|
Kapal selam tentera laut Argentina A.R.A San Juan yang hilang dilautan Atlantik selatan |
BUENOS AIRES -
Pasukan tentera laut Argentina mempergiat mencari sebuah kapal selam
yang membawa 44 anak kapal selepas dilaporkan hilang di lautan Atlantik
Selatan.
Pasukan tentera laut berkata, pihaknya gagal menghubungi kapal selam itu, ARA San Juan dalam tempoh 48 jam lalu.
“Kami gagal mencarinya menerusi
komunikasi radar atau visual dengan kapal selam berkenaan,” kata
jurucakap tentera laut, Enrique Balbi pada sidang akhbar di sini
kelmarin.
Kali terakhir ARA San Juan dapat
dihubungi oleh tentera laut ialah pada awal pagi Rabu lalu menyebabkan
pihak berkuasa melancarkan operasi mencari melalui udara dan laut yang
membabitkan sebuah kapal pemusnah dan dua kapal perang kecil.
Menurut Balbi, pencarian awal terhalang akibat cuaca buruk selain operasi dilakukan pada waktu malam di kawasan operasi.
Kapal itu dipercayai tidak
mengaktifkan suar kecemasannya selain pasukan berkenaan turut menafikan
beberapa laporan media yang mengatakan kemungkinan berlaku kebakaran.
“Saya tidak mahu membesarkan isu ini.
Kami kini cuma berhadapan dengan masalah komunikasi, jadi kami tidak
tahu apa yang berlaku sebenarnya.
“Ia mungkin akibat masalah bateri
sekali gus menyebabkan masalah bekalan elektrik,” katanya sambil
menambah bahawa kapal itu akan timbul di permukaan jika mengalami
masalah bekalan elektrik.
Kapal selam elektrik yang menggunakan
diesel, TR-1700 itu dalam perjalanan pulang dari bandar Ushuaia menuju
ke pangkalan Mar del Plate. Kapal berkenaan dikatakan telah menghabiskan
tiga hari perjalanan sebelum pulang semula ke pangkalan itu.
Kapal sepanjang 13 meter dan selebar 7
meter itu dibina oleh syarikat Jerman, Thyssen Nordseewerke dan
dilancarkan pada tahun 1983.
Kapal berkenaan menjalani pembaikan
semula antara tahun 2007 dan 2014 bagi memperluaskan kegunaannya supaya
dapat digunakan kira-kira 30 tahun lagi.
Sementara itu, Amerika Syarikat,
Britain dan Chile telah menawarkan sokongan logistik dan pertukaran
maklumat dalam operasi pencarian, kata Kementerian Luar Argentina. – AFP