Friday, September 10, 2021

EMPAT NEGARA BAKAL BIDA TENDER BEKAL 400 KERETA PERISAI 6x6

Empat jenis Kenderaan 6x6 yang memasuki tender perolehan ATM

Empat negara dijangka menunjukkan minat untuk bersaing bagi merebut tender pembekalan sejumlah 400 buah kereta perisai pacuan enam roda Tentera Darat Malaysia.

Perolehan ini dibuat bagi menggantikan kenderaan sedia ada pasukan itu digunakan sejak 1981. iaitu Sibmas 6x6 buatan Belgium dan Condor 4x4 buatan Jerman.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengendalikan 186 buah Sibmas dan 460 buah Condor dengan penghantaran terakhir pada 1984 lalu yang kini sudah dianggap model ketinggalan zaman. 

Walaupun terdapat beberapa usaha syarikat tempatan untuk menaikkan taraf kenderaan berperisai tersebut seperti Condor namun ia gagal menarik minat pihak ATM.

Tender terbuka Kementerian Pertahanan itu turut meletakkan syarat utama iaitu produk mesti dikilangkan di negara ini bagi usaha pemindahan teknologi tinggi dan pembekalan alat ganti.

AFV Sibmas 6x6  akan diganti dengan kenderaan 6x6 yang baru

Dilaporkan terdapat, empat pengeluar dijangka membida iaitu FNSS dari Turki, PT Pindad (Indonesia), General Dynamic Land System (Kanada) dan Hyundai Rotem (Korea Selatan).

Berdasarkan tawaran semasa, syarikat Turki diramal ada kelebihan besar kerana sudah menjalinkan kerjasama dengan rakan tempatannya, DRB-Hicom Defence Technologies Sdn. Bhd.

Usahasama itu membolehkan anak syarikat gergasi automotif itu mengeluarkan 257 buah kereta perisai tempur amfibia pelbagai fungsi, PARS 8×8 dijenamakan sebagai AV8 Gempita. 

FNSS pastinya akan menawarkan PARS 6x6 kerana pihak ATM telah mengoperasikan PARS 8x8 yang mana dapat menjimatkan ATM dari segi kos penyelenggaraan dan pengendalian.

Firma Korea Selatan setakat ini merupakan pesaing terdekat Turki yang menawarkan kenderaan berperisai K806 6x6 keluaran Hyundai Rotem yang turut digunakan oleh pasukan tenteranya. 

Tentera Darat Malaysia dikatakan telah membuat penilaian terhadap model ini tetapi belum ada kata putus.

PT Pindad dari Indonesia bakal menawarkan model Anoa 6×6 Angkatan Darat Tentera Nasional Indonesia dengan versi Malaysia akan dikenali sebagai Rimau atau mungkin Badak dengan meriam 90mm

Firma yang keempat ialah dari Kanada (GDLS) berkemungkinan akan menawarkan kenderaan berperisai LAV 6x6 (tidak pasti).

Kementerian Pertahanan juga membuka tender untuk sejumlah 36 unit kereta perisai pacuan empat roda bagi operasi Pasukan Pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

sumber: MMP & Funtasticko.net


No comments: