Sunday, May 12, 2019

LATIHAN OSTEX 2019, UJI KESIAGAAN ASET TLDM

Latihan OSTEX 2019 oleh TLDM (foto dari airtimes)

KUANTAN, 11 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengadakan latihan Operational Sea Training Exercise (OSTEX) kali ke-6 di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), Pantai Timur Semenanjung yang melibatkan aset-aset armada di bawah  Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1) dilaksanakan dengan jayanya bagi meningkatkan kompetensi warga Armada dan menguji tahap kesiagaan aset.

Dalam satu kenyataan, TLDM berkata latihan OSTEX 6/19 yang bermula dari 8 hingga 10 Mei lepas bertujuan untuk melaksanakan latihan integarasi di Kawasan Operasi Maritim dengan objektif untuk meningkatkan tahap kompetensi warga Armada dan menguji tahap kesiagaan aset-aset di MAWILLA 1.

“Selain itu, ia juga sebagai persiapan bagi menghadapi eksesais terbesar TLDM iaitu EKS KERISMAS dan EKS TAMING SARI yang dirancang akan dilaksanakan pada tahun ini.

“Latihan tiga hari itu melibatkan lima buah aset TLDM iaitu KD Pahang, KD Laksamana Muhammad Amin, KD Laksamana Tun Pusmah, KD Perdana dan sebuah helikopter Fennec.

“Siri latihan yang telah dilaksanakan sepanjang pelayaran OSTEX ini meliputi taktikal peperangan, menggeledah, pendaratan helikopter di geladak kapal, mencegah kebanjiran dan melawan api, pemindahan di laut, menyelamatkan orang jatuh laut, manuvra taktis dan evolusi ilmu kelautan”, katanya.

Pegawai Memerintah KD Pahang, Komander Mohamed Khairun Zakaria yang merupakan Komander Gugus Tugas bagi OSTEX 6/19 berkata siri kali ini terdapat kelainan dengan penglibatan enam pegawai dan anggota dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang ditumpangkan di setiap kapal TLDM telah menunjukkan kolaborasi erat antara agensi dalam latihan menggeledah bot-bot nelayan dilakukan secara bersama.

“Pelaksanaan rondaan secara berkala dan penguatkuasaan undang-undang yang berterusan oleh TLDM dan agensi-agensi maritim yang lain telah berjaya memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Hal ini dapat terbukti dengan pengurangan secara mendadak kes-kes pencerobohan bot-bot nelayan asing di dalam perairan negara buat ketika ini”, kata Mohamed Khairun.

Menurut beliau lagi, TLDM sebagai salah satu obligasi tugas di dalam memelihara kedaulatan negara akan berterusan memperagakan kehadiran aset-aset di perairan Pantai Timur bagi mewujudkan elemen cegah rintang dalam menangani isu-isu keselamatan di dalam perairan negara.




sumber : Airtimes.my


No comments: