Thursday, July 21, 2016

KESAN KEPUTUSAN PCA TERHADAP ISU PERTIKAIAN WILAYAH DI LAUT CHINA SELATAN

Tribunal PCA antara China dan Filipina adakah ia adil???
Isu wilayah pertikaian di Laut China Selatan yang membabitkan beberapa negara seperti China, Filipina, Malaysia, Taiwan, Vietnam dan Amerika Syarikat (AS) menyaksikan Mahkamah Tetap Timbang Tara (PCA) di The Hague menolak tuntutan China terhadap hak ekonomi di wilayah tersebut.

PCA membuat keputusan setelah melihat China tidak mempunyai hak-hak sejarah terhadap kawasan ‘sembilan sempang’ se­perti yang didakwa negara itu, sekali gus memberi kemenangan kepada Filipina yang mencabar tuntutan negara tersebut dalam pertikaian yang berlarutan sejak sedekad lalu.

Malangnya, China masih lagi ego dalam isu berkenaan dan tidak akan tunduk sama sekali kepada keputusan yang dibuat oleh PCA itu.

“Keputusan ini tidak sah serta tidak mempunyai kekuatan. China tidak menerima dan tidak mengiktirafnya.

“Beijing tidak menerima apa-apa cara penyelesaian pertikaian oleh pihak ketiga atau sebarang penyelesaian yang dikenakan kepada China,” jelas Kementerian Luar China setelah keputusan diumumkan oleh PCA.

Malah, Timbalan Menteri Luar­nya, Liu Zhenmin turut memberi amaran kepada mana-mana pihak bahawa keputusan PCA itu hanya akan mencetuskan konflik yang lebih besar di rantau Asia dan mengancam zon pertahanan udara di kawasan tersebut.

Menurut Zhenmin, Beijing memiliki hak untuk membina zon pengenalan pertahanan udara (ADIZ) di kawasan terbabit walaupun perkembangan itu memberi kuasa kepada pihak tentera China bertindak terhadap pesawat asing.

Malah tegasnya, pembinaan zon pertahanan itu bergantung kepada tahap ancaman yang di­terima oleh Beijing dan negara lain tidak boleh mengambil peluang untuk melemparkan tuduhan terhadap China.

“Jangan jadikan konflik di Laut China Selatan sebagai permulaan yang akan mencetuskan pepera­ngan. Tujuan China adalah mahu menjadikan Laut China Selatan sebagai kawasan yang aman, menjalin persahabatan dan kerjasama,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa negara telah mula memperketatkan keselamatan ‘wilayah’ masing-masing di Laut China Selatan berikutan keputusan PCA tersebut.

Indonesia misalnya telah menghantar kapal perang terma­suk pesawat pejuang F-16 ke Kepulauan Natuna di Laut China Selatan berikutan peningkatan kes pelanggaran antara kapal tentera laut dan kapal pengawal Indonesia dengan bot pengawal pantai serta bot nelayan China.

Berang dengan tindakan China memasuki perairannya dan insiden pelanggaran bulan lalu, Presiden Joko Widodo bersama-sama anggota Kabinetnya melawat Kepulauan Natuna dengan menaiki kapal perang beberapa minggu lalu.

Lawatan itu dilihat sebagai memberi mesej jelas kepada China bahawa Jakarta serius mempertahankan kepulauan milik mereka itu.

Sementara itu, Taiwan juga melakukan perkara sama apabila menghantar kapal perang ke wilayah tersebut untuk mempertahankan wilayah maritimnya.

Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen bersama-sama anggota tenteranya di atas sebuah kapal perang berkata, Taiwan nekad mempertahankan hak negara itu.

Sejurus selepas itu, kapal perang dari bandar Kaohsiung tersebut menuju ke Pulau Taiping yang dikawal Taiwan terletak di gugusan Kepulauan Spratly.

Berdasarkan keputusan PCA, Pulau Taiping, pulau terbesar di kawasan tersebut, merupakan sebuah batu yang tidak mempunyai sebarang zon ekonomi eksklusif (EEZ), sekali gus menggugat tuntutan Taiwan ke atas perairan sekitarnya.

Taiwan menegaskan, keputusan itu tidak boleh diterima sama sekali dan tidak diikat oleh undang-undang berikutan PCA tidak mengundang negara tersebut secara rasmi ke prosiding atau mendapatkan pandangan Taiwan.

“Keputusan tentang Laut China Selatan terutama berkaitan Pulau Taiping telah mengancam hak Taiwan di pulau-pulau Laut China Selatan dan perairan berkaitan,” kata Ing-wen.

Dalam perkembangan sama, Malaysia dan negara-negara ASEAN tidak pernah mengiktiraf tuntutan China terhadap Kepulauan Spratly kerana tuntutan republik itu tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS 1982).

Malaysia sebelum ini membuat protes diplomatik dengan Beijing kerana kapal kerajaan China telah banyak kali lalu dan berlabuh di lokasi kawasan EEZ negara ini.

Kerajaan juga telah menghantar kapal tentera laut dan kawalan pantai ke lokasi berkenaan untuk mengawasi keadaan dan memastikan kedaulatan negara terpelihara.

Namun, permasalahan tersebut telah diselesaikan antara Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Kaunselor China, Yang Jiechi melalui Deklarasi Tatalaku (DOC) yang ditandatangani oleh China dan ASEAN pada 2002, dan mempercepatkan pelaksanaan Kod Tatalaku (COC) pada 10 Mei lalu sewaktu kunjungan Jiechi ke negara ini.

Selain itu, Anifah menjelaskan, Malaysia dan China ‘bukan berjiran tetapi berkongsi Laut China Selatan’ dan menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah menganggap kawasan itu sebagai kawasan pertikaian atau kawasan tuntutan bertindih antara Malaysia dengan mana-mana negara.

sumber
Utusan Malaysia Online
(Azuar Fahmi Mohd Ali)

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kesan-keputusan-pca-di-laut-china-selatan-1.354789#sthash.cKSNOIHH.dpuf

No comments: