Tuesday, August 25, 2020

TIADA DENDA PADA KONTRAKTOR LEWAT BEKAL KELENGKAPAN MINDEF

Starstreak LML-NG, Malbatt APC & LCS Maharajalela

PUTRAJAYA - Sejumlah RM116.54 juta denda lewat (liquidated damages) tidak dikenakan Kementerian Pertahanan (Mindef) terhadap syarikat atas kelewatan penyerahan Kapal Peronda Generasi Kedua (Kapal LCS 1).

Perkara itu didedahkan Ketua Audit Negara (LKAN), Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid pada pembentangan Laporan LKAN Tahun 2019 Siri 1, di sini hari ini.
Menurutnya, jumlah bayaran itu bagi kelewatan penyerahan Kapal LCS 1 selama 245 hari dari tarikh sepatutnya diserahkan iaitu April 2019.

"Jabatan Audit Negara (JAN) juga mendapati bayaran kemajuan yang dibuat terhadap Kapal LCS 1 melebihi kemajuan kerja sebenar iaitu 21.1 peratus," katanya.

Menurutnya, Mindef juga didapati tidak mengenakan denda lewat berjumlah RM15.04 juta terhadap syarikat atas pembekalan pelancar Lightweight Multiple Launcher- New Generation (LML-NG) antara 28 hingga 171 hari dari tarikh sepatutnya diserahkan iaitu September 2018. "Perolehan dibuat untuk 24 LML,-NG, tetapi didapati 20 buah yang lewat diserahkan," katanya. 

Beliau berkata, JAN juga mendapati, sembilan kenderaan Armoured Personnel Carrier (APC) yang tidak menepati spesifikasi ditetapkan pihak United Nations (UN) sehingga menyebabkan bayaran balik yang diterima terkurang RM2.22 juta.

"APC ini untuk kegunaan Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan.
"Berdasarkan spesifikasi, APC perlu mempunyai sistem senjata 'integrated' yang membolehkan anggota Malbatt keselamatan melepaskan tembakan dari dalam kenderaan.

"Sebaliknya apa yang diterima, anggota MALBATT terpaksa mengeluarkan kepala dari APC untuk melepaskan tembakan," katanya.Nik Azman berkata, ketidakpatuhan terhadap spesifikasi itu boleh merisikokan keselamatan anggota MALBATT.

Justeru katanya, JAN mengesyorkan Mindef menguatkuasakan klausa denda lewat terhadap syarikat atas kelewatan penyerahan dan pembekalan dengan membuat potongan daripada bayaran kemajuan seperti diperuntukkan dalam kontrak.

"Mindef perlu memastikan penyediaan kontrak secara beli semula perlu mengambil kira spesifikasi atau keperluan penggunaan berkaitan selain mengenakan tindakan sewajarnya terhadap syarikat atau pegawai yang tidak mematuhi kehendak dan arahan jabatan seperti tertakluk dalam undang, peraturan kewangan, kontrak serta standard prosedur operasi," katanya.

sumber: Sinar Harian


Sunday, August 23, 2020

KOREA SELATAN AKAN BANGUNKAN KAPAL PENGANGKUT PESAWAT BARU

 rekabentuk kapal pengangkut pesawat ringan ROK LPX-II

SEOUL: Kementerian pertahanan Korea Selatan akan meneruskan pembinaan kapal pengangkut pesawat ringan 30,000 tan yang mampu menyokong pesawat stealth F-35B dan juga untuk membangunkan kapal selam seberat 4.000 tan, dipersenjatakan dengan peluru berpandu balistik bawah laut untuk Angkatan Laut ROK .

Menurut pihak media Korea, jenis enjin tidak dinyatakan tetapi kapal selam baru ini akan dikuasakan dengan reaktor nuklear. 

Pelan pertahanan 2021-2025 baru yang dilancarkan oleh kementerian pertahanan yang menggambarkan rancangan pemodenan kekuatan Angkatan Laut Republik Korea termasuk kapal induk ringan. 

Menjelang akhir ini, angkatan laut Korea Selatan telah melancarkan projek untuk melihat apakah projek LPX-II berdasarkan kapal pendaratan kelas Dokdo dapat direkabentuk semula untuk mengoperasikan F-35B, landasan pendek dan pendaratan menegak (STOVL) varian F-35A Lightning II.

Kementerian dijadualkan untuk memulakan reka bentuk dasar kapal atas dari tahun depan dan menyelesaikannya pada awal 2030. Menurut Kementerian Pertahanan Nasional 2021-2025 Pelan Pengambilan Jangka Menengah yang diterbitkan 10 Ogos, kapal induk akan menjadi kapal induk armada Tentera Laut ROK.

Korea Selatan telah memesan 40 varian F-35A Conventional Take Off and Landing (CTOL) dari pesawat tempur generasi kelima Lighting II, dengan penghantaran akan diselesaikan pada tahun 2022. 

Pesawat F-35B untuk kapal induk akan dikendalikan oleh Angkatan Udara ROK dan akan diperoleh secara berasingan daripada 20 tambahan F-35A yang dirancang untuk dibeli. Akhirnya, ROKAF akan mengendalikan sejumlah 80 pesawat F-35 (60 F-35A dan 20 F-35B).

Selain Korea Selatan, Jepun dan Singapura juga secara aktif sedang mencari platform pendaratan pesawat F35B masing-masing berdasarkan kapal penyerang amfibi atau kapal Landing Dock.

sumber : adj.com.my

Sunday, August 16, 2020

USIA HAMPIR 30 TAHUN PESAWAT BEECHCRAFT DITAMATKAN KHIDMATNYA PADA 2024


Pesawat Beechcraft 200T milik TUDM

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini menjelaskan rancangan penamatan khidmat pesawat Beechcraft Super King Air B200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah pada tahun 2024.

“Ini adalah selari dengan Dasar Perintah Am Angkatan Tentera,” kata Ismail Sabri semasa Pengulungan Bahas.

Menurut beliau, peranan pesawat tersebut akan digantikan dengan Pesawat Rondaan Maritim (Maritime Patrol Aircraft, MPA) yang lebih berkeupayaan. Pengantian pesawat tersebut adalah selari dengan pelan Capability 55 (CAP 55) TUDM.

“Perolehan MPA telah diluluskan oleh kerajaan. Pesawat tersebut adalah lebih berkemampuan untuk melakukan rondaan maritim secara menyeluruh dan berkesan,” ujarnya.

Ismail Sabri menambah, Beechcraft telah berkhidmat dalam TUDM semenjak tahun 1994 dengan melakukan rondaan maritim secara terhad di Zon Ekonomi Esklusif negara.

“Ini kerana had jangkauan, jarak, saiz kabin, kuantiti platform yang terhad serta sistem pengawasan terbatas,” jelasnya.

Sebelum ini, TUDM mengoperasikan sebanyak 4 buah pesawat tersebut namun salah sebuah daripadanya telah musnah dalam nahas udara pada 21 Disember 2016.

Kejadian tersebut telah mengorbankan seorang juruterbang, Leftenan Kolonel Kayamboo Chellam TUDM.

Kejadian kemalangan pesawat Beechcraft yang mengorbankan juruterbangnya di Pengkalan TUDM Butterworth

“Menyentuh kejadian nahas tersebut, TUDM telah mengklasifikasikan insiden tersebut sebagai training hazard (kemalangan latihan) dan bukannya isu teknikal,

“TUDM telah membuat kajian dan penambahbaikan latihan sedia ada bagi menggelakkan sebarang kejadian sama berlaku,

“Penambahbaikan telah dimasukkan dalam prosedur operasi pesawat yang digunakan sehingga hari ini,” jelasnya lagi.

Program CAP55 telah diperkenalkan pada tahun 2018 dan menggariskan rancangan pembangunan jangka panjang TUDM sehingga tahun 2055.

Melalui rancangan tersebut, TUDM telah bercadang untuk membentuk satu skuadron pesawat MPA.

sumber : airtimes.my


KOS SENGGARAAN PESAWAT LANJUT USIA ADALAH TINGGI - MENTERI PERTAHANAN

youtube dari Airtimes.my

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menegaskan usia pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang lama merupakan antara punca kos senggaraan pesawat menjadi tinggi.

“Keperluan alat ganti yang lebih mahal dan penglibatan kepakaran luar negara dalam melaksanakan kerja senggaraan (MRO) adalah memerlukan kewangan yang banyak,

“Selain itu, umur pesawat yang agak lanjut punca kos senggaraan tinggi,” jelas Menteri Pertahanan ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat.

Menyentuh isu belanjawan untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh Wan Hassan Mohd Ramli  (Dungun) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Ismail Sabri menjelaskan belanjawan yang diterima adalah lebih kecil berbanding yang dipohon.

“Pihak kementerian Pertahanan telah memohon sebanyak RM 368.842 juta. Namun kita telah diberikan sebanyak RM 203.7 juta berserta peruntukan tambahan sebanyak RM 30 juta,

“Oleh itu, defisit antara pemohonan dan peruntukan yang diterima adalah sebanyak RM 135.142 juta,” ujarnya. 

sumber : airtimes.my