Tuesday, August 25, 2020

TIADA DENDA PADA KONTRAKTOR LEWAT BEKAL KELENGKAPAN MINDEF

Starstreak LML-NG, Malbatt APC & LCS Maharajalela

PUTRAJAYA - Sejumlah RM116.54 juta denda lewat (liquidated damages) tidak dikenakan Kementerian Pertahanan (Mindef) terhadap syarikat atas kelewatan penyerahan Kapal Peronda Generasi Kedua (Kapal LCS 1).

Perkara itu didedahkan Ketua Audit Negara (LKAN), Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid pada pembentangan Laporan LKAN Tahun 2019 Siri 1, di sini hari ini.
Menurutnya, jumlah bayaran itu bagi kelewatan penyerahan Kapal LCS 1 selama 245 hari dari tarikh sepatutnya diserahkan iaitu April 2019.

"Jabatan Audit Negara (JAN) juga mendapati bayaran kemajuan yang dibuat terhadap Kapal LCS 1 melebihi kemajuan kerja sebenar iaitu 21.1 peratus," katanya.

Menurutnya, Mindef juga didapati tidak mengenakan denda lewat berjumlah RM15.04 juta terhadap syarikat atas pembekalan pelancar Lightweight Multiple Launcher- New Generation (LML-NG) antara 28 hingga 171 hari dari tarikh sepatutnya diserahkan iaitu September 2018. "Perolehan dibuat untuk 24 LML,-NG, tetapi didapati 20 buah yang lewat diserahkan," katanya. 

Beliau berkata, JAN juga mendapati, sembilan kenderaan Armoured Personnel Carrier (APC) yang tidak menepati spesifikasi ditetapkan pihak United Nations (UN) sehingga menyebabkan bayaran balik yang diterima terkurang RM2.22 juta.

"APC ini untuk kegunaan Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan.
"Berdasarkan spesifikasi, APC perlu mempunyai sistem senjata 'integrated' yang membolehkan anggota Malbatt keselamatan melepaskan tembakan dari dalam kenderaan.

"Sebaliknya apa yang diterima, anggota MALBATT terpaksa mengeluarkan kepala dari APC untuk melepaskan tembakan," katanya.Nik Azman berkata, ketidakpatuhan terhadap spesifikasi itu boleh merisikokan keselamatan anggota MALBATT.

Justeru katanya, JAN mengesyorkan Mindef menguatkuasakan klausa denda lewat terhadap syarikat atas kelewatan penyerahan dan pembekalan dengan membuat potongan daripada bayaran kemajuan seperti diperuntukkan dalam kontrak.

"Mindef perlu memastikan penyediaan kontrak secara beli semula perlu mengambil kira spesifikasi atau keperluan penggunaan berkaitan selain mengenakan tindakan sewajarnya terhadap syarikat atau pegawai yang tidak mematuhi kehendak dan arahan jabatan seperti tertakluk dalam undang, peraturan kewangan, kontrak serta standard prosedur operasi," katanya.

sumber: Sinar Harian


Sunday, August 23, 2020

KOREA SELATAN AKAN BANGUNKAN KAPAL PENGANGKUT PESAWAT BARU

 rekabentuk kapal pengangkut pesawat ringan ROK LPX-II

SEOUL: Kementerian pertahanan Korea Selatan akan meneruskan pembinaan kapal pengangkut pesawat ringan 30,000 tan yang mampu menyokong pesawat stealth F-35B dan juga untuk membangunkan kapal selam seberat 4.000 tan, dipersenjatakan dengan peluru berpandu balistik bawah laut untuk Angkatan Laut ROK .

Menurut pihak media Korea, jenis enjin tidak dinyatakan tetapi kapal selam baru ini akan dikuasakan dengan reaktor nuklear. 

Pelan pertahanan 2021-2025 baru yang dilancarkan oleh kementerian pertahanan yang menggambarkan rancangan pemodenan kekuatan Angkatan Laut Republik Korea termasuk kapal induk ringan. 

Menjelang akhir ini, angkatan laut Korea Selatan telah melancarkan projek untuk melihat apakah projek LPX-II berdasarkan kapal pendaratan kelas Dokdo dapat direkabentuk semula untuk mengoperasikan F-35B, landasan pendek dan pendaratan menegak (STOVL) varian F-35A Lightning II.

Kementerian dijadualkan untuk memulakan reka bentuk dasar kapal atas dari tahun depan dan menyelesaikannya pada awal 2030. Menurut Kementerian Pertahanan Nasional 2021-2025 Pelan Pengambilan Jangka Menengah yang diterbitkan 10 Ogos, kapal induk akan menjadi kapal induk armada Tentera Laut ROK.

Korea Selatan telah memesan 40 varian F-35A Conventional Take Off and Landing (CTOL) dari pesawat tempur generasi kelima Lighting II, dengan penghantaran akan diselesaikan pada tahun 2022. 

Pesawat F-35B untuk kapal induk akan dikendalikan oleh Angkatan Udara ROK dan akan diperoleh secara berasingan daripada 20 tambahan F-35A yang dirancang untuk dibeli. Akhirnya, ROKAF akan mengendalikan sejumlah 80 pesawat F-35 (60 F-35A dan 20 F-35B).

Selain Korea Selatan, Jepun dan Singapura juga secara aktif sedang mencari platform pendaratan pesawat F35B masing-masing berdasarkan kapal penyerang amfibi atau kapal Landing Dock.

sumber : adj.com.my

Sunday, August 16, 2020

USIA HAMPIR 30 TAHUN PESAWAT BEECHCRAFT DITAMATKAN KHIDMATNYA PADA 2024


Pesawat Beechcraft 200T milik TUDM

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini menjelaskan rancangan penamatan khidmat pesawat Beechcraft Super King Air B200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah pada tahun 2024.

“Ini adalah selari dengan Dasar Perintah Am Angkatan Tentera,” kata Ismail Sabri semasa Pengulungan Bahas.

Menurut beliau, peranan pesawat tersebut akan digantikan dengan Pesawat Rondaan Maritim (Maritime Patrol Aircraft, MPA) yang lebih berkeupayaan. Pengantian pesawat tersebut adalah selari dengan pelan Capability 55 (CAP 55) TUDM.

“Perolehan MPA telah diluluskan oleh kerajaan. Pesawat tersebut adalah lebih berkemampuan untuk melakukan rondaan maritim secara menyeluruh dan berkesan,” ujarnya.

Ismail Sabri menambah, Beechcraft telah berkhidmat dalam TUDM semenjak tahun 1994 dengan melakukan rondaan maritim secara terhad di Zon Ekonomi Esklusif negara.

“Ini kerana had jangkauan, jarak, saiz kabin, kuantiti platform yang terhad serta sistem pengawasan terbatas,” jelasnya.

Sebelum ini, TUDM mengoperasikan sebanyak 4 buah pesawat tersebut namun salah sebuah daripadanya telah musnah dalam nahas udara pada 21 Disember 2016.

Kejadian tersebut telah mengorbankan seorang juruterbang, Leftenan Kolonel Kayamboo Chellam TUDM.

Kejadian kemalangan pesawat Beechcraft yang mengorbankan juruterbangnya di Pengkalan TUDM Butterworth

“Menyentuh kejadian nahas tersebut, TUDM telah mengklasifikasikan insiden tersebut sebagai training hazard (kemalangan latihan) dan bukannya isu teknikal,

“TUDM telah membuat kajian dan penambahbaikan latihan sedia ada bagi menggelakkan sebarang kejadian sama berlaku,

“Penambahbaikan telah dimasukkan dalam prosedur operasi pesawat yang digunakan sehingga hari ini,” jelasnya lagi.

Program CAP55 telah diperkenalkan pada tahun 2018 dan menggariskan rancangan pembangunan jangka panjang TUDM sehingga tahun 2055.

Melalui rancangan tersebut, TUDM telah bercadang untuk membentuk satu skuadron pesawat MPA.

sumber : airtimes.my


KOS SENGGARAAN PESAWAT LANJUT USIA ADALAH TINGGI - MENTERI PERTAHANAN

youtube dari Airtimes.my

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menegaskan usia pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang lama merupakan antara punca kos senggaraan pesawat menjadi tinggi.

“Keperluan alat ganti yang lebih mahal dan penglibatan kepakaran luar negara dalam melaksanakan kerja senggaraan (MRO) adalah memerlukan kewangan yang banyak,

“Selain itu, umur pesawat yang agak lanjut punca kos senggaraan tinggi,” jelas Menteri Pertahanan ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat.

Menyentuh isu belanjawan untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh Wan Hassan Mohd Ramli  (Dungun) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Ismail Sabri menjelaskan belanjawan yang diterima adalah lebih kecil berbanding yang dipohon.

“Pihak kementerian Pertahanan telah memohon sebanyak RM 368.842 juta. Namun kita telah diberikan sebanyak RM 203.7 juta berserta peruntukan tambahan sebanyak RM 30 juta,

“Oleh itu, defisit antara pemohonan dan peruntukan yang diterima adalah sebanyak RM 135.142 juta,” ujarnya. 

sumber : airtimes.my

Wednesday, July 29, 2020

DUA RADAR PEMANTAUAN (RSS) DIPASANG DI JOHOR DAN LANGKAWI


JOHOR BAHRU, 27 Julai – Dua lagi radar Remote Sensor Site (RSS) akan dipasang dalam masa terdekat di Pangkalan Maritim Abu Bakar (ABMB) di Batuan Tengah dan Langkawi, bagi memperkukuh pemantauan dan menjamin keselamatan perairan negara.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata pemasangan terbabit dilakukan menerusi fasa pertama sekali gus sebagai tambahan kepada 11 RSS sedia ada ketika ini, di seluruh negara.

“Kami (APMM) akan tambah di ABMB yang menjadikan RSS ke-12 kerana terdapat sektor ‘titik buta’ di kawasan berkenan yang tidak dapat dijangkau radar ketika ini. Dalam masa sama, kami telah buat kajian di Langkawi untuk menambah satu lagi radar sama ada di Pulau Singa Besar atau Tanjung Cincin,” katanya.

Mohd Zubil berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan nota serah tugas Pengarah Maritim Negeri Johor oleh Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid yang akan bertukar ke Putrajaya kepada Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, di sini hari ini.

Beliau berkata bagi fasa kedua, pemasangan radar akan dilakukan di perairan pantai timur yang meliputi dari perairan Pulau Tioman hingga ke utara manakala fasa ketiga meliputi perairan Sarawak.

Katanya kawasan perairan Sabah pula kini sudah dilengkapi radar yang mampu mengawal keseluruhan negeri itu.

“Apabila kesemua radar ini sudah siap dipasang kelak, maka, ia mampu memantau dan mengawal seluruh perairan negara,” katanya dengan menambah ketiga-tiga fasa pemasangan radar terbabit mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun untuk siap sepenuhnya.

Menurut Mohd Zubil, kerajaan dalam masa sama, sudah meluluskan peruntukan berjumlah RM125 juta untuk menaik taraf 11 radar sedia ada itu berikutan sistem yang lama selain tidak mempunyai alat ganti.

Pengkalan maritim Abu Bakar batuan tengah akan dipasang radar RSS

Dalam perkembangan lain, Mohd Zubil turut memberi amaran kepada para pegawai dan anggota APMM khususnya di negeri ini supaya tidak bersekongkol dengan kegiatan penyeludupan migran dan barangan larangan, memandangkan kedudukan Johor yang berdekatan dengan Pulau Batam, Bintan dan Karimun, Indonesia.

Beliau berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dengan kegiatan tersebut.

“Johor kawasan ‘panas’ kemasukan pendatang tanpa izin dan jenayah lain seperti penyeludupan dadah.

“Syukur alhamdulillah, belum ada anggota kami yang dilaporkan (bersekongkol). Risikan kami akan kenal pasti ada atau tidak anggota kami terlibat bersekongkol melakukan kesalahan. Walaupun kami hanya sekadar dengar cakap…kami akan panggil anggota itu, temu bual dia dan kami sekat dari awal,” katanya. – Bernama

sumber: airtime.my


Tuesday, July 28, 2020

STEALTH BOMBER - B2 "SPIRIT"

pesawat pengebom halimunan B2 Spirit

Bernilai US$2 billion sebuah, Tentera Udara Amerika Syarikat memiliki 21 buah pesawat pengebom strategik ini.

Berkemampuan beroperasi lebih 40 jam berterusan (dengan bantuan in flight refuelling), pesawat ini mampu ke mana-mana lokasi di dunia daripada pengkalannya di Amerika Syarikat.

Dalam satu misi pengeboman, ia terbang ke Afghanistan selama 44 jam dengan bantuan pesawat tangki minyak. Sebab itulah, pesawat yang memiliki rekabentuk "Flying Wing" ini memiliki bilik air, tempat rehat, kemudahan panaskan makanan dan lain-lain.

Pesawat ini adalah very high maintenance dan negara seperti Amerika Syarikat yang ada bajet pertahanan yang besar sahaja boleh memilikinya. Contohnya, hangar untuk pesawat B-2 Spirit ini must be fully air-cond untuk menjaga special coating pesawat itu yang bukan sahaja rahsia tetapi amat mahal untuk di maintain. Itu tak masuk lagi dia punya electronics, avionics dan maciam-maciam lagi. Awek high maintenance memang pening kepala, tapi servis memang tip-top.

Krew hanya dua orang dan pemilihan untuk menjadi krew B-2 Spirit adalah amat ketat. (katanya perkara paling penting adalah aspek personality dan compatibility) Lebih daripada 40 jam di ruang udara dengan ruang terhad, stress dan macam-macam lagi memerlukan daya ketahanan juruterbang yang amat tinggi.

Misi pertama B-2 Spirit adalah misi di Kosovo pada 1999. Berkemampuan membawa senjata konvensional dan nuklear, pesawat B-2 Spirit adalah satu daripada tiga pesawat pengebom strategik Tentera Udara Amerika Syarikat. Dua lagi adalah, B-52 dan B-1 Lancer.

Walaupun canggih, tetapi Amerika Syarikat telah pun menyediakan pengganti kepada B-2 Spirit iaitu B-21 "Raider" yang dijangka membuat penampilan sulungnya pada 2025.

sumber : Defence Security Asia


Sunday, July 19, 2020

MISIL CAMM KELUARAN MBDA

Misil CAMM dari MBDA

Common Anti-Air Modular Missile (CAMM) merupakan siri misil atau perluru berpandu keluaran MBDA. Ia dibangunkan sebagai misil pertahanan udara untuk mengatasi serangan misil kruiser berkelajuan tinggi atau sasaran udara seperti pesawat dan pesawat tanpa pemandu (UAV).

CAMM telah dikembangkan variannya untuk platform laut, darat dan udara. United Kingdom (UK) menjadi pengguna tunggal ketika ini.

Tentera Laut United Kingdom (RN) mengunakan varian laut CAMM yang dikenali Sea Ceptor. Ia telah digunakan oleh kapal frigat Type 23 bagi mengantikan VL Sea Wolf menerusi platform "Vertical Launching System" (VLS) sedia ada pada kapal berkenaan.

UK telah memulakan pembangunan Sea Ceptor untuk RN bermula 2012 dengan kos £483 juta. Pada 2017, misil Sea Ceptor telah diuji secara rasmi pada Frigat Type 23, HMS Argyl. Pada 2018, Sea Ceptor secara rasmi digunakan RN.

Sea Ceptor mempunyai jarak jangkauan maksimum 25km lebih baik daripada VL Sea Wolf yang hanya mempunyai jarak maksimum 10km sahaja.

UK dijangka bakal mengunakan Sea Ceptor pada Kapal Frigat Type 26 "Global Combat Ship" (GCS) yang dijangka kapal pertama memasuki perkhidmatan RN pada 2026.

Misil sea wolf dilancar secara menegak

Brazil juga memilih Sea Ceptor pada Kapal Frigat Tamandare dimana kapal pertama bakal memasuki perkhidmatan Tentera Laut Brazil pada 2025.

Chile dan New Zealand dilaporkan memilih Sea Ceptor bagi mengantikan misi sedia ada pada kapal frigat masing-masing.

Chile mengantikan VL Sea Wolf pada Frigat Type 23 milik Tentera Laut Chile manakala New Zealand mengantikan Sea Sparrow pada Frigat Kelas Anzac milik Tentera Laut DiRaja New Zealand.

Itali turut membangunkan CAMM pada 2013 dengan varian lebih baik serta jarak jangkauan mencecah 45km. Ia dikenali CAMM - Extended Range atau CAMM-ER bertujuann mengantikan Aster 15 dan Aspide 2000.

UK turut membangunkan varian darat atau Sistem Pertahanan Udara diasaskan dari CAMM dikenali Land Ceptor untuk mengantikan misil Rapier digunakan Tentera Darat British.

Pada 2018, Sistem ini diintergrasikan dengan radar dan pos kawalan yang dikenali Sky Sabre dan digunakan pasukan Rejimen Artileri DiRaja, Tentera Darat British.

Sky Sabre terdiri dari kenderaan taktikal MAN SV HX60 8x8 dimana 12 tiub pelancar CAMM dipasang pada kenderaan terbabit. Ia turut dilengkapi radar Saab Giraffe Agile-Multi Beam (ABM) serta sut elektronik dari Rafael.

Sky Sabre boleh melancarkan misil CAMM (jarak jangkauan 25km) dan CAMM-ER (jarak jangkauan 45km).

Radar Giraffe ABM mampu mengesan sasaran pada jarak 120km dalam masa singkat dengan pengawasan 360°.

Rafael membekalkan Modular, Integrated C4I Air & Missile Defense System (MIC4AD) untuk Pengurusan dan Perintah Sistem Pertempuran, Kawalan,Komunikasi, Perkomputeran serta Perisikan (BMC4I) sistem intergrasi Sky Sabre.

Untuk pasaran eksport, Land Ceptor dikenali "Enhanced Modular Air Defence Solutions" (EMADS) diperkenalkan pada 2019 mengantikan Sistem Pertahanan Udara Jernas (varian eksport Rapier) dan SPADA (mengunakan misil Aspide).

Selain itu, Brazil juga membangunkan Sistem Pertahanan Udara AV-MMA atau AVibras Medium Altitude Missile. Ia akan mengunakan teknologi dan platform Sistem Pelancar Roket Berganda (MRLS) Astros 2020. Dilaporkan Kor Marin Brazil dijangka menguji sistem ini sebagai Artileri Pertahanan Udara.

KD Lekiu antara kapal perang yang menggunakan misil Sea Wolf dalam sistem pertahanan diri

MBDA UK dilaporkan mensasarkan Malaysia bagi mengantikan VL Sea Wolf dan Sistem Pertahanan Udara Jernas dengan Sea Ceptor dan EMADS.

Tentera Laut DiRaja Malaysia mengoperasikan VL Sea Wolf pada Frigat Kelas Lekiu yang diasaskan dari rekaan BAE Frigate 2000 (dahulu Yarrow) sejak 1999.

Tentera Darat Malaysia mengoperasikan Sistem Pertahanan Udara Jernas yang merupakan varian eksport Sistem Pertahanan Udara Rapier yang digunakan Tentera Darat British. Ia digunakan sejak 2006.

MBDA dan MoD UK

sumber -Malaysia Defense Review-

Tuesday, July 7, 2020

FILIPINA DAN INDONESIA DALAM PROSES BUAT PEROLEHAN JET PEJUANG BARU

F-16 Viper block 70

Filipina dan Indonesia dilaporkan dalam proses untuk membuat perolehan jet pejuang baharu bagi memantapkan pasukan tentera udara masing-masing.

Jet pejuang Lockheed Martin F-16 Viper Block 70 dilapor antara menjadi pilihan dua negara terbabit dengan Amerika Syarikat bakal bersetuju menjual jet pejuang secara "Foreign Military Sales" (FMS).

Bagaimanapun, pakej FMS hanya melibatkan pesawat tidak termasuk sistem persenjataan, pod-pod tambahan, sistem "datalink" serta servis lepas jualan.

Menurut beberapa sumber, kedua-dua negara berkenaan sedang mengusahakan mendapatkan pinjaman dari bank tempatan dan luar negara bagi mendapatkan jaminan perolehan jet pejuang.

Indonesia kini dilaporkan memerlukan jet pejuang baharu bagi mengantikan jet pejuang F-5E/F Tiger II yang telah ditamatkan perkhidmatan.

F5E-Tiger II dioperasikan oleh Indonesia sebelum ditamatkan khidmatnya

Pada awalnya, Indonesia telah menandatangani kontrak perolehan 11 buah Su-35 dari Russia pada 2018 namun ia tidak dapat diteruskan berikutan kegagalan mencapai persetujuan mengenai cara pembayaran.

Indonesia sebelum ini menyatakan minat terhadap F-16 Viper namun hasrat mereka terbantut disebabkan kos yang mahal. Dijangka Indonesia mahu mendapatkan 24 buah jet pejuang berkenaan.

Filipina pula kali terakhir mengoperasikan F-5A/B pada 2003 amat memerlukan jet pejuang. Sejak awal 1990an, beberapa pengeluar telah menawarkan jet pejuang kepada Filipina antaranya MiG-29, Su-27 & Su-30 dari Russia, Kfir dari Israel, F-16 dari Amerika Syarikat, Mirage dari Perancis dan Gripen dari Sweden.

Tentera Udara Filipina kini hanya mengoperasikan jet pejuang ringan FA-50 dari Korea Selatan dan S.211 dari Itali.

Jet latihan S211 milik tentera udara Filipina

Namun ia tidak berjalan lancar berikutan kekangan kewangan. Pada 2018, program perolehan jet pejuang telah diperkenalkan oleh Filipina dikenali "Multi-Role Fighter" (MRF) untuk mendapatkan sekurangnya 12 buah jet pejuang.

Selain itu, pengeluar jet pejuang Sweden, Saab dilaporkan turut menawarkan jet pejuang Gripen keluaran mereka kepada Indonesia dan Filipina.

Saab dilaporkan sedia menawarkan varian terbaharu iaitu Gripen E/F atau lebih dikenali Gripen NG. Sweden dilaporkan sedia menawarkan pinjaman mudah dari institusi kewangan di Sweden untuk pembelian jet pejuang Gripen.

Selain itu, Sweden sedia menawarkan Gripen C/D yang dinaiktaraf ketahap MS20 setaraf Gripen NG yang mana berada dalam stok simpanan Tentera Udara Sweden.

Malaysia turut ditawarkan Gripen D dua tempat duduk sebagai "Conversion Trainer" untuk program Pesawat Tempur Ringan (LCA). Namun ia hanya meliputi aspek latihan lanjutan sahaja tidak latihan asas yang mana Tentera Udara DiRaja Malaysia memerlukan kedua-duanya untuk tujuan latihan untuk juruterbang jet pejuang.

Thailand turut mengoperasikan 12 buah Gripen C/D diperolehi bermula 2011. Thailand juga dijangka mahu mendapatkan 24 buah Pesawat Tempur Pelbagai Guna (MRCA) dalam tempoh 2023 sehingga 2033 bagi mengantikan jet pejuang F-5E/F dan F-16A/B.

Jika perolehan jet pejuang Indonesia dan Filipina berlaku, dijangka kontrak perolehan akan ditandatangani pada 2022 dengan penghantaran dijangka berlaku pada 2024 untuk kedua-dua negara.

sumber -Malaysia Defense Review-


Sunday, June 28, 2020

MRSS DAN PENUBUHAN PASUKAN MARIN MALAYSIA

MRSS & Kor Marin Malaysia

Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dijangka bakal membuat memperolehi 2 buah Kapal Bantuan Pelbagai Guna (MRSS) dalam tempoh masa belajawan 5 tahun negara iaitu Rancangan Malaysia ke-12 tempoh tahun 2021-2025.

Dijangka Tentera Darat Malaysia (TD) berkemungkinan bakal menubuhkan pasukan marin yang akan diserap dari pasukan Briged ke-10 PARA. Ini dikatakan hanya Brigade ini sahaja dalam atm, pasukan yang ada pengalaman dan taktik marin.

Terdapat laporan menyatakan pasukan nukleas ditubuhkan untuk penubuhan pasukan marin dibawah Divisyen ke-5 TD yang dijangka berpangkalan di Timur Sabah.

Pasukan Marin berkenaan dijangka akan mengunakan aset udara dan darat sedia ada yang digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antaranya helikopter dan kenderaan perisai.

TD telah mengoperasikan 46 buah varian amfibia AV8 Gempita 8x8 yang dikenali IFV-25. Ia mempunyai kemampuan untuk berenang dipermukaan air seperti sungai dan tasik dengan adanya 2 unit waterjet serta pelampung khas disisi kiri dan kanan untuk mengapungkan kenderaan berkenaan.

Oleh kerana AV8 Gempita 8x8 mempunyai tambahan lapisan armor, ia hanya mampu berenang dalam kelajuan 6 kmj sahaja berbanding 8 kmj tanpa lapisan armor.

Untuk berenang di laut atau pesisir pantai pastinya kenderaan perisai AV8 Gempita 8x8 perlu tambahan aksersori antaranya penghadang serta pemecah ombak dibahagian hadapan kenderaan.

Kenderaan Perisai AV8 Gempita 8x8 dioperasikan oleh 3 krew terdiri dari pemandu, Gunner dan Komander serta mampu membawa 11 orang Infantri.

AV8 Gempita 8x8 varian IFV-25 dilengkapi meriam automatik Sharpshooter FNSS 25mm (Bushmaster) dan mesigan sepaksi 7.62mm. Ia dipasang pada turret penstabil yang membolehkan ia ditembak dalam keadaan bergerak disamping sistem pandangan siang dan malam.

Helikopter mèrupakan elemen terpenting dalam pasukan marin. Dijangka ATM bakal membuat perolehan baharu untuk helikopter dalam tempoh RMK-12.

TLDM dijangka mahukan 5 buah helikopter pengangkut bersaiz medium, Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) 8 buah helikopter pengangkut dan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) 4 buah helikopter dan bakal menerima 6 buah helikopter ringan pelbagai guna MD530G.

Elemen udara penting dalam pengoperasian dan peperangan amfibia untuk mengangkut infantri, logistik serta misi menyelamat dan bantuan tembakan udara.

Dijangka Kapal MRSS mampu mengoperasikan 6 buah helikopter dalam satu-satu masa dengan 2 dek pendaratan helikopter serta hangar mampu menyimpan 4 buah helikopter.

Penubuhan Pasukan Marin telah dirancang sejak tahun 1980an namun terhalang akibat kekangan kewangan. Namun, ATM menerapkan elemen pasukan marin dan peperangan amfibia pada unit-unit dalam ATM dengan saban tahun menjalani latihan bersama dengan pasukan luar seperti Kor Marin Amerika Syarikat (USMC)

Sumber : -Malaysia Defence Review-


Tuesday, June 23, 2020

INSIDEN PERGADUHAN TENTERA INDIA DAN CHINA DI GALWAN VALLEY RAGUT NYAWA.

Peta kedudukan Galwan valley sempadan India dan China

India telah melakukan pembelian kecemasan aset ketenteraan sejurus selepas insiden pergaduhan di Galwan Valley di sempadan bersama Line of Actual Control (LAC) antara tenteranya dengan tentera China Isnin lepas.

Insiden tersebut telah meragut nyawa 20 anggota tentera India dan 40 tentera China, pergaduhan berlaku dengan menggunakan dengan senjata primitif  seperti kayu berpaku, kayu dililit dawai dan pisau yang dibawa oleh tentera China.

Dalam satu perjanjian pada 1996, India dan China bersetuju anggota tentera mereka yang bertugas di kawasan sempadan dibenarkan membawa senjata tetapi tidak boleh menggunakannya dalam kawasan 2km dari kawasan sempadan walaupun untuk berburu.

Ia adalah protokol tentera yang ketat bagi mengelak konflik bersenjata antara dua negara bermusuh itu.

senjata yang rampas ditempat pergaduhan

48 jam selepas insiden tersebut, Kementerian Pertahanan India telah membuat pembelian kecemasan terhadap 12 pesawat Sukhoi Su-30MKI dan 21 pesawat pejuang MiG-29  dari Russia.

Ini adalah pembelian mendadak bertujuan meningkatkan lagi kemampuan tentera udaranya untuk berhadapan dengan China.

Selain itu, empat buah pesawat Dassault Rafale yang pertama akan di terima oleh India pada bulan Julai ini. Maknanya, bulan depan ia akan mula mengoperasikan pesawat pejuang Omnirole itu.
Keseluruhannya, India membeli 36 pesawat pejuang Rafale daripada Perancis.

India membina sendiri 272 buah Su-30MKI secara under license dari Russia.
Pembinaan dilakukan oleh syarikat tempatan Hindustan Aeronautics Limited di kilang di Nasik, tengah India.

India memiliki tiga skuadron MiG-29 ketika ini.

Angkatan Tentera India mengoperasikan pelbagai pesawat pejuang daripada Sukhoi Su-30MKI, MiG-29, MiG-21 Bison, Dassault Rafale, Mirage 2000 dan HAL Tejas.

sumber ; Defence Security Asia


DSAR-15PC RAIFAL TEMPUR BARU TENTERA KOREA SELATAN

Raifal DSAR-15PC

Tentera elite Korea Selatan (ROK) Special Force telah memilih rifle tempur baru Dasan Machineries DSAR-15PC.

Program pengantian rifle tempur tentera elite Korea Selatan bernilai USD 3.1 Billion bagi mengantikan rifle tempur; S&T Motiv K1A dan variasi K2 yang mula digunakan sejak tahun 1981 lagi.

Rifle DSAR-15PC diumumkan sebagai pemenang program ini dan akan mula digunakan pasukan khas Black Berets.

Semua unit tentera elite tentera Korea Selatan akan menerima lengkap 15 ribu unit DSAR-15PC pada 2023. Program pembangunan rifle DSAR-15PC dan DSAR-15P dibangunkan dari rifle tempur CAR 816 dari syarikat Caracal International yang berpusat di UAE.

Rifle CAR 816 telah digunakan oleh UAE dan India. Manakala rifle CAR 816 pula dibangunkan dari gabungan rifle HK416 dan SIG516.

Ringkas data teknikal DSAR-15PC
Panjang keseluruhan : 760mm
Sistem operasi : Gas piston
Jarak tembakan efektif : 550 meter
Kaliber : 5.56x45mm Nato
Tembakan perminit : 700 sehingga 900 butir
Panjang Barrel : 292.1mm
Berat tanpa optik tambahan dan kelopak : 3kg

sumber : informasi tempur


Thursday, June 18, 2020

MALAYSIA DIJANGKA BAKAL TERIMA RADAR JARAK JAUH DARI AMERIKA


Malaysia dilihat kembali menerima bantuan kelengkapan ketenteraan dari Amerika Syarikat. 

Terbaharu Malaysia dijangka bakal menerima sistem radar pengawasan udara dan maritim jarak jauh jenis "Mobile" dari Lockheed Martin

Walaupun jenis radar tidak diberitahu MMP boleh buat educated guess radar apa yang akan di berikan dan Malaysia sudah pun bersiap sedia membina tapak radar ini sejak tahun 2019. 

Selain itu negara kita dan Indonesia bukan negara pertama terima radar ini kerana Pakistan terima radar yang sama. Desas desusnya ketiga2 set radar ini percuma. MMP tak pasti 3 biji radar ni dibahagi sama rata ke atau Indonesia terima 3 dan Malaysia terima 3. Jadi radar tersebut menurut pendapat kami ialah ialah:

TPS-77 MRR

Radar Multi-Peranan (TPS-77 MRR) direka untuk penggunaan kuasa yang sangat rendah dan merupakan versi paling mudah untuk rangkaian produk TPS-77 yang berjaya di hasilkan oleh Lockheed Martin. 

Radar berprestasi tinggi ini, boleh dikonfigurasi untuk jarak jauh atau sederhana, boleh dipasang atau diangkut dengan mudah melalui C-130, trak, kereta api atau helikopter.

Kami percaya 3 radar ini akan di operasikan untuk memantau ruang udara Laut Champa bagi memantau pencerobohan udara oleh tentera musuh. 

Sistem ini akan melengkapi Malaysian Air Defense Ground Environment Sector Operations Center III (MADGE SOC III) yang menberikan Tentera Udara Diraja Malaysia dengan peningkatan keupayaan yang ketara kepada sistem pertahanan udara bersepadu kita.

