Tuesday, June 21, 2022

KERETA KEBAL PANTHER PEMBUNUH T-14 ARMATA

Kereta kebal Panther

Beberapa hari lepas pada pameran Eurosatory yang berlangsung di kota Paris, firma pertahanan Jerman, Rheimetall telah mempamerkan buat pertama kali kereta kebal utama “Panther” yang dikatakan adalah pengganti kepada kereta kebal utama “Leopard” yang amat popular di seluruh dunia.

Populariti kereta kebal utama “Leopard” itu memang tidak dapat dinafikan sehinggakan negara-negara jiran kita, Indonesia dan Singapura juga menggunakannya.

Apa yang menarik pada kereta kebal utama “Panther” adalah meriamnya yang berkaliber 130mm dipanggil “Future Gun System” (FGS), berbanding kereta-kereta kebal utama yang lain di pasaran yang menggunakan meriam berkaliber 105mm, 120mm atau 125mm (terutamanya kereta kebal buatan Russia).

Menurut syarikat Rheimetall, meriam dengan peluru yang lebih besar itu akan memberi kesan 50 peratus lebih baik pada jarak yang lebih jauh berbanding meriam-meriam dengan kaliber yang lebih kecil seperti 120mm.

Kereta kebal utama “Panther” dengan jarak operasi 500km itu juga akan dilengkapi dengan beberapa Remote Control Weapon System (RCWS).

Ketua Pegawai Eksekutif Rheimetall Armin Papperger berkata, kemunculan kereta kebal utama “Panther” berlaku ketika peperangan menggunakan senjata-senjata berat (war of heavy weapon) telah kembali ke benua Eropah.

“Kita melihat dalam beberapa bulan kebelakangan ini apa yang akan berlaku dan apa yang telah berlaku dalam konflik di antara Ukraine dan Russia,” katanya mengenai peperangan yang menyaksikan pembabitan kereta kebal dan kemusnahannya di kedua-dua pihak.

Selain meriam dan peluru yang lebih besar, kereta kebal utama itu juga akan dilengkapi dengan beberapa sistem persenjataan yang lain, bagi membolehkannya menangani ancaman dengan lebih berkesan.


Ia akan dilengkapi dengan sistem loitering munitions “Hero 120”, sejenis roket atau pesawat tanpa pemandu yang boleh berlegar-legar di udara dan diprogramkan untuk mengenalpasti sasaran serta memusnahkannya.

Kereta kebal utama terbaru Jerman itu juga akan dilengkapi dengan pod untuk melancarkan dron.

Dengan berat 59 tan, kereta kebal utama “Panther” itu mempunyai tiga orang krew tetapi ia juga memiliki ruangan untuk krew keempat

Untuk memastikan kereta kebal utama “Panther” itu berjaya mengharungi medan peperangan era moden pada ketika ini, Rheinmetall melengkapkannya dengan sistem pertahanan aktif, pasif dan top-attack bagi mengelak ia daripada menjadi mangsa sistem anti-kereta kebal.

Saiz kereta kebal utama “Panther” yang lebih kecil itu juga membolehkan ia diangkut ke mana-mana menggunakan keretapi tanpa membuat persediaan yang panjang.

Amacam, kereta kebal utama “Panther” ini boleh ganti kereta kebal “Pendekar” (T-91 Twardy) kita ke?

sumber DSA

.

No comments: