Saturday, June 3, 2017

DAPUR FRIGAT KD JEBAT TERBAKAR


Frigat KD Jebat
LUMUT- Jumaat 2 Jun : Dapur Kapal Diraja (KD) Jebat terbakar di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, api disedari anggota yang berada di kapal sebelum menghubungi bomba.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dalam satu kenyataan di sini mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kebakaran kecil itu berpunca daripada rumah masak kapal itu ketika anggota sedang melakukan persiapan sahur.

"Tindakan awal anak kapal berjaya mengawal situasi sepenuhnya pada jam 5 pagi daripada terus merebak dengan bantuan pasukan Bomba TLDM.

"Bagaimanapun, kejadian itu tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa," katanya.

Ahmad Kamarulzaman berkata, TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca kejadian dan nilai kerugian.

Sebelum ini KD Jebat pernah terbabit dalam insiden perlanggaran dengan kapal dagang pada Jan 2014 pada kedudukan 24 batu nautika barat laut Permatang Sedepa di perairan Selangor.

Kapal itu turut mengalami kerosakan kecil di bawah geladak yang menempatkan meriam kaliber 30 milimeter.

Sumber : Berita Harian

No comments: