kapal pengangkut Amerika Syarikat dan diiringi oleh dua kapal perangnya |
Ancaman itu dilaporkan oleh agensi berita KCNA yang memetik jurucakap Kementerian Luar Korea Utara sebagai berkata, keputusan Australia itu adalah tindakan ‘membunuh diri’ selain memberi amaran kepada Menteri Luar Australia, Julie Bishop supaya ‘berfikir dua kali tentang kesannya’.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan lawatan Naib Presiden AS, Mike Pence ke Sydney dan negara-negara Asia lain, antaranya bertujuan untuk ‘menenangkan’ sekutunya yang bimbang tentang ugutan Pyongyang melancarkan ujian peluru berpandu.
Dalam kunjungan tersebut, Bishop menyifatkan Korea Utara sebagai ‘ancaman serius’ dan negara tersebut sepatutnya membelanjakan wang untuk kebajikan rakyat yang menderita, bukannya senjata pemusnah.
Sementara itu, sekutu rapat Australia, New Zealand turut menuduh Korea Utara mempunyai ‘niat jahat’.
Menteri Pertahanan, Gerry Brownlee memberitahu Television New Zealand, banyak pihak yang tahu sedikit sahaja tentang rejim pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un namun ‘di bawahnya terdapat sekumpulan besar manusia yang mempunyai niat yang sama’.
Dalam perkembangan sama, Korea Utara turut memberi amaran akan menenggelamkan kapal pengangkut perang AS, Carl Vinson dengan hanya satu serangan.
Akhbar Rodong Sinmun melaporkan, Korea Utara menyifatkan kapal pengangkut tersebut sebagai ‘haiwan hodoh’ dan serangan ke atasnya adalah ‘contoh sebenar untuk memperlihatkan kekuatan tentera’ negara itu.
Sumber : utusan Malaysia