Air Defense Operations Center yang mana sistem software dan User Interface sistem ini menggunakan sistem yang sama dengan software sistem Sentry yang di gunakan oleh NORAD.

Sentry merupakan asas Battle Control System, yang digunakan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat dan Tentera Udara Kanada. Madge SOC III merupakan kesinambungan kerjasama yang panjang antara Thales Raytheon Systems dan Tentera Udara Diraja Malaysia, yang bermula sejak pemasangan arahan automatik pertama mereka dan kawalan sistem pertahanan udara Malaysia.

Kerajaan Amerika Syarikat menerusi Pentagon dijangka membiayai program perolehan ini secara Foreign Military Sales (FMS) dengan data maklumat dikeluarkan melalui laman sesawang Kerajaan Amerika Syarikat.

Objektif utama pembiayaan program perolehan ini adalah untuk memastikan negara sahabat Amerika Syarikat untuk terus selamat serta berhubung dengan Amerika Syarikat secara "Command Control Communications and Intelligence" (C3I) melalui US Joint Air Operation.

sumber : MMP & MDR


JURUTERBANG PELATIH TUDM JALANI LATIHAN DI IPTS CANADA


Tentera Udara DiRaja Malaysia dilaporkan telah menghantar sekumpulan juruterbang pelatih ke Ontario, Kanada menjalani latihan pernerbangan dengan sekolah penerbangan International Test Pilots School (ITPS).

ITPS yang berpangkalan di London, Ontorio, Kanada merupakan pusat latihan untuk penerbangan melibatkan jet, pesawat kepak kaku, sistem peawat tanpa pemandu dan kejuruteraan.

Untuk modul latihan taktikal, ITPS mengendalikan jet latihan L-39C Albatross yang mana juruterbang pelatih akan menjalani latihan persenjataan, misi, taktikan dan pengunaan Night Vision Goggle (NVG).

Pelatih yang menjalani latihan menggunakan pesawat L-39C Albatross

Kumpulan berkenaan dilaporkan dari program Fighter Lead In Training (FLIT) TUDM dikelokan oleh Divisyen Latihan, Pulatibang 3, Pangkalan Udara Kuantan.

Pulatibang 3 sebelum ini mengoperasikan jet latihan Aermacchi MB-339CM sebanyak 8 buah. Namun sebuah daripadanya mengalami kemalangan pada 2016.

Masalah utama jet latihan MB-339CM adalah enjinnya adalah diambil dari varian MB-339AM yang dibersarakan pada 2006. MB-339AM dioperasikan TUDM sejak 1983.Dilaporkan, jet latihan berkenaan makin sukar untuk mendapatkan alat ganti berikutan tiada lagi pengeluaran lagi dari pihak pengeluar.

TUDM juga tiada jet latihan tempur mencukupi kini bergantung pada jet pejuang ringan/jet latihan lanjutan Hawk 208/108 dalam jumlah yang terhad dan semakin berkurangan berikutan siri kemalangan.

Pada 2017, TUDM telah merancang untuk mengantikan ketiga-tiga model jet berkenaan dibawah program Pesawat Tempur Ringan (LCA) yang berobjektif sebagai jet pejuang ringan dan jet latihan.

Pada 2019, TUDM telah memohon Request for Information (RFI) kepada beberapa pengeluar bagi memenuhi keperluan TUDM. Dijangka KAI T-50 Golden Eagle, Yakolev Yak-130 dan Leonardo M-346 Master dilihat calon utama untuk program LCA dijangka akan diperolehi semasa tempoh belanjawan negara, Rancangan Malaysia ke-12.

sumber : Malaysia Defence Review


Tuesday, June 16, 2020

HAWK 200 TNI-AU TERHEMPAS

imej pesawat hawk Indonesia terhempas : foto airtimes

PEKANBARU, 15 Jun – Sebuah jet pejuang Hawk 200 milik Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU) telah dilaporkan terhempas di kawasan perkampungan barat daya Pekanbaru, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi waktu Indonesia Barat (8.30 pagi waktu Malaysia), pesawat malang itu telah terhempas dan mengenai sebuah rumah.

Juruterbang turut berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan kerusi lenting (ejection seat).

Pasukan polis dan bomba telah dihantar untuk mengawal api kebakaran.

Media Indonesia melaporkan pesawat terhempas ketika sedang melakukan latihan penerbangan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam nahas jet pejuang Hawk 209 milik Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU) yang berlaku pada awal pagi.

Perkara tersebut telah disahkan oleh Ketua Penerangan Pangkalan Udara Roesmin Nurjadin.

Kejadian ini merupakan kejadian terbaharu melibatkan aset ketenteraan di negara jiran.

Pada 6 Jun lalu, sebuah helikopter Mi-17v5 milik TNI-AD terhempas di Jawa Tengah dan meragut kira-kira 5 nyawa. 

sumber : airtimes