Sunday, March 20, 2022

ENJIN DARI KOREA SELATAN UNTUK KERETA KEBAL ALTAY

Kereta kebal Altay

Masalah yang membelenggu kereta kebal Altay buatan Turki sejak bertahun lamanya akhirnya terlerai apabila enjin kereta kebal buatan Korea Selatan akan digunakan.

Syarikat Turki, BMC telah menandatangani perjanjian dengan dua syarikat Korea Selatan, Doosan Infracore Co dan S&T Dynamics Co bagi bekalan enjin serta sistem transmisi bagi kereta kebal buatan tempatan Turki itu.

Enjin ini dikatakan telah sampai dan sedang diuji di Turki. Menurut Ismail Demir, ketua Presiden Industri Pertahanan Turki (SSB) pada bulan May ini prototaip kereta kebal Altay akan dipasang dengan enjin dari Korea Selatan dan akan melalui pelbagai ujian.

Turki memulakan projek MBT pada 2007, tetapi berdepan dengan masalah perolehan enjin kerana beberapa syarikat Eropah enggan menjualnya atas beberapa alasan tertentu.

Sebelum ini, prototaip kereta kebal tempur Altay akan dikuasakan oleh enjin diesel 1,500 kuasa kuda daripada MTU Friedrichshafen GmbH Jerman. 

Rheinmetall Jerman juga telah menubuhkan usaha sama dengan BMC yang bertujuan untuk pengeluaran bersama kenderaan berperisai, khususnya kereta kebal tempur utama, Altay. 

Bagaimanapun, pengeluaran dan bekalan enjin kereta kebal itu terhenti berikutan keputusan Berlin mengenakan sekatan senjata terhadap Turki.

Perkara ini disebabkan campurtangan Turki dalam perang saudara di utara Syria dalam memerangi pengganas Daesh, PKK dan YPG.

Perjanjian pembekalan enjin : foto Daily Sabah

Menurut pegawai tentera Turki, enjin buatan Korea Selatan akan hanya melengkapkan kereta kebal “Altay” pada peringkat awal sahaja sementara pihak industri Turki akan membangunkan enjin dan transmisi kereta kebalnya sendiri.

Enjin buatan tempatan akan melengkapkan kereta kebal “Altay” yang dihasilkan pada peringkat seterusnya.

Projek Altay melibatkan dua fasa di mana 250 unit akan dihasilkan pada fasa pertama, diikuti dengan versi yang lebih baik pada fasa kedua iaitu sebanyak 1,000 unit kereta kebal dirancang untuk pengeluaran.

Kereta kebal itu dilengkapi dengan meriam utama Rheinmetall 120mm, mesingan berat berkaliber .50 dan mesingan sederhana 7.62mm.

sumber : dailysabah, turkishdefencenews. & DSA


No comments: