Monday, October 31, 2022

SUDAH TIBA MASANYA NGPV KELAS KEDAH DIUPGRADE

Kapal Peronda Generasi Baru (NGPV)

Sudah tiba masanya kapal-kapal peronda generasi baru (NGPV) kelas-Kedah milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dibina kira-kira 10 tahun yang lepas dinaiktaraf untuk mengelak ia menjadi kapal perang yang usang.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany menjelaskan sebahagian sistem di dalam kapal itu sudah usang dengan alat-alat gantinya sukar diperolehi di pasaran.

“Sudah tiba masanya untuk kita tukar sistem pada kapal ini kepada sistem baru seperti sistem penderia (sensor) dan sistem persenjataaan. Namun, semua proses ini tertakluk kepada peruntukan yang disediakan,” katanya sebagaimana dipetik oleh agensi berita nasional, Bernama hari ini.

Bukan sahaja kapal peronda generasi baru milik TLDM memerlukan usaha naiktaraf, malah kebanyakan aset TLDM sememangnya perlu dinaiktaraf, menurutnya.

Selain itu, TLDM katanya, juga perlu membuat perolehan kapal-kapal baru kerana terdapat di antara kapal-kapal itu sudah berusia di antara 40 hingga 50 tahun.

“Mereka (anggota) harus cekap dan mahir dalam pelaksanaan tugas atau dengan kata lain kompeten  mengoperasikan peralatan di kapal, namun, kecekapan mereka terhad dengan teknologi yang dimiliki kapal TLDM yang rata-ratanya menjangkau usia 40 tahun (dan ke atas).

“Oleh itu, perolehan kapal TLDM yang baru amat kritikal, bagi melahirkan navy people yang competent. (Jadi) apa-apa perancangan sekali pun, hendaklah berlandaskan kepada peruntukan,” katanya.

Panglima TLDM ditemui pemberita selepas menyaksikan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih.

Seramai 569 Perajurit Muda ditauliahkan sijil tamat latihan, selepas menjalani latihan di KD Sultan Ismail sejak 20 Mei sehingga 29 Okt lepas.

Pada Ogos lalu, terdapat laporan mengatakan TLDM merancang untuk melengkapkan dua buah kapal peronda generasi baru kelas-Kedah dengan peluru berpandu “Naval Strike Missile” (NSM) yang dibangunkan oleh firma pertahanan Norway, Kongsberg.

Rancangan melengkapkan dua buah kapal peronda kelas-Kedah dengan peluru berpandu NSM dijangka menelan belanja sebanyak RM214 juta.

Rancangan TLDM untuk melengkapkan dua buah kapal peronda kelas-Kedah dicadang dilaksana dibawah “Rolling Plan 4” Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang akan dibiayai menerusi Belanjawan Tahun 2024.

TLDM mengoperasikan enam buah kapal peronda generasi baru kelas-Kedah yang diterimanya bermula daripada tahun 2006 hingga 2010.

sumber : Defence Security Asia

No comments: