Tuesday, December 8, 2020

TLDM TERIMA 11 BOT TEMPUR RHIB BARU

Bot RHIB baru TLDM :foto kosmo 

LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima 11 bot tempur baru bernilai RM8.2 juta untuk digunakan Pasukan Khas Laut (Paskal) dalam Operasi Benteng Laut (Op Benteng).

Bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) yang memiliki kelajuan maksimum sehingga 45 knot itu akan digunakan untuk beroperasi di perairan sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia bermula minggu depan.

Panglima Paskal, Laksamana Pertama Mohd Redzuan Talib, berkata dua bot tersebut akan ditempatkan di Pangkalan TLDM Lumut di sini manakala selebihnya ditempatkan di beberapa lokasi tertentu dan strategik di perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan.

“Bot RHIB ini telah digunakan oleh PASKAL sejak lebih 20 tahun lalu dan terbukti memang lasak terutama dalam keadaan laut bergelora ketika masuk musim tengkujuh ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan bot berkenaan oleh syarikat Kumpulan MSET Holdings Sdn Bhd di Jeti Air Cetek, Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Turut hadir, Panglima TLDM,  Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd Sany; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Ruji Ubi serta Pengarah Urusan Kumpulan MSET Holdings Sdn Bhd, Aminudin Mat Yusof.

Mohd Redzuan berkata, bot yang mempunyai panjang 7.62 meter, berat tiga metrik tan, dua enjin yang mana setiap satu memiliki kelajuan 400 kuasa kuda itu boleh memuatkan 12 orang.

Menurut beliau, bot berkenaan yang mudah dibawa sama ada melalui kapal TLDM sedia ada atau diangkat menggunakan pesawat, akan dikendalikan juragan terlatih dalam Paskal.

Beliau berkata, lebih membanggakan apabila bot tersebut dibina oleh syarikat anak tempatan berpangkalan di Kuala Terengganu, Terengganu dan berjaya disiapkan dalam tempoh ditetapkan iaitu lapan minggu.

Tegasnya, perolehan aset terbaru Paskal itu sedikit sebanyak akan meningkatkan lagi keupayaan pelaksanaan Op Benteng yang turut digembleng bersama Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pelaksanaan Op Benteng di bawah National Task Force (NTF) yang diterajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 12 Mei lalu bertujuan mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan.

Op tersebut merangkumi kemasukan pendatang tanpa izin (PATI), rompakan laut atau lanun, pemerdagangan manusia, penyeludupan dan pencerobohan nelayan asing yang dikhuatiri akan meningkatkan pandemik virus Covid-19.

sumber : Kosmo.com.my

No comments: