Tuesday, November 21, 2017

KAPAL SELAM TENTERA LAUT ARGENTINA HILANG DI LAUT

Kapal selam tentera laut Argentina A.R.A San Juan yang hilang dilautan Atlantik selatan
BUENOS AIRES - Pasukan tentera laut Argentina mempergiat mencari sebuah kapal selam yang membawa 44 anak kapal selepas dilaporkan hilang di lautan Atlantik Selatan.

Pasukan tentera laut berkata, pihaknya gagal menghubungi kapal selam itu, ARA San Juan dalam tempoh 48 jam lalu.
“Kami gagal mencarinya menerusi komunikasi radar atau visual dengan kapal selam ber­kenaan,” kata jurucakap tentera laut, Enrique Balbi pada sidang akhbar di sini kelmarin.

Kali terakhir ARA San Juan dapat dihubungi oleh tentera laut ialah pada awal pagi Rabu lalu menyebabkan pihak berkuasa melancarkan operasi mencari melalui udara dan laut yang membabitkan sebuah kapal pemusnah dan dua kapal perang kecil.

Menurut Balbi, pencarian awal terhalang akibat cuaca buruk selain operasi dilakukan pada waktu malam di kawasan operasi.

Kapal itu dipercayai tidak meng­aktifkan suar kecemasannya selain pasukan berkenaan turut menafikan beberapa laporan media yang mengatakan kemungkinan berlaku kebakaran.

“Saya tidak mahu membesarkan isu ini. Kami kini cuma berhadapan dengan masalah komunikasi, jadi kami tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya.

“Ia mungkin akibat masalah bateri sekali gus menyebabkan masalah bekalan elektrik,” kata­nya sambil menambah bahawa kapal itu akan timbul di permukaan jika mengalami masalah bekalan elektrik.

Kapal selam elektrik yang menggunakan diesel, TR-1700 itu dalam perjalanan pulang dari bandar Ushuaia menuju ke pangkalan Mar del Plate. Kapal berkenaan dikatakan telah menghabiskan tiga hari perjalanan sebelum pulang semula ke pangkalan itu.

Kapal sepanjang 13 meter dan selebar 7 meter itu dibina oleh syarikat Jerman, Thyssen Nordseewerke dan dilancarkan pada tahun 1983.

Kapal berkenaan menjalani pembaikan semula antara tahun 2007 dan 2014 bagi memperluaskan kegunaannya supaya dapat digunakan kira-kira 30 tahun lagi.

Sementara itu, Amerika Syarikat, Britain dan Chile telah menawarkan sokongan logistik dan pertukaran maklumat dalam operasi pencarian, kata Kementerian Luar Argentina. – AFP


No comments: