Tuesday, July 24, 2018

KD MUTIARA TLDM DI LUCUT TAULIAH

KD Mutiara - no penant 255

LUMUT 20 Julai: Kapal Diraja (KD) Mutiara mengakhiri perkhidmatan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), hari ini, selepas 41 tahun menabur bakti bersama pasukan keselamatan itu.

Upacara pelucutan tauliah kapal itu disempurnakan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin di Tambatan Pangkalan TLDM di sini.
Majlis itu dihadiri lebih 300 anggota dan pegawai TLDM serta 11 bekas pegawai memerintah kapal berkenaan.
 
Dengan pelucutan tauliah itu, kapal berkenaan dikeluarkan daripada inventori Skuadron Hidrografi Ke-36 TLDM.
 
KD Mutiara yang dibina pada akhir 1975, dilancarkan pada 13 November 1976 dengan dilengkapi teknologi bagi melaksanakan operasi di kawasan tropika; menjalankan operasi dan pengukuran luar pantai serta kajian oseanografi.
 
Sepanjang perkhidmatan, kapal hidrografi itu merekodkan pelayaran sejauh 220,000 kilometer (km) bersamaan enam kali mengelilingi dunia dengan 146 Arahan Hidrografi merangkumi keluasan pengukuran seluas 68,598 kilometer persegi perairan negara berjaya dilaksanakan.

Selain melaksanakan tugas teras kapal hidrografi, KD Mutiara juga ditugaskan dalam operasi mencari dan mengesan pesawat MH370 di Lautan Hindi yang hilang sejak 8 Mac 2014.

Pada 2 November 2014, kapal itu turut terbabit dalam operasi mencari dan mengesan Kapal Tunda YTC M5 yang karam dan berjaya mengesan kedudukan bangkai kapal itu yang berada pada kedalaman 29 meter, kira-kira 9.2 batu nautika dari Tanjung Gelang, Kuantan.
 
Majlis perlucutan tauliah kapal Hidrografi KD Mutiara : foto Harian Metro

Bercakap pada sidang media selepas majlis itu, Ahmad Kamarulzaman berkata, penamatan perkhidmatan kapal itu dilakukan secara rasmi dalam upacara penuh istiadat pelucutan tauliah.
"Ini sesuatu yang kita laksanakan bukan saja dalam TLDM, bahkan semua tentera laut di dunia apabila kapal yang sudah tamat tempoh, dilucutkan tauliah dalam satu istiadat istimewa berdasarkan perkhidmatan kepada negara.

"Ia juga satu upacara yang nostalgik, sedih apatah lagi kehadiran bekas pegawai pemerintah dan warga kapal turut merasai bersama apabila kapal ini ditamatkan tauliah," katanya.

Ahmad Kamaruzaman berkata, tempoh perkhidmatan kapal berkenaan selama 41 tahun adalah satu jangka masa yang panjang buat setengah negara maju.

"Di sesetengah negara maju, kapal mereka hanya berkhidmat selama 20 tahun tetapi negara kita berdasarkan kepada kemampuan yang terhad, kita terpaksa terus beroperasi dan menjalankan tugas dan fungsi walaupun dalam konteks pengukuran hidrografi.

"Berikutan kos penyelenggaraan terlalu tinggi, secara tidak langsung dengan pelucutan ini, ia dapat memberi penjimatan besar kepada negara tanpa menjejaskan sebarang fungsi dan peranan kita," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada bekas pemerintah dan anak kapal yang menjaga kapal berkenaan dengan baik.

"Saya bangga kerana keadaan kapal masih lagi gah dan inilah budaya selenggara yang diterapkan dalam TLDM, sekali gus memberi mesej bahawa kita sentiasa menjaga aset kerajaan dengan baik," katanya.

Ahmad Kamaruzaman berkata, KD Mutiara tidak akan dijadikan muzium tetapi akan mengambil kira segala usaha yang terbaik, termasuk ada beberapa pihak yang berminat untuk mengambil alih kapal berkenaan.
 
sumber : Berita Harian

No comments: