Wednesday, July 24, 2019

PENEMBAKAN PELURU BERPANDU EXOCET DAN SEA SKUA BUKTI KEUPAYAAN TLDM

Tembakan peluru berpandu exocet dari KD Kasturi
KUALA LUMPUR, 23 Jul – Panglima Tentera Laut menjelaskan kejayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam melaksanakan penembakan peluru berpandu Exocet dan Sea Skua bukti keupayaan anak tempatan dalam mengendalikan sistem persenjataan peluru berpandu.

“Kejayaan penembakan kedua-dua peluru berpandu ini adalah membuktikan tahap kecekapan warga TLDM dalam memastikan kesiagaan peralatan dan sistem persenjataan terutamanya sistem pertempuran kapal,

“Kejayaan ini juga membuktikan warga TLDM berupaya untuk menggendalikan dan menyelenggara sistem persenjataan yang canggih tanpa bantuan pihak luar seperti kontraktor dari luar negara,” jelas Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sani.

misil Exocet MM40 block II
Pada 16 Julai lalu, TLDM telah melaksanakan penembakan peluru berpandu Exocet MM40 Block II dan Sea Skua terhadap sasaran di perairan Laut China Selatan. Penembakan ketiga-tiga peluru berpandu tersebut merupakan kemuncak Eksesais Taming Sari siri 19/2019.

Eks Taming Sari merupakan sebahagian daripada komponen Eksesais Kerismas 26/2019, yang merupakan latihan terbesar buat TLDM.

Menurut Panglima Tentera Laut, kali terakhir Eks Taming Sari diadakan adalah pada tahun 2014.

“Eks Taming Sari pada kali ini secara tidak langsung menguji kesiagaan peluru berpandu, platform peluru berpandu dan penggunanya yakni warga TLDM,

Penembakan peluru berpandu sea skua dari helikopter Super Lynx
“Kesemua peluru berpandu telah berjaya dilancarkan dan mengenai sasaran,” jelas beliau semasa Perjumpaan Khas Bersama Media Bersempena Penembakan Peluru Berpandu Exocet dan Sea Skua di Bilik Mesyuarat Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan Malaysia.

Dalam latihan tersebut, peluru berpandu Exocet MM40 Block II telah dilancarkan oleh KD Kasturi sementara dua peluru berpandu Sea Skua telah dilancarkan oleh helikopter Superlynx. Kedua-dua peluru berpandu tersebut merupakan peluru berpandu jenis anti kapal yang dimiliki oleh TLDM.

Menurut Panglima Tentera Laut, kesemua peluru berpandu dilancarkan secara serentak oleh KD Kasturi dan helikopter Superlynx.

Menteri pertahanan dan timbalannya menyaksikan penembakan peluru berpandu tersebut
Kejayaan penembakan kedua-dua peluru berpandu ini turut disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong.

“Kejayaan penembakan kedua-dua peluru berpandu ini membuktikan pelaburan rakyat terhadap pembelian aset ketenteraan khususnya TLDM bukanlah sia-sia,” tegas Reza.

sumber : airtimes.my

1 comment:

Yaudah said...

Poker online dengan presentase menang yang besar
ayo segera bergabung bersama kami di AJOQQ :D
WA : +855969190856