Monday, June 24, 2019

PELAYARAN KAPAL INDUK CHINA: TLDM AMBIL LANGKAH BERJAGA-JAGA

Peta pelayaran armada kapal Induk Liaoning 
LUMUT, 24 Jun – Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany menyatakan Tentera Laut Diraja Malaysia akan sentiasa berwaspada akan kehadiran kapal-kapal asing yang memasuki perairan negara.

Beliau menyatakan perkara tersebut selepas Majlis Serah Terima Tugas Panglima Armada Barat yang berlangsung di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.

“Saya ada membaca laporan tersebut namun sehingga kini belum ada bukti kukuh yang melaporkan perkara tersebut (kapal Liaoning memasuki perairan Malaysia) berlaku,

“Saya telah meminta Panglima Armada Timur untuk mengambil langkah sewajarnya bagi memerhati dan melaporkan kehadiran kapal-kapal asing yang memasuki perairan Malaysia,” jelas Reza.

Beberapa hari lalu, tular sekeping gambar yang menyatakan laluan pelayaran kapal induk Tentera Laut China (PLA Navy), Liaoning di kawasan barat Lautan Pasifik.

Gambar yang tular di media sosial tersebut turut mendakwa Liaoning akan berlayar memasuki perairan antara Sabah dan Filipina sebelum menuju ke Laut China Selatan.

Kapal Pengangkut Pesawat Liaoning dilaporkan merapati Guam pada 20 Jun 2019 selepas melalui Selat Taiwan dan Selat Miyako (Antara Pulau Miyako da Pulau Okinawa) pada 10 Jun 2019 lalu.

Media Taiwan yang memetik kenyataan sumber enggan mendedahkan diri menyatakan destinasi seterusnya dijangka perairan Filipina dan kemudian melalui Laut Sulu, Utara Sabah kemudian ke Kepulauan Spratly di Laut China Selatan.

Liaoning turut bersama 3 buah Pembinasa, 3 buah Frigat, 2 buah Kapal Selam Nuklear SSN dan 2 buah Kapal Bantuan dan Logistik.

Sumber tersebut turut menyatakan Liaoning dijangka akan berlabuh di pulau yang diduduki oleh China di Kepulauan Spratlys.

sumber: Airtimes & Malaysia Defence Review


Saturday, June 22, 2019

MITSUI UMUMKAN CADANGAN TENDER MRSS MASA DEPAN UNTUK TLDM

MRSS cadangan dari syarikat Mitsui untuk TLDM
Mitsui Engineering & Shipbuilding (Mitsui E&S) iaitu sebuah syarikat pembina kapal dari Jepun telah mempamerkan rekaan "Multi Role Support Ship" untuk Malaysia semasa Pameran MAST Asia 2019 di Chiba, Tokyo, Jepun yang berlangsung 17 Jun sehingga 19 Jun 2019.

Rekaan MRSS Mitsui E&S ini direka untuk mengangkut infantri, bantuan amfibia, kawalan dan perintah, bantuan logistik serta bantuan kemanusian, bencana dan kecemasan.

Menurut wakil Mitsui E&S, rekaan MRSS mereka mempunyai panjang 160 meter, berat 13,000 tan dan lebar 24 meter. Ia mampu membawa 150 anak kapal, 500 infantri, 16 kereta kebal MBT, 6 buah kereta perisai APC/IFV dan kenderaan ambulan medan.

Selain itu, ia mempunyai dek pendaratan helikopter untuk 2 buah helikopter bersaiz medium selain 2 buah hangar untuk helikopter. Kapal ini juga mampu mengoperasikan UAV. Dibahagian "well deck" ia mampu memuat dua buah lanchang pendarat LCM.

Untuk persenjataan, ia dilengkapi 2 unit CIWS Phalanx yang diletakkan dibahagian hadapan dan atas hangar. Ia turut dilengkapi beberapa mesigan berat serta GPMG untuk pertahanan jarak dekat.

lukisan grafik MRSS  rekaan Mitsui
Rekaan Mitsui E&S juga akan mengikut ciri-ciri Kapal Pendaratan Kereta Kebal LST Kelas Osumi yang mana dibina oleh Mitsui E&S untuk Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun (JMSDF) sebanyak 3 buah siap pada 1998 sehingga 2003.

Mengikut maklumat yang dikumpulkan sejak LIMA 2019, kini terdapat sekurang-kurangnya enam syarikat pembina kapal yang kini membentuk tawaran mereka untuk program MRSS TLDM. Selain Mitsui Jepun, pesaing lain termasuk Damen Nertherlands, France Naval Group, China CSOC Shipyard, PT PAL Indonesia dan Syarikat pembina kapal Korea Selatan.

MRSS adalah satu program dalam 15 to 5 Tentera Laut DiRaja Malaysia dimana ia akan mengantikan 2 buah MPSS KD Sri Indera Sakti dan KD Mahawangsa. 2 buah kapal pertama dijangka diterima dalam tempoh 2021- 2025 dan yang terakhir pada 2035.

sumber : Malaysia Defense Review


Monday, June 17, 2019

MENGAPA PROGRAM 15 TO 5 AMAT PENTING BAGI TLDM


Kita sedang melihat polisi pemerintah yang mengundur kebelakang apabila program 15 to 5 yang sepatutnya membuka langkah pemodenan untuk TLDM dengan teras utama armada meliputi 6 buah LCS (Littoral Combat Ship) sebagai frigat kombatan tempur permukaan utama berserta tambahan 6 buah lagi dimasa hadapan bakal dikurangkan menjadi 3 buah.

Nasib sama menimpa program LMS (Littoral Mission Ship) yang asalnya disasarkan sebanyak 12 buah kapal denga permulaan 4 buah akan kekal sebanyak 4 buah sahaja.

Menyedihkan lagi dimana dalam keadaan aset sedia ada semakin usang, langkah SLEP (ship life extension program) terpaksa diambil untuk memastikan aset yang sebelum ini dijangka akan dilucut tauliah setelah kemasukan pengganti seperti LMS yang antaranya kapal-kapal kelas Laksamana (yang asalnya korvet peluru berpandu kini sekadar gun boat) dan kapal-kapal FAC (fast attack craft), kapal penyapu ranjau kelas Mahamiru akan terus kekal berkhidmat dengan TLDM sehingga jangka masa yang tidak kita dapat pastikan.

Program LCS yang tertangguh akibat dari sikap political play pemerintah sekarang.
Langkah kebelakang ini bakal memberikan mudarat kepada TLDM, dimana angkatan laut kita ini bakal mengoperasikan aset yang akan memakan kos lebih tinggi akibat usia yang semakin bertambah berserta kelengkapan persenjataan yang tidak lagi beroperasi dan kapal-kapal ini yang dikendalikan oleh warga TLDM akan pula berhadapan dengan angkatan laut moden negara yang mempunyai pertindihan wilayah laut di Laut China Selatan, Selat Melaka dan Laut Sulu.

Negara tetangga sedang mengorak langkah memodenkan angkatan laut masing-masing dengan kapal generasi baharu yang lebih berkeupayaan dan sesuai menangani senario pertembungan tidak terjangka dengan negara adikuasa serantau.

Malahan kita terpaksa berpuas hati dengan kapal kelabu yang setaraf kalau tidak lebih baik dari kapal-kapal pengawal pantai.

Kenapa polisi terkini memilih langkah SLEP walhal telah jelas dan nyata sebelum ini TLDM telah menyalurkan dana SLEP untuk kapal lama kepada program perolehan kapal baharu yang mana kos operasinya nanti akan lebih optimum.

Kita telah melihat bagaimana TLDM sendiri mengadakan belanjawan untuk perolehan kapal baharu dengan menghentikan proses SLEP sekaligus memberikan bang for buck berserta aset yang lebih berkemampuan.

Kalau begini gayanya jangan kita mimpikan untuk menjadi terbaik sebagaimana ditahun 80an dahulu sedangkan kita masih terkial kial untuk memberikan aset terbaik untuk angkatan laut kita sendiri.

Tanyalah kalangan krew TLDM, bagaimana keadaan kapal mereka.seperti FAC yang dulu taringnya bukan calang-calang sekarang umurnya mencecah 40 tahun dan apa yang tinggal hanya kuku yang tajam pun tidak tumpul sudah tentu.

Kami yakin, TLDM sangat memerlukan jumlah kapal yang setara dan pelan pembangunan 15to5 sebenarnya model pemodenan yang sudah cukup baik dan pihak pemerintah dan pembuat dasar hanya perlu mengadakan belanjawan untuk merealisasikannya.

Percayalah, kami tahu TLDM sangat terdesak dengan keadaan diwilayah laut kita yang semakin meruncing dan mereka perlukan yang terbaik untuk melaksanakan tugas mereka.

Takkan kita nak jadi Filipina satu masa dulu dengan gehtto navy mereka, yang terdiri dari kapal-kapal usang era perang dunia dan perang vietnam yang semakin teruk dimamah usia dan perlu berhadapan pula dengan angkatan laut moden seperti China.

Kami tahu pemerintah sedang sibuk bertikaman antara satu sama lain untuk tampuk kuasa tapi jangan lalai sampaikan pasukan keselamatan kita terbiar, dan wilayah kita perlahan-lahan diceroboh kemudian di takluk secara halus oleh seteru kita.

Kami seru pihak pemerintah, teruskan program 15 to 5 dan lupakan program SLEP yang bakal mengunyah lebih banyak dana dan dikemudian hari masih tidak dapat memberikan kehendak strategik yang diperlukan.

Korvet kelas Laksamana yang dulunya digeruni dengan kelengkapan persenjataan 3 dimensi

Korvet kelas laksamana kini kehilangan taringnya hanya berperanan sebagai FAC- Gun
Lihat saja kapal-kapal kelas Laksamana kita yang dahulu digeruni dirantau ini dengan aspek persenjataan 3 dimensi yang lengkap dengan persenjataan anti pesawat Aspide, sistem peluru berpandu anti kapal Ottomat dan mampu melaksanakan operasi perang bawah permukaan, kini hanya menjadi gunboat dan bukan lagi missile corvette kerana persenjataan peluru berpandu yang ada sudah tamat pengunaannya dan varians yang kita gunakan tidak lagi dikeluarkan oleh pihak pengeluar dari Itali.

Bila kali terakhir kita lihat latihan penembakan misil hakiki dari kapal ini? Ini bukan membongkar kelemahan tetapi hakikat yang mana pihak pemerintah perlu sedar dan beri perhatian khusus dimana dapat kita perhatikan melalui siri latihan yang diadakan sejak kebelakangan ini berserta maklumat terbuka memberikan satu inferens yang mana persenjataan pada kapal-kapal ini sudah tidak lagi relevan.

Kita tahu kerana dari foto rasmi TLDM sendiri kita boleh lihat, pelancar misil pada kapal-kapal Laksamana ini sudah tidak lagi dipasangkan memberikan kita petanda apa? Takkan kita masih mahu berdalih?

Lihat pula tempo operasi yang harus digalas oleh kapal-kapal kelas Perdana, Jerong dan Handalan. Kapal yang dibina dan mula dioperasikan oleh TLDM sejak 1970an ini masih lagi diperah khidmatnya sehingga sekarang.

Kalau dulu bila kali pertama kapal serang laju ini mampu mencecah kelajuan 40 knots sekarang anda rasa bagaimana selepas hampir 40 tahun. Mampukah ia mengekalkan kelajuan kombat sedemikian?

Kita juga mengalami kekangan aset logistik yang ketara, dimana tanggungjawab ini dipikul oleh dua kapal era 80a buatan Korea Selatan sedangkan TLDM seharusnya menjadi penyedia aset untuk membolehkan Tentera Darat diatur gerak untuk operasi pendaratan amfibia, atau menyediakan platform untuk operasi Military Operation Other Than War (MOOTW) seperti memberikan bantuan kemanusiaan dan bencana alam - Humanitarian Aids and Disaster Relief (HADR) yang sering disebut merupakan antara tugas yang dikehendaki oleh kementerian dalam pemerkasaan Angkatan Tentera Malaysia.

Kita nak tentera buat macam-macam tapi kita kedekut dana. Kita beralasan sejak dulu yang ekonomi tidak bagus. Kita beralasan politik menyalahkan antara satu sama lain, menuding jari dan langsung tidak menampakkan langkah positif dan proaktif. Pemerintah kita sibuk dengan political power play dan politik picisan sampah sampai mengabaikan keselamatan nasional.

Ingat, dengan diplomatic blunder dan ditambah dengan kekangan aset yang kritikal kita takkan mampu untuk exert our claims and defend our key resources in the disputed maritme territories.

Frigate peluru berpandu canggih China Type 054A. kita dimana ????
Kita perlu juga ingat, China sedang meningkatkan tahap kesiagaan armada mereka dan pada masa sama negara tetangga kita juga berbuat demikian disamping Amerika sendiri juga cuba untuk campur tangan. Kita bercakap tentang tidak mahu campur tangan negara lain dan mahu berunding cara diplomasi tetapi kita tiada bargaining power untuk melakukannya.

Ini bukan lagi walk slowly and carry a big stick, kita stick pun takda walau kecil. Kita bercakap pada sidang antarabangsa - kapal seteru kita besar dan macam mana kita nak kejar - walhal solusinya sudah diberikan oleh TLDM tinggal pemerintah melaksanakannya - bukan pemerintah buat pandai dan ikut suka ubah perancangan tersebut.

Kita sembang pasal campurtangan politik tapi nah program pemodenan TLDM yang sepatutnya dilaksana juga dicemari campur tangan politik berkepentingan. Kita bukannya tak tahu siapa disebalik pembatalan program LMS dan siapa yang mendapat laba keuntungan program SLEP.

Kita tahu siapa yang sebelum ini marah program SLEP dibatalkan. Kita hanya sibuk tentang wang dan hutang dan mencari cara menebalkan dompet dengan menidakkan hak pasukan keselamatan kita memiliki kelengkapan yang terbaik untuk mereka melaksanakan tugas diperbatasan.

Secara nyata nya TLDM kini mengalami tarikh luput hampir kesemua taring senjata yang mana dahulu ada yang digeruni di rantau Asean.

Lihat pada misil Sea skua yang terdapat pada Helikopter Superlynx. Pada 2017 yang lalu, MBDA menyatakan bahawa hampir kesemua misil sea skua TLDM akan tamat tempoh erti kata mudahnya dah basi.

MBDA membuat tawaran kepada ATM untuk mengambil semua misil sea skua yang sedia ada dan digantikan dengan Misil Sea Venom yang lebih canggih yang mana kini digunakan meluas dalam UK Royal Navy dan France Navy.

Misil MM38 Exocet yang dulu kita banyak lihat pada kelas FAC M telah tiada. Sebab? Mudah saja iaitu dah tamat life span pun.

sumber: : petikan dari Malaysia Military Power (MMP)


Wednesday, June 12, 2019

FRIGAT KELAS ADMIRAL GORSHKOV

Kapal Frigat pertama dari kelas Admiral Gorshkov (no Pennant 417)

Kapal Frigat Tentera Laut Russia, Kelas Admiral Gorshkov iaitu Admiral Kasatanov (No. Pennant 431) sedang menjalani ujian perlayaran di Laut Baltik pada Jan 2019. Admiral Kasatanov adalah frigat kedua dari Kelas Admiral Gorshkov.

Frigat Kelas Admiral Gorshkov dibina oleh Severnaya Verf di Saint Petersburg namun mengalami beberapa kelewatan dan penangguhan sejak mula dibina pada 2010.

Pada asalnya mengunakan enjin diesel dan turbin gas keluaran Zorya-Mashproekt dari Ukraine. Namun krisis Crimea pada 2014, beberapa syarikat dari Ukraine menarik diri dan enggan membekalkan enjin serta bahagian tertentu pada frigat ini.

Pembekal enjin Russia, NPO Saturn menjadi pembekal enjin dan turbin gas untuk Frigat Kelas Gorshkov. Namun sistem pendorong kapal berkenaan hanya akan diuji pada 2017/2018 dan ujian selesai 2020.

Setakat ini, enam kapal kelas ini telah dipesan dan dijadualkan untuk dihantar pada tahun 2025. Kapal utamanya, Admiral Gorshkov, telah ditauliahkan pada 28 Julai 2018.

Frigat Kelas Admiral Gorshkov mempunyai 48 VLS Cell. Ia terdiri 16 VLS Cell (2×8) yang mampu melancarkan misil kruiser jenis Kalibr, Oniks dan Zicron. Manakala baki 32 VLS Cell (2×16) untuk misil pertahan udara Redut (Varian Naval S-350 Vityaz).

Frigat ini mempunyai berat standard 4500 tan. Namun dengan membawa misil kruiser seperti Zircon dijangka ia mampu mencecah 7000 tan.

Sistem persenjataan lain terdiri meriam utama A-192M 130mm, 2 unit Sistem CIWS Kashtan (Kemungkinan akan digantikan dengan CIWS Pantsir-M), 8 unit (2x4) torpedo tiub 330mm untuk Paket NK anti torpedo dan anti kapal selam serta 2 mesigan berat MTPU 14.5mm.

Frigat ini adalah platform pelbagai guna yang direka untuk misi peperangan anti-udara, anti-permukaan, dan anti-kapal selam. Seperti kapal permukaan Rusia yang lain, persenjataan utama kelas ini terdiri daripada peluru berpandu kruis anti-kapal dan serangan darat.

Frigat Kelas Gorshkov direka oleh Severnoye Design Bureau ini mengunakan teknologi "stealth". Ia dilengkapi pelbagai radar, sensor dan sistem peperangan elektronik.

sumber : Malaysia Defence Review

Tuesday, June 11, 2019

TLDM BAKAL TERIMA 6 UAV DARI AMERIKA SYARIKAT NOVEMBER INI

Boeing Insitu ScanEagle
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan Malaysia hari ini mengesahkan negara akan menerima pesawat tanpa pemandu (UAV) dari Amerika Syarikat mulai 2019 sehingga 2022.

Perkara tersebut dinyatakan dalam satu siaran akhbar yang dikeluarkan oleh pihak kementerian pada hari ini.

“Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima aset ini secara berperingkat dan enam ScanEagle UAV dijangka akan diterima pada pertengahan November ini,

“ScanEagle UAV yang bakal diterima daripada AS akan dapat membantu Malaysia dalam membuat pengawasan maritim sementara Kementerian Pertahanan membuat perolehan dua Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan tiga Medium Altitude Long Endurance Unmanned Airborne System (MALE UAS) yang akan disempurnakan dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMKe-12),” jelas Kementerian Pertahanan.

Terdahulu, Malaysia dilaporkan akan menerima 12 buah UAV dari Amerika Syarikat.  Pesawat tersebut dibekalkan kepada Malaysia melalui program Maritime Security Initiative (MSI).

Program tersebut melibatkan penyediaan bantuan dalam bentuk keupayaan (aset) dan kapasiti (latihan) kepada negara-negara rakan termasuk Malaysia bagi membantu meningkatkan Maritime Domain Awareness (MDA) di rantau Asia Tenggara.

“Program ini dibiayai sepenuhnya oleh Amerika Syarikat dan tidak melibatkan sebarang kos oleh kerajaan Malaysia,”  tegas pihak kementerian.

Malaysia sebagai sebuah negara maritim amat memerlukan keupayaan intelligence, surveillance dan reconnaissance (ISR) untuk mengawasi laluan strategiknya yang luas di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.

Pihak kementerian menambah, Malaysia mengalu-alukan kerjasama pertahanan dengan semua pihak yang berkepentingan  termasuk AS dan China bagi menjaga keselamatan negara dan kestabilan di rantau Asia Tenggara.

Pada akhir Mei lalu, pihak Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat telah menganugerahkan kontrak bernilai sekitar US$ 47.93 juta kepada Insitu Inc bagi membekalkan ScanEagle UAV kepada 4 buah negara di rantau Asean. Pembekalan UAV tersebut dilaksanakan melalui program MSI.

Indonesia dan Filipina akan menerima 8 buah ScanEagle sementara Vietnam 6 buah UAV. Malaysia yang merupakan penerima terbesar dari negara yang tersenarai dengan 12 buah ScanEagle UAV dengan nilai US$ 19.33 juta.

sumber : airtimes