Wednesday, September 14, 2016

RADAR AESA PANTAU PERAIRAN SABAH


Radar AESA Spexer 2000 Coastal
TAWAU 11 Sept 2016 – Kementerian Pertahanan akan menempatkan Sistem Pengawasan Pantai menggunakan radar AESA Spexer 2000 di lima lokasi utama di perairan pantai timur Sabah dalam ­usaha memantau sebarang insiden pencerobohan.

Menterinya, Datuk Seri ­His­­ham­­muddin Tun Hussein berkata, sistem yang dilengkapi dengan sistem pengenalan auto­matik (AIS), Electro-Optical dan peralatan pengurusan pemindahan data itu berupaya meningkatkan keupayaan memberi lebih liputan berbanding Radar 1206 sedia ada.

Menurutnya, pelaksanaan itu me­rupakan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dalam memastikan keselamatan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) terjamin.

“Pelaksanaan Sistem Pengawasan Pantai ini merupakan antara inisiatif baharu yang dilaksana Kementerian Pertahanan bagi memperkukuhkan keselamatan di Sabah.

Antara inisiatif lain yang akan dilaksanakan ialah merancang untuk menempatkan Briged Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Felda Sahabat oleh Tentera Darat bagi me­nguatkan pertahanan darat.

Tentera Darat pula, akan menerima 20 buah kenderaan perisai pacuan empat roda yang dikenali sebagai Lipan Bara. Kenderaan-kenderaan ini akan dilengkapi dengan senjata Gatling Gun dan membolehkan diaturgerak dengan pantas serta efektif selain ditempatkan di ­Lahad Datu.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan sedang menaik taraf Lapangan Terbang Lahad Datu ­sebagai Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) untuk helikopter ATM.

Langkah tersebut, kata beliau, membolehkan ATM mengatur ge­rak semua helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Darat termasuk enam buah helikopter tempur ringan MD530G yang kini dalam proses perolehan.

“Penambahan aset-aset keten­teraan di negeri ini berupaya membantu pasukan keselamatan negara melakukan rondaan dan pengawasan dengan lebih berkesan serta teratur bagi mempertahankan kedaulatan tanah air daripada sebarang ancaman pihak luar,” katanya.
Gambarajah lakaran fungsi radar AESA Spexer 2000 diletak pada kawasan pesisir laut
SPEXER 2000 Coastal adalah radar keselamatan pertama di seluruh dunia menggunakan teknologi radar terbaru Pengimbas elektronik Active Array (AESA). keupayaannya untuk mengesan walaupun sasaran kecil  di persekitaran pesisir yang sukar memastikan tahap kesedaran situasi yang sangat tinggi, menyediakan pasukan keselamatan dengan masa tindak balas tambahan.

SPEXER 2000 Coastal dioptimumkan untuk pengawasan kawasan pantai dan infrastruktur maritim seperti pelabuhan dan lapangan minyak. Malaysia memesan 5 unit radar tersebut untuk memantau pesisir pantai dan menghalang pencerobohan haram.

sumber
utusan.com.my
www.aofs.org

No comments: