Monday, February 11, 2019

DUA KAPAL PERANG TLDM SERTAI "EXERCISE AMAN 2019" DI KARACHI

KD Kasturi (FS 1500)

KARACHI, 8 Feb – Dua aset kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Mahawangsa dan KD Kasturi menyertai latihan tentera laut multinasional “Exercise AMAN 2019” di Karachi, Pakistan mulai hari ini.

Menurut laporan Bernama, penglibatan dua aset perang TLDM dalam latihan multinasional ini bertujuan meningkatkan kerjasama dan kefahaman tentera laut lebih 45 negara peserta, termasuk 11 tentera laut yang menghantar aset kapal, helikopter serta pasukan khas.

Latihan ini juga membuktikan kerjasama rapat antara Malaysia dan Pakistan.

Exercise AMAN ini diadakan dua tahun sekali sejak 2007 dan dianjurkan oleh Tentera Laut Pakistan. Exercise AMAN 2019 berlangsung mulai 8 Februari sehingga 12 Februari 2019.

Pada kali ini Delegasi Malaysia turut menyaksikan pembabitan pasukan khas laut (PASKAL) dan pasukan pemusnah bom (EOD) TLDM. Delegasi Malaysia diketuai Panglima Wilayah Laut Tiga TLDM, Laksamana Pertama, Mohamad Azuwan Harun.

Majlis pelancaran latihan multinasional di Pangkalan Tentera Laut Pakistan di Karachi itu dirasmikan Panglima Tentera Laut Pakistan, Laksamana Zafar Mahmood Abbasi dan Komander Armada Pakistan, Laksamana Madya Muhammad Amjad Khan Niazi.

KD Mahawangsa 1504
Muhammad Amjad berkata latihan multinasional itu dianjur berdasarkan kesedaran dan komitmen Pakistan untuk menangani ancaman di laut secara kolektif bersama negara-negara serantau.

“Kerjasama ini membabitkan ancaman keganasan, penyeludupan, pelanunan, penyeludupan senjata dan manusia,” kata beliau yang turut bangga dengan peningkatan penyertaan negara peserta berbanding 35 pada edisi 2017.

Konsep latihan multinasional yang dibahagikan kepada fasa kegiatan di pelabuhan dan latihan di laut itu bertujuan membangunkan tindak balas, taktik, teknik dan prosedur (RTTP) untuk berdepan ancaman bukan tradisional melalui perancangan perang taktikal.

Manakala Mohamad Azuwan berkata TLDM menghantar KD Mahawangsa dan KD Kasturi membabitkan lebih 200 anak kapal, termasuk anggota PASKAL dan EOD, untuk mengambil bahagian dalam Exercise AMAN 2019.

“Keselamatan maritim adalah isu global. Pembabitan TLDM dalam latihan ini adalah signifikan dalam usaha kita mengeratkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Pakistan,” katanya.

Bernama dijemput sebagai tetamu khas media ke Exercise AMAN 2019 selain wartawan Turki, China, Indonesia dan Oman.

sumber : airtimes.my



No comments: