Monday, March 1, 2021

TENTERA DARAT UJI KEMAMPUAN MERIAM LG 1 MK III 105 MM

Latihan penembakan meriam LG1 MK III 105mm : foto berita tentera darat

Buat pertama kali, Tentera Darat menerusi 10 Briged (Para) telah memperlihatkan kemampuan meriam LG MK 111 105mm yang diperolehinya dalam eksesais yang berlangsung baru-baru ini.

Panglima 10 Briged (Para), Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal dan Pengarah Artileri, Brig Jen Dato’ Dr Hj Ibrahim Yasir telah melakukan lawatan ke Eksesais Shelldrake Para Siri 1/2021 untuk melihat sendiri lebih dekat latihan itu.

Eksesais itu dilaksanakan oleh Rejimen Pertama Artileri Diraja (1 RAD) (Para) bermula pada 22 hingga 25 Feb 2021.

Lawatan itu bertujuan untuk melihat tahap kesiapsiagaan dan kompetensi pasukan dari aspek peranan serta tugas dan pada masa yang sama melihat persiapan pasukan-pasukan yang terlibat dalam menghadapi latihan Briged iaitu Eksesais Para Predator dan Eksesais Gerak Pantas yang bakal berlangsung pertengahan tahun 2021.

Eksesais ini bertujuan untuk menilai tahap kompentensi krew mengendalikan persenjataan Meriam 105mm LG1 MK III dan sub sistem serta memastikan kebolehgunaan persenjataan ini.

Terdahulu, 1 RAD (Para) telah melaksanakan tiga siri kursus penyesuaian bagi persenjataan yang merangkumi pengendalian meriam serta sub sistem sebelum melaksanakan latihan tembakan.

Sejurus Panglima dan Pengarah Artileri mendengar taklimat eksesais, program diteruskan dengan latihan tembakan tidak langsung di Tapak Meriam G26, tembakan langsung di Pos Pemerhati Bukit Kidney dan pertunjukan Tindak Cepat.

Panglima 10 Bgd (Para) turut melaksanakan kawad tindakan dan menembak meriam. Panglima 10 Bgd (Para) menekankan kepada setiap krew untuk meningkatkan kompetensi diri dalam melaksanakan peranan dan tugas 1 RAD (Para) bagi mendokong aturgerak 10 Bgd (Para).

Malaysia membeli 18 buah meriam LG MK111 105mm pada 2018 daripada syarikat Perancis, Nexter.

Meriam-meriam itu dipasang di dalam Malaysia oleh syarikat tempatan, Advance Defence System (ADS) sebelum diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia.

sumber : Defence Security Asia


No comments: