Tuesday, December 8, 2020

TDM UJI TEMBAKAN SRLB ASTROS II DALAM EKSESAIS LEMBING SAKTI

Tembakan Astros II dalam Eksesais Lembing Sakti : foto berita tentera darat Malaysia

Portal Berita Tentera Darat Malaysia melaporkan, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain telah menyaksikan tembakan Sistem Roket Lancar Berganda (SRLB) ASTROS II dalam Eksesais Lembing Sakti di Tanjung Hantu, Lumut semalam.

Eksesais yang melibatkan 59 pegawai dan 382 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pasukan Markas Briged Roket, Rejimen 51 Artileri Diraja (51 RAD), 52 RAD dan 61 RAD ini merupakan latihan tembakan SRLB ASTROS II yang dilaksanakan pada setiap tahun bertujuan menguji tembakan Complete Round Proof (CRP) bagi memanjangkan jangka hayat roket.

Selain itu, eksesais ini juga menguji dan menilai kompetensi pegawai serta anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dalam melaksanakan tembakan roket hidup dan tahap kesiagaan pasukan yang mana turut dibantu oleh TLDM, TUDM dan agensi penguatkuasa awam setempat dalam keselamatan latihan.

Sistem Pelancar Astros II ; Foto internet

Sistem SRLB ASTROS II telah diperolehi dari firma Avibras, Brazil dan ditauliahkan dalam Rejimen Artileri sejak tahun 2002 dengan kekuatan satu rejimen. Penambahan jumlah dengan pembentukan rejimen kedua SRLB ASTROS menjadikan jumlah sistem artileri roket berganda ini terus meningkat.

Sistem artileri ini memberikan Tentera Darat keupayaan serangan strategik yang mampu menjangkau jarak dari sembilan kilometer (km) sehingga 90km dengan pelancar yang boleh menggunakan roket berkaliber pelbagai.

Roket SS-80

Pada masa sama, ianya sesuai dengan jarak serangan yang dikehendaki selain lancaran berganda ini mampu menyebabkan kemusnahan skala besar pada kawasan sasaran yang dikehendaki seiring dengan nama ASTROS yang bermaksud Artillery Saturation Rocket System.

Kesemua roket menggunakan kepala peledak HE yang mana tiub pelancar roket pada sistem ASTROS II ini boleh ditukar ganti bersesuaian dengan roket yang digunakan. Setakat ini Avibras dikatakan telah meningkatkan keupayaan pelancaran peluru berpandu jelajah pada sistem ASTROS 2020 dengan jangkauan jarak sehingga 300km.

sumber : www.funtasticko.net



No comments: