik musuh Russia.
Ia juga dikatakan bakal membawa peluru berpandu hypersonik.
Bagaimanapun disebalik kata-kata manis tentang program MiG-41 ini, terdapat juga kemungkinan ia akan menemui kegagalan atau dirudung pelbagai masalah yang memungkinan kita terpaksa menunggu puluhan tahun lagi sebelum ia benar-benar wujud.
Sumber : Defence Security Asia