Tuesday, July 7, 2020

FILIPINA DAN INDONESIA DALAM PROSES BUAT PEROLEHAN JET PEJUANG BARU

F-16 Viper block 70

Filipina dan Indonesia dilaporkan dalam proses untuk membuat perolehan jet pejuang baharu bagi memantapkan pasukan tentera udara masing-masing.

Jet pejuang Lockheed Martin F-16 Viper Block 70 dilapor antara menjadi pilihan dua negara terbabit dengan Amerika Syarikat bakal bersetuju menjual jet pejuang secara "Foreign Military Sales" (FMS).

Bagaimanapun, pakej FMS hanya melibatkan pesawat tidak termasuk sistem persenjataan, pod-pod tambahan, sistem "datalink" serta servis lepas jualan.

Menurut beberapa sumber, kedua-dua negara berkenaan sedang mengusahakan mendapatkan pinjaman dari bank tempatan dan luar negara bagi mendapatkan jaminan perolehan jet pejuang.

Indonesia kini dilaporkan memerlukan jet pejuang baharu bagi mengantikan jet pejuang F-5E/F Tiger II yang telah ditamatkan perkhidmatan.

F5E-Tiger II dioperasikan oleh Indonesia sebelum ditamatkan khidmatnya

Pada awalnya, Indonesia telah menandatangani kontrak perolehan 11 buah Su-35 dari Russia pada 2018 namun ia tidak dapat diteruskan berikutan kegagalan mencapai persetujuan mengenai cara pembayaran.

Indonesia sebelum ini menyatakan minat terhadap F-16 Viper namun hasrat mereka terbantut disebabkan kos yang mahal. Dijangka Indonesia mahu mendapatkan 24 buah jet pejuang berkenaan.

Filipina pula kali terakhir mengoperasikan F-5A/B pada 2003 amat memerlukan jet pejuang. Sejak awal 1990an, beberapa pengeluar telah menawarkan jet pejuang kepada Filipina antaranya MiG-29, Su-27 & Su-30 dari Russia, Kfir dari Israel, F-16 dari Amerika Syarikat, Mirage dari Perancis dan Gripen dari Sweden.

Tentera Udara Filipina kini hanya mengoperasikan jet pejuang ringan FA-50 dari Korea Selatan dan S.211 dari Itali.

Jet latihan S211 milik tentera udara Filipina

Namun ia tidak berjalan lancar berikutan kekangan kewangan. Pada 2018, program perolehan jet pejuang telah diperkenalkan oleh Filipina dikenali "Multi-Role Fighter" (MRF) untuk mendapatkan sekurangnya 12 buah jet pejuang.

Selain itu, pengeluar jet pejuang Sweden, Saab dilaporkan turut menawarkan jet pejuang Gripen keluaran mereka kepada Indonesia dan Filipina.

Saab dilaporkan sedia menawarkan varian terbaharu iaitu Gripen E/F atau lebih dikenali Gripen NG. Sweden dilaporkan sedia menawarkan pinjaman mudah dari institusi kewangan di Sweden untuk pembelian jet pejuang Gripen.

Selain itu, Sweden sedia menawarkan Gripen C/D yang dinaiktaraf ketahap MS20 setaraf Gripen NG yang mana berada dalam stok simpanan Tentera Udara Sweden.

Malaysia turut ditawarkan Gripen D dua tempat duduk sebagai "Conversion Trainer" untuk program Pesawat Tempur Ringan (LCA). Namun ia hanya meliputi aspek latihan lanjutan sahaja tidak latihan asas yang mana Tentera Udara DiRaja Malaysia memerlukan kedua-duanya untuk tujuan latihan untuk juruterbang jet pejuang.

Thailand turut mengoperasikan 12 buah Gripen C/D diperolehi bermula 2011. Thailand juga dijangka mahu mendapatkan 24 buah Pesawat Tempur Pelbagai Guna (MRCA) dalam tempoh 2023 sehingga 2033 bagi mengantikan jet pejuang F-5E/F dan F-16A/B.

Jika perolehan jet pejuang Indonesia dan Filipina berlaku, dijangka kontrak perolehan akan ditandatangani pada 2022 dengan penghantaran dijangka berlaku pada 2024 untuk kedua-dua negara.

sumber -Malaysia Defense Review-


1 comment:

michelle said...

ayo segera bergabung dengan kami hanya dengan minimal deposit 20.000
dapatkan bonus rollingan dana refferal ditunggu apa lagi
segera bergabung dengan kami di i*o*n*n*q*q