Tuesday, May 17, 2016

PESAWAT LATIHAN TUDM TERHEMPAS DI PEKAN, PAHANG

KUANTAN, 17 Mei (Bernama) -- Seorang jurulatih dan pelatih penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terselamat selepas pesawat latihan Aermacchi MB339 CM buatan Itali terhempas di kawasan sawah padi di Kampung Serum, Pekan dekat sini, tengah hari tadi.

Pesawat Aermacchi yang terhempas di Kampung Serum, Pekan Pahang : Foto dari sensasi.org

Pesawat yang berpangkalan di TUDM Kuantan itu dilaporkan terhempas akibat kerosakan teknikal semasa mangsa menjalani latihan penerbangan.

Penguasa Kanan Bomba II Bahagian Operasi Pahang Ashrul Rezal Asbar berkata pelatih penerbangan Leftenan Mohd Hakimi Hairi patah kaki manakala jurulatih, Mejar Nazrul Hafiz Zaimi tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kedua-dua mereka telah diambil oleh helikopter tentera pada pukul 1.37 tengah hari sejurus selepas kejadian itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 12.52 tengah hari sebelum satu jentera dengan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan bergegas ke tempat kejadian.

Ashrul Rezal berkata ketika anggota bomba sampai di lokasi, kedua-dua mangsa telah keluar daripada pesawat dan berada di tempat kejadian.

Pesawat Aermacchi MB 339CM yang digunakan oleh TUDM berpengkalan di Kuantan, Pahang
"Pesawat berkenaan didapati rosak dan remuk di bahagian hadapan akibat terjunam di kawasan sawah padi," katanya.

Menurut kenyataan TUDM, kedua-dua juruterbang pesawat Aermacchi MB339CM itu dilaporkan selamat apabila berjaya keluar dari pesawat dengan menggunakan kerusi injal.

Kedua-dua mangsa dilaporkan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), untuk mendapat rawatan lanjut.

TUDM akan menubuhkan lembaga penyiasatan untuk menyiasat lebih lanjut mengenai kejadian ini. 


-- BERNAMA

No comments